Followers

Selasa, Februari 22, 2011

Tahniah Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa & Bebas USM

Salam.. Salam sejahtera..

Sedikit ulasan mengenai pilihan raya kampus (PRK) Universiti Sains Malaysia.

"Kalah dah pasti, menang tu satu keajaiban..", inilah kata-kata yang saya lemparkan secara spontan kepada beberapa calon yang menanti keputusan dengan penuh debaran. Mungkin kata-kata ini sebagai pematah semangat calon-calon, tetapi sebenarnya ia sebagai satu simbolik kepada mereka yang selama ini beranggapan bahawa tiada masalah untuk memenangi PRK atas platform-platform tertentu.



Keputusan PRK USM bagi memilih Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2010/2011 kali ini membawa kepada satu kejutan kepada pihak Pro-Aspirasi. Namun begitu Pro-Mahasiswa juga mungkin mengalami kejutan kerana meraih jumlah kerusi yang amat membanggakan. Kejutan yang dialami kedua-dua pihak adalah kejutan yang berbeza namun begitu meninggalkan kesan kepada mereka.




Dalam keputusan PRK yang diumumkan semalam, Pro-Aspirasi memenangi 24 kerusi, Pro-Mahasiswa 14 kerusi, dan 1 kerusi lagi dimenangi oleh Bebas. Khabarnya hari ini - (saat saya menaip ini) - akan ada bantahan terhadap kemenangan calon Bebas yang memenangi kerusi di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Apa-apa pun keputusan masih dinantikan oleh semua.

Mantan Yang Dipertua (YDP) MPP sidang 2009/2010 Ahmad Wafi Sahedan secara spontan membuat gimik dengan 'berlutut' di hadapan saya bagi menunjukkan kekalahan Pro-A di beberapa buah kerusi Pusat Pengajian khasnya di aliran Sains Tulen dan kerusi umum.

Kampus Kesihatan seperti mana tahun-tahun sebelum ini merupakan 'lubuk' atau kubu kuat kepada Pro-M dan Kampus Kejuruteraan pula kubu kuat kepada Pro-A.

Saya hanya mahu memberi fokus kepada Kampus Induk sahaja kerana saya tidak 'menziarahi' kampus-kampus yang lain.

Secara realitinya, USM masih boleh dibanggakan oleh pihak-pihak tertentu di luar sana  kerana Pro-A menang majoriti di sini. Sedangkan beberapa universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) (Pro-A menang), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah menunjukkan bahawa Pro-A dan Pro-M mengalami kejutan.

Persoalannya di sini ialah mengapakah perkara ini turut berlaku di USM? Adakah kerana MPP sidang 2009/2010 sebelum ini tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin? Adakah mungkin juga kerana Pro-A berasa terlalu yakin untuk menang? Mungkinkah juga ini sebenarnya dikaitkan dengan sikap pengundi yang berasa bahawa isu-isu banyak yang tidak diselesaikan? Segalanya mungkin di sini. Rasanya Pro-A dan Pro-M akan membuat penilaian mengenai perkara ini.

Persoalan-persoalan yang saya kemukakan di atas bukanlah persoalan yang ditimbulkan oleh saya seorang. Persoalan itu timbul atas kesedaran mengenai kekalahan dan kemenangan yang dialami oleh kedua-dua pihak tersebut.

Sebenarnya kalau di lihat kepada isu-isu yang dimainkan semasa berkempen, saya berpendapat isu itu sudah basi. USM sebenarnya tiada isu. Isu yang menjadi modal setiap kali PRK ialah mutu perkhidmatan bas, WiFi, kemudahan-kemudahan lain, pinjaman, dan yang paling utama adalah isu kebajikan. Isu kebajikan adalah modal kempen WAJIB para calon semasa berkempen. Namun begitu isu-isu yang dikatakan basi inilah sebenarnya menyebabkan kekalahan kepada Pro-A di beberapa buah kerusi.

Isu bas komuter USM yang menjadi pengangkutan utama mahasiswa/i ke kelas sebenarnya sudah diselesaikan oleh NYDP MPP 2009/2010, namun begitu mungkin masalah itu hanya selesai di atas 'kertas' tetapi tidak diselesaikan melalui tindakan. Bas komuter masih bermasalah, hanya mereka yang menggunakannya tahu masalah tersebut. (saya sudah lama tidak menggunakannya). Secara peribadi saya mengetahui usaha yang dilakukan oleh Saudara Muhamad Nur Hazim Mazlan yang bertindak untuk menyelesaikan masalah bas komuter, akan tetapi masih ramai yang tidak mengetahui hasil penat lelah beliau yang terkena caci maki pihak-pihak tertentu dalam usaha beliau menyelesaikan masalah bas komuter. Khabarnya masalah bas komuter sudah sampai ke tahap "akan diselesaikan tetapi tidak tahu bila". Masalah bas komuter inilah mungkin menjadi salah satu faktor kekalahan Pro-A.

Kemenangan dan kekalahan calon-calon yang bertanding mungkin juga disebabkan oleh jentera-jentera kempen mereka. Sebagai contoh calon konstituensi umum Kumerain dan Menega menggunakan kaedah kempen yang unik. Sebenarnya saya cukup tertarik dengan gaya kempen calon-calon India sejak tahun lepas kerana mereka cukup kreatif berkempen untuk meraih undi. Akan tetapi sedarkah mereka sebenarnya kempen yang 'agak keterlaluan' akan menyebabkan pengundi berasa jelik? Saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana aksi jentera-jentera kempen kedua-dua calon India bagi kerusi umum ini bergaduh mulut dan menunjukkan isyarat lucah antara satu sama lain. Saya berasa kurang senang dengan aksi tersebut, apatah lagi mereka yang bakal mengundi. Ramai juga rakan-rakan saya yang berasa kurang selesa kerana calon-calon memerhati mereka semasa berada di dalam tandas. Poster ada di mana-mana sehingga ke bilik mandi, cermin tandas, tempat sentuh kad palang pintu masuk, meja makan dan sebagainya.

Kemenangan calon-calon Pro-M sebenarnya sudah di jangka kerana calon-calon yang bertanding khusunya di kerusi umum adalah mereka yang berkaliber. Junior saya di dalam kelas Sains Politik iaitu Saudara Lukhman membuat kejutan apabila memenangi satu daripada enam kerusi umum kampus induk USM. Selain itu, Musmuliadi dan Fatin turut membuat kejutan dengan memenangi kerusi umum. Ini menunjukkan bahawa di kampus Induk USM calon Pro-M bagi kerusi umum berjaya menyeimbangkan kerusi dengan Pro-A. Calon Pro-A yang memenangi kerusi umum ialah Ismalia, Hafiz, dan Idzuan.

Saya ingin membawa sedikit tumpuan kepada sikap pengundi yang mengundi semasa hari pengundian semalam. Jika kita perhatikan kepada pemenang, sebenarnya kerusi umum dimenangi kesemuannya oleh calon Melayu. Adakah undian yang dilakukan itu berasaskan perkauman? Persoalan di sini. Beberapa perbincangan bersama rakan-rakan sebelum tamat tempoh berkempen ialah mungkin tiada wakil India yang akan berada di dalam MPP (tanpa melibatkan Pusat Pengajian), kerana pengundi India sudah tentu akan berpecah kepada dua pihak iaitu pihak Kumerain dan pihak Menega. Begitu juga dua orang wakil Cina yang tewas dalam perebutan kerusi umum iaitu Tan Boon Chuan dan Lim Gene Harn. Kata-kata daripada sahabat mantan MPP akhirnya menjadi kenyataan, "silap hari bulan semua kerusi umum calon Melayu yang menang.."

Satu lagi sebab mengapa Pro-M menjadi pilihan mahasiswa/i USM ialah kerana pengundi tertarik dengan tawaran insentif RM1,300 yang dicadangkan supaya diberikan kepada semua mahasiswa/i USM. Ketika ini insentif APEX itu hanya ditawarkan kepada mahasiswa/i jurusan Sains Tulen. Perkara ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Naib Canselor semasa sesi dialog pemimpin-pemimpin pelajar. Naib Canselor mengatakan bahawa insentif itu diberikan kepada jurusan Sains Tulen supaya jurusan Sains Tulen menjadi pilihan kepada pelajar-pelajar. Dalam erti kata yang lain insentif ini sebagai 'umpan' untuk memikat pelajar-pelajar mengambil jurusan Sains Tulen.


Kepada semua yang menang dan menjadi ahli MPP saya ucapkan tahniah di atas kemenangan tersebut. Jangan lupa dengan janji-janji yang di tabur semasa berkempen. Jangan lupa meneruskan usaha MPP sebelum ini yang memperjuangkan isu bas komuter. Jangan lupa juga dengan isu insentif RM1,300 kepada setiap mahasiswa/i USM kerana itu juga antara faktor utama pengundi mengundi. Turut jangan dilupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dimainkan sebagai wakil pelajar. Jangan angkuh dan sombong. Jangan memperlekeh rakan-rakan yang sebelum ini menyokong.


Sekali lagi tahniah kepada semua barisan MPP USM 2010/2011. Masa untuk berbeza ideologi semasa meraih sokongan sudah berlalu, kini masa untuk bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan