Followers

Jumaat, Mac 04, 2011

Pengalaman - Pengajaran - Harapan

Salam.. Salam sejahtera..

Ini bukan cerita politik kampus mahupun politik berkenaan pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau. Ini hanya sekadar isu politik kecil yang mungkin tiada siapa ingin membacanya.

Pada 25, 26, dan 27 Februari 2011 (Jumaat, Sabtu, Ahad) yang lalu telah berlangsung Temasya Olahraga Tahunan (TOT) kali ke-37 di Universiti Sains Malaysia (USM).



Untuk kali pertama dalam sejarah hidup saya berada di USM ini saya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini. Penglibatan bukan sebagai atlit, tetapi penglibatan sebagai pegawai temasya TOT kali ke-37. Sebenarnya sesiapa yang mengambil kursus Pengurusan Acara, mereka wajib terlibat dalam program-program yang dianjurkan. Termasuklah saya dan rakan-rakan yang lain. Secara peribadi TOT kali ini memang menyeronokkan walaupun kami sangat letih dengan karenah-karenah manusia dan cuaca yang sangat panas. kulit dah gelap.

Di sini saya bukan hendak merapu berkenaan TOT, tetapi kisah duka yang telah menimpa salah seorang rakan kami. Apakah itu?

Kami dan setiap pegawai temasya serta setiap kontinjen telah terlibat raptai TOT pada hari Khamis (24/2/2011) jam 8.30 malam. Raptai tersebut tamat lebih kurang jam 10.30 malam.

Dipendekkan cerita, saya dan beberapa rakan yang bertugas dalam bahagian Tugas-Tugas Khas telah membuat tugasan menyiapkan kad akreditasi para peserta TOT di dalam Unit Sukan USM. Sebenarnya kami bermula agak lewat iaitu lebih kurang jam 12.00 tengah malam kerana masing-masing 'kebuloq'. Alhamdulillah masing-masing peka dan teliti serta serius melaksanakan tugasan yang diberikan oleh ketua bahagian kami iaitu Mohamad Safiq Suhaimi. Terima kasih juga kepada rakan kami Muhammad Tarmizi daripada bahagian lain yang sudi meluangkan masa tidak tidur untuk membantu kami. Asnidar pun buat kerja senyum-senyum. - Maniyarasi kata saya sentiasa segar walaupun dah hampir subuh - Puji diri sendiri sekejap.


Akan tetapi bukan itu yang ingin saya ceritakan. Lebih kurang jam 2.00 pagi, ketua bahagian kami - Safiq - telah keluar membeli air dan sedikit makanan ringan untuk kami yang bertugas di dalam pejabat. Terima kasih sebab belanja kami malam tu Safiq. dah pagi la masa tu. Kami pun secara tekunnya membuat  kerja-kerja sehinggalah jam 5.15 pagi (25/2/2011) dan balik ke bilik masing-masing untuk tidur.

Dipendekkan cerita lagi, selepas balik daripada solat Jumaat, Safiq yang juga ketua bahagian tugas-tugas khas hendak pergi ke Unit Sukan untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum disiapkan. Pada masa itulah dia mula perasan bahawa dompet duitnya tiada. Barangkali tercicir di dalam pejabat. Pada jam 3.00 petang Safiq pergi ke Unit Sukan dan tiada dompet di sana.


Kami dan rakan-rakan telah menasihatkan Safiq untuk menyekat pengeluaran wang melalui kad ATM kerana mungkin pihak yang menjumpai dompet itu adalah seseorang yang tidak bertanggungjawab. Pada malam itu jugalah (Jumaat) Saya telah membantu Safiq menghubungi HQ bank-bank tertentu. Alhamdulillah pengeluaran melalui kad ATM berjaya di sekat.


Pada hari Sabtu dan Ahad TOT berlangsung dengan meriahnya. Namun begitu Safiq masih ceria walaupun dompetnya hilang. Tiada masa untuk membuat laporan polis sehinggalah didesak oleh saya.

Pada hari Isnin saya menemani Safiq pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan baru dan Bank Islam di Bayan Baru untuk membuat kad bank yang baru. Malangnya kad pengenalan sementara tidak boleh untuk membuat kad ATM. Pegawai Bank Islam menasihatkan Safiq mengeluarkan duit di kaunter. Sesuatu yang menakjubkan ialah kesemua duit akaun Safiq di dalam Bank Islam, HILANG. Begitu juga di CIMB. Persoalan di sini kemanakah perginya duit-duit itu? Sudah tentulah ada yang mengeluarkannya. Masa dan tempat pengeluaran sudah diketahui.

Takziah dan banyak-banyaklah bersabar Safiq. Nasihat kepada semua supaya jangan menggunakan nombor kad pengenalan sebagai nombor pin kad ATM bank. Nasihat kepada sesiapa sahaja yang menjumpai dompet orang lain sama ada di tepi atau tengah jalan, di bawah kerusi atau di atas kerusi, atas meja atau di bawah meja, atau di mana jua tempat-tempat yang berkaitan, TOLONGLAH bertindak jujur dengan memulangkan dompet itu kepada pemilik asalnya. Kalau susah sangat serahkan pada pihak polis saja. TOLONGLAH jangan menganiaya orang lain.

Kepada pihak CIMB bank dan bank Islam terima kasih kerana sudi membantu pelanggan anda. Cuma kepada pihak bank Islam kalau boleh tolonglah percepatkan prosedur-prosedur untuk memudahkan pelanggan setia anda supaya lebih setia kepada bank Islam.

*Tidak sabar hendak mengetahui sesuatu yang perlu diketahui. Semoga bukan rakan-rakan kami.

**Harapan supaya selesai segera permasalahan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan