Followers

Ahad, Mei 13, 2012

Dato' Razali Ibrahim : Kekeruhan telah dijernihkan

Salam dan salam sejahtera.

Bulan lepas, saya bersama beberapa orang telah mengadakan pertemuan dengan Y.B. Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Pertemuan yang diaturkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) itu diadakan di Pejabat Timbalan Menteri, di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Pertemuan secara 'mengejut' itu diaturkan oleh Presiden MBM sebagai salah satu langkah untuk menjernihkan keadaan di antara Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia dengan pihak Timbalan Menteri itu sendiri.

Secara peribadi saya ingin menyatakan bahawa pertemuan selama satu jam itu dalam keadaan aman, tenang, ceria dan tiada prasangka negatif ditunjukkan. Sesuatu yang paling utama ialah, pertemuan itu BERJAYA menjernihkan keadaan.

Sebelum kami berjumpa dengan pihak Timbalan Menteri, kami telah dipertemukan dengan pembantu-pembantu beliau yang juga orang-orang kuat di dalam pergerakan pemuda UMNO. Secara peribadi juga saya ingin mengatakan bahawa pertemuan tidak rasmi (tidak sengaja) dengan pemuda UMNO itu juga adalah BERJAYA.

Sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak muda hari ini pasti akan 'dibasuh' oleh mereka yang berpengalaman dalam politik. Alhamdulillah, Allah memberikan ketenangan dan hujah untuk membalas ketika saya 'keseorangan' berhujah dengan pemuda UMNO tersebut.

Saya akan mengingati kata-kata pemuda UMNO tersebut, "Kalau kau rasa pemimpin hari ni zalim, kau kena ada niat yang suatu hari nanti kau nak jadi pemimpin dan kau jangan jadi zalim macam dia!"

"Aku dulu pun pernah muda macam korang ni, aku dulu pun pernah kritik sana sini, jadi aku tak kisah kalau korang pun sama macam aku dulu.."

Saya bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pemuda UMNO itu. Akan tetapi saya berbeza pendapat mengenai kenyataan salah seorang daripada 'orang UMNO' itu bahawa seseorang pemimpin itu naik bukan kerana adanya penyokong.


Saya tetap mengatakan bahawa seseorang pemimpin itu berada pada kedudukan hari ini adalah kerana disebabkan oleh penyokong yang menyokong pemimpin itu sendiri. Tanpa penyokong, pemimpin tidak akan berada di atas. Betul, di dalam Islam setiap orang adalah pemimpin. Namun begitu di dalam politik kita hari ini insan yang ingin bertanding di dalam pilihan raya juga memerlukan PENCADANG dan PENYOKONG semasa menyerahkan borang untuk menjadi calon.

Alhamdulillah ketika berhujah dengan pemuda UMNO (pemuda UMNO Johor) itu saya berkesempatan untuk bertanya satu soalan yang berjaya mengendurkan 'ketegangan' sesi perbualan itu.

Soalan saya mudah, "Ok, saya ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam. Sekarang saya berada di Pulau Pinang. Saya nak tanya, apa yang pergerakan pemuda UMNO Johor buat untuk tarik sokongan orang muda kepada UMNO dan Barisan Nasional? Ada atau tidak program-program yang dianjurkan oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan seperti mana yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam siri ceramah mereka setiap malam?

Tiada jawapan jelas mengenai soalan saya itu.

Saya juga bertanya mengenai program UMNO Juara Rakyat. Pada saya program tersebut berjaya. Ya berjaya. Berjaya menarik sokongan mereka yang sudah lama setia kepada UMNO tetapi adakah program tersebut berjaya menarik sokongan pengundi atas pagar? Perkara ini juga dipersetujui oleh pemuda UMNO tersebut.

Ada beberapa lagi isu sensitif yang saya rasakan tidak sesuai dimasukkan di sini. Isu berkenaan pemimpin-pemimpin UMNO Johor yang 'rajin' bekerja, isu berkenaan pemuda UMNO Johor, isu peribadi pemimpin dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, pertemuan yang berlangsung itu berjaya. Berjaya menjernihkan keadaan, berjaya juga menyampaikan suara ahli biasa kepada pemimpin, berjaya merangka satu rancangan untuk masa depan supaya saluran 3 dan 4 diberi perhatian oleh kerajaan hari ini.

Terima kasih kepada Y.B. Dato' Razali Ibrahim kerana dalam sibuk-sibuk dengan program rasmi masih sempat membalas mesej daripada penulis blog ini, tidak seperti Ahli Parlimen saya sendiri.


Terima kasih juga kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), (Kekanda) En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee kerana sudi dan proaktif mengaturkan pertemuan secara mengejut antara kami (saya selaku penulis blog) bersama Timbalan Menteri. Tuan Presiden MBM adalah satu-satunya pemimpin TERTINGGI yang masih mengambil tahu mengenai ANAK JOHOR di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau adalah tempat kami mengadu, hendak mengadu dengan pemimpin di selatan (Johor) memang terlalu jauh walaupun ada sistem telekomunikasi yang canggih.

Terima kasih juga diucapkan kepada Y.B. Tuan Haji Md. Jais Sarday, Exco Belia dan Sukan Negeri Johor kerana mendengar rintihan, keluhan, pendapat, idea, saranan daripada Anak Johor USM pada 28 April 2012 yang lalu. Y.B. Jais adalah Exco Johor pertama yang menjejakkan kaki ke USM untuk program Anak Johor USM selepas berbelas tahun tiada kunjungan daripada pihak kerajaan Johor. Y.B. Jais hadir merasmikan Fiesta Kebudayaan Zapin Johor 2012 anjuran IKMAR USM yang disertai wakil-wakil anak Johor UKM, UPM, UiTM (Shah Alam), UMT, USIM, UTHM, dan USM sendiri. Pemimpin muda mendengar keluhan orang muda.

Terima kasih juga kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam kerana sudi melayan kami sebelum bertemu dengan Y.B. Dato' Razali Ibrahim. Berjaya juga mendengar luahan ikhlas beliau mengenai pemuda UMNO Johor. Sesungguhnya Johor tidak ketandusan pemimpin.


Tahniah dan terima kasih kepada Y.B. Dato' Razali Ibrahim kerana tiada dendam dan amarah yang ditunjukkan di hadapan kami (di belakang kami tidak mahu tahu). Pertemuan kali kedua pada 10 Mei 2012 (malam Jumaat) juga berlangsung dengan suasana ceria. Beliau hadir ketika sesi dialog dengan Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia (Percubaan) di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan dan saya yakin beliau masih mengingati penulis blog yang pernah menghentam beliau pada awal tahun ini kerana beliau asyik memandang ke arah saya (kedudukan kerusi bersebelahan Ahli Parlimen Belia (Percubaan) Sri Gading, Parit Sulong, Muar, Batu Pahat, dan Kluang.


Kami bersetuju bahawa kini adalah waktu kritikal untuk parti. Oleh sebab itu semuanya akan 'diredakan' demi keutuhan dan kelangsungan parti.

Ini adalah masa untuk memberikan tumpuan kepada pilihan raya umum. Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa dan serangan peribadi kepada pemimpin mahupun isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti parti (UMNO) akan dihentikan sementara seperti mana permohonan daripada Pembantu Politik/Peribadi Y.B. Timbalan Menteri.

Semboyan sudah dibunyikan. Tumpuan penuh diberikan untuk kelestarian kerajaan hari ini.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan