Followers

Rabu, November 10, 2010

Mahasiswa/i - POLITIK - Kelab & Persatuan atau Parti?

Salam.. Salam Sejahtera..

Sebelum ini kita dihangatkan dengan isu-isu berkenaan mahasiswa berpolitik. Sebenarnya kehangatan sesuatu isu itu terletak kepada cara yang dimainkan oleh media dalam melaporkan isu tersebut di media-media massa. Nampaknya isu itu telah kembali dingin.

Sama ada disedari ataupun tidak, isu ini sebenarnya cukup menarik. Pada 30 Julai 2010 yang lalu saya telah menulis mengenainya dan disiarkan diruangan forum Utusan Malaysia. Pada keesokan harinya pula, Yang Berhormat Datuk Saifuddin Abdullah yang juga merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah menggulas mengenainya juga diruangan forum yang sama Utusan Malaysia.

Persoalannya sekarang ini ialah adakah mahasiswa/i tidak boleh terlibat di dalam politik?

Isu berkaitan ini telah diusulkan di dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) semasa sesi persidangan rasmi DPP pada 23 Oktober 2010 yang lalu. Saya sendiri telah membawa dan membacakan usul mengenai "Mahasiswa Berpolitik" di dalam dewan tersebut yang berlangsung pada sebelah petang.

(Sesi Persidangan Dewan Perundingan Pelajar USM)

Sama ada disedari ataupun tidak, sebenarnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30) telah di pinda pada tahun 2009. Perlu diketahui juga bahawa semua mahasiswa/i wajar menyedari bahawa di dalam AUKU terdapat bahagian yang menyatakan bahawa mahasiswa/i boleh terlibat dalam politik kepartian dengan izin Naib Canselor. Adakah perkara ini disedari oleh kebanyakkan mahasiswa/i?

Kembali kepada tajuk asal iaitu POLITIK. Banyak pihak berpandangan bahawa apabila memperkatakan mengenai politik maka ia terus merujuk kepada parti politik seperti parti Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Pas, PKR, DAP dan sebagainya. Ada juga yang mengatakan bahawa politik itu lebih menjurus kepada KUASA. Namun begitu, politik itu juga boleh diibaratkan sebagai satu komunikasi atau perhubungan, umpamanya jika di sebuah pulau cuma ada seorang manusia maka tidak wujud politik di situ, akan tetapi apabila datang seorang lagi manusia di pulau itu maka akan wujudlah politik di situ. Maksudnya di sini ,politik itu wujud kerana adanya interaksi lebih daripada satu pihak.


Saya kecewa apabila terdapat segelintir mahasiswa/i yang menyempitkan pemikiran mereka dengan merujuk terus POLITIK itu hanya kepada parti politik. Tahukah kita, bahawa kita semua adalah insan politik? Di kampus kita sebenarnya sedang berpolitik. Berpolitik itu tidak semestinya memerlukan kita menjadi ahli kepada mana-mana parti politik. Sebagai mahasiswa/i kita sebenarnya sedang berpolitik di dalam kampus kerana kebanyakkan daripada kita sedang berpartisipasi di dalam organisasi kelab dan persatuan yang berdaftar di universiti. Perlu diketahui juga bahawa AUKU tidak menghalang mahasiswa/i untuk menjadi ahli kepada mana-mana pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan sah serta tidak melanggar undang-undang negara.

Di dalam AUKU pindaan 2009 seksyen 15 (1) menyatakan bahawa, seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, sama ada ia di dalam atau di luar Universiti, dan sama ada ia di dalam atau luar Malaysia, selain -

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang telah ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga, secara bertulis kepada Naib Canselor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu.

Di dalam seksyen 15 (3) menyatakan bahawa - Menjadi tanggungjawab Naib Canselor untuk menyampaikan kepada pelajar universiti, dan pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar universiti, nama pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah perenggan (1) (c) dan (2) (c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu.

Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini, mahasiswa/i boleh berpartisipasi dalam politik melalui NGO-NGO, akan tetapi persoalannya NGO jenis apa? Sehingga kini masih belum ada apa-apa penjelasan dan penerangan mengenai jenis NGO yang boleh mahasiswa/i sertai. NGO yang saya pasti boleh disertai ialah seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pertubuhan-pertubuhan belia yang lain dan banyak lagi yang tidak berorientasikan politik kepartian. Bagaimana pula dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Suaram, Jerit dan pelbagai NGO lagi?

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mereka tidak mahu mahasiswa/i yang menyertai parti politik akan menjadi kuda tunggangan kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Persoalan yang diajukan di dalam DPP oleh salah seorang ahli dewan ialah "mengapa kita perlu menjadi kuda tunggangan? Kenapa bukan kita yang menunggang kuda?". Terdapat beberapa tafsiran mengenai persoalan tersebut. Seorang rakan saya yang juga merupakan ahli DPP berpendapat sebenarnya tidak salah kita sebagai mahasiswa/i menjadi kuda tunggangan kepada pihak-pihak berkepentingan kerana suatu masa kita pula akan menjadikan pihak lain sebagai kuda tunggangan. Beliau juga mengatakan bahawa selama ini pun kita sebagai pemimpin-pemimpin kelab dan persatuan 'menjadi kuda tunggangan' pihak-pihak tertentu dalam mencukupkan kuota kehadiran dalam sesuatu program. Saya bersetuju dengan pendapat rakan saya ini, tetapi saya tidak bersetuju sepenuhnya. Hal ini kerana dalam dunia yang memerlukan komunikasi dengan pihak lain sudah tentulah kita memerlukan antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu. Apa salahnya menjadi kuda tunggangan silih berganti untuk sementara waktu. Masing-masing ada pendapat dan pendirian sendiri.

Pilihlah hendak menjadi kuda jenis apa,
  1. Kuda yang perkasa
  2. Kuda padi
  3. Kuda lautatau
  4. Kuda kepang / kuda lumping
(sekadar hiasan)

Saya bersetuju dengan pendapat beberapa pihak yang mengatakan bahawa biarlah mahasiswa/i membuat keputusan sama ada perlu terlibat di dalam politik kepartian atau sebaliknya. Saya sendiri membuat tuntutan pada usul yang di bawa ke dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) USM yang lalu supaya Dewan Perundingan Pelajar USM membuat satu ketetapan dan pendirian sama ada mahasiswa/i perlu terlibat di dalam politik kepartian atau tidak. Keputusan DPP adalah jelas dan bijaksana iaitu menolak penglibatan mahasiswa/i dalam politik kepartian.

Dengan wujudnya Parlimen Mahasiswa atau Dewan Perundingan Pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM) ini sebenarnya dapat memberikan penjelasan mengenai politik kepada para mahasiswa/i yang selama ini beranggapan bahawa politik itu kotor dan hanya melibatkan parti politik sahaja. Penjelasan demi penjelasan telah diberikan di dalam dewan. Beberapa persepsi sempit mengenai politik juga berjaya dirungkai dalam sesi perbahasan oleh pelajar-pelajar jurusan Sains Politik yang menjadi ahli dewan dan pemerhati dewan. Persepsi sempit mengenai politik berjaya diperbetulkan, namun begitu penjelasan itu mungkin berjaya membuka mata ahli-ahli DPP yang selama ini berpandangan sempit sahaja.

Hari ini tidak ramai dalam kalangan mahasiswa/i yang membaca akhbar dan kebanyakkannya tidak tahu perkembangan semasa yang berlaku sehinggakan semasa negara sedang rancak dengan iklim pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi, ada yang tidak mengetahui kedua-dua kawasan itu terletak di negeri mana. Hal ini menunjukkan bahawa masih ramai mahasiswa/i yang tidak mengikuti perkembangan semasa tanah air. Seorang rakan saya dengan penuh bersemangat mengatakan bahawa mahasiswa/i perlu diberikan hak dan kebebasan tanpa mendapat keizinan daripada Naib Canselor untuk terlibat di dalam parti politik, tetapi apabila saya bertanya kepadanya sama ada ia ingin terlibat di dalam parti politik, secara spontan ia menjawab "politik itu kotor, tak perlu mengotorkan diri masuk ke dalam politik". Apa yang mampu saya katakan ialah, sungguh cetek pemikirannya ketika itu. Perlu diketahui bahawa insan yang berpolitik itulah yang akan menentukan sama ada kotor atau bersih sesuatu permainan politik itu.


Pendirian saya jelas mengenai mahasiswa dan politik kepartian. Saya tidak berasa lapar, andai kata ada tersedia makanan di hadapan saya, dan dipersilakan makan oleh tuan rumah maka saya akan makan. Andai kata makanan tidak disediakan, saya tidak akan meminta untuk makan kerana saya tidak berasa lapar. (Hanya sekadar analogi).

(sekadar hiasan)

5 ulasan:

  1. terima kasih follow. blog saudara telah dipautkan ke http://suaramajlis.blogspot.com
    mohon sekira sdr ada ruang dipautkan sama.tq

    BalasPadam
  2. semestinya kuda PERKASA

    BalasPadam
  3. Salam saudara Muhammad
    Terima Kasih kerana mengunjungi blog saya. Blog saudara telah saya link kan ke blog saya. Untuk info terkini mengenai Perak lawatilah blog saya.

    BalasPadam