Followers

Rabu, Mac 30, 2011

Sesi Parlimen Mahasiswa terakhir & usul tergempar..

Salam.. Salam sejahtera..

Pada 26 Mac 2011 (Sabtu) yang lalu, Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan persidangan kali ke-2 di Dewan Persidangan Universiti.

(perasmian persidangan kali pertama)

Dewan Perundingan Pelajar ini dianggotai seramai 58 ahli iaitu seramai 39 orang daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 19 orang yang mewakili kelab, persatuan, badan beruniform, majlis penghuni desasiswa, badan sukarelawan dan sebagainya.

Secara peribadi saya kurang bersemangat untuk menghadiri persidangan yang diadakan pada tarikh berkenaan kerana agak 'kecewa' dengan tindakan usul-usul lepas yang masih belum di ambil tindakan. Namun begitu, kesemuanya telah dijelaskan bahawa tindakan akan menyusul secara berperingkat-peringkat. Maklum sajalah banyak prosedur atau karenah BIROKRASI yang diwujudkan oleh manusia itu sendiri.



Sebanyak 17 usul telah diluluskan oleh Jawatankuasa Usul untuk dibahaskan di dalam DPP. Usul-usul yang dibahaskan ialah :
  1. *Mewujudkan pengajian subjek berkaitan Pengajian Islam sebagai subjek wajib universiti.
  2. Kualiti perkhidmatan pegawai-pegawai (pegawai rendah) universiti.
  3. *Nilai merit MyCSD tidak diberitahu kepada pelajar.
  4. *Sistem perlantikan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) digantikan dengan pemilihan yang berkredibiliti dan terbuka dengan melibatkan semua penghuni desasiswa tersebut.
  5. *Aktiviti sepunya membebankan desasiswa.
  6. *Kursus Bahasa Malaysia (BM) sebagai kursus wajib digantikan dengan bahasa Mandarin / Tamil.
  7. *Tuntutan mengekalkan lulus bersyarat D- hingga ke C-
  8. Kementerian Pengajian Tinggi perlu menghentikan permit pembukaan universiti/kolej perubatan/kursus perubatan di Malaysia dan mengembalikan hak pusat pengajian/fakulti perubatan menentukan bilangan kemasukan siswa/i perubatan dalam usaha untuk mengawal lambakan doktor perubatan. (DITARIK BALIK)
  9. *Pengumuman laporan perbelanjaan kewangan lawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2009/2010 ke Hong Kong.
  10. *Kerajaan Malaysia dan pihak universiti menyediakan peruntukan dan kemudahan terhadap pelajar yang ingin atau telah berkahwin semasa pengajian.
  11. *Membina satu penunjuk arah ke Kampus Kejuruteraan di Lebuhraya Utara Selatan.
  12. *Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), YDP Persatuan dan Kelab yang memohon menjadi PPSL perlu terlibat dalam minggu Siswa Lestari di Kampus Kesihatan.
  13. *Sistem pilihan raya kampus atau pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang bersih dan adil.
  14. *BHEPP Kampus Kesihatan perlu mengeluarkan protokol atau piawaian standard kertas kerja aktiviti-aktiviti pelajar dan peruntukan untuk aktiviti pelajar.
  15. *Tarikh bermula sesi akademik 2011/2012 bagi siswa/i fasa klinikal Pusat Pengajian Sains Perubatan USM perlu dikembalikan kepada bulan Julai dan bukannya September.
  16. *Mendemokrasikan Parlimen Mahasiswa (Dewan Perundingan Pelajar).
  17. *Sistem pemberian elaun dan tuntutan wang pelajar perbelanjaan program pelajar membebankan pelajar.
* - Tuntutan usul diterima.
* - Ada tuntutan usul di terima dan di tolak.
* - Usul di tolak

*Usul ke-6 tidak relevan kerana mengenepikan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa rasmi Malaysia.

Pada sebelah pagi persidangan DPP, mantan Yang Di Pertua MPP USM sidang 2009/2010, saudara Ahmad Wafi Sahedan telah mengusulkan satu usul tergempar bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang menyerang Libya. Usul tergempar bagi mengutuk tindakan kejam terhadap Libya itu telah disokong dan diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli dewan.

Selepas habis kesemua 17 usul dibahaskan, saya sendiri telah mengusulkan satu usul tergempar. Usul ini diusulkan selepas mendapat persetujuan daripada tuan Speaker DPP, saudara Mohammad Shafiq Abdul Aziz. Usul tergempar itu bertajuk BANK ISLAM PERLU MEMBUKA CAWANGAN DI DALAM KAMPUS INDUK USM. Secara peribadi usul ini sememangnya usul terpencil dan mungkin ada yang mengatakan bahawa usul ini adalah perkara yang remeh, akan tetapi usul ini amat penting dan menjadi satu keperluan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Justifikasi di dalam usul tergempar yang telah saya nyatakan ialah pinjaman dan biasiswa daripada PTPTN, JPA, MARA dan sebagainya disalurkan kepada mahasiswa/i melalui Bank Islam. Akan tetapi tiada langsung cawangan Bank Islam ada di dalam Kampus Induk USM ini. Bank Islam yang paling dekat cuma berada di Bayan Baru, bagi pelajar yang tiada kenderaan sendiri itu adalah amat jauh dan menyusahkan. Selain itu, 'CAWANGAN MINI' Bank Islam yang terdapat di Desasiswa Bakti Permai umpama HIDUP SEGAN MATI TIDAK MAHU kerana hanya beroperasi pada hari Selasa dan Khamis jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang, dan kebiasaannya tidak beroperasi langsung kerana Bank Islam kekurangan kakitangan. Alasan kekurangan kakitangan itu adalah alasan paling BODOH pernah saya dengar. Lantaran daripada itu ahli-ahli DPP telah bersetuju untuk meminta supaya BANK ISLAM yang diterajui oleh golongan cerdik pandai itu menambah kakitangan mereka sendiri supaya dapat beroperasi seperti mana bank-bank yang terdapat di dalam Kampus Induk USM ini (CIMB Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat). *BANK MUAMALAT yang 'tak popular' itu pun ada cawangan dalam Kampus Induk USM.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli DPP yang menerima tuntutan usul tergempar iaitu :
  1. Mendesak pihak Bank Islam membuka cawangan di dalam Kampus Induk - seperti mana CIMB Bank dan BSN.
  2. Meminta pihak Bank Islam tidak mengabaikan aduan yang di buat oleh mahasiswa/i kerana mereka juga adalah pelanggan.
Usul tergempar yang saya bawa ini adalah melibatkan dua orang rakan saya yang mempunyai masalah dengan Bank Islam seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam post sebelum ini. Selain itu terdapat juga beberapa rakan yang juga pemerhati DPP meminta saya mengusulkan usul tergempar ini demi kebajikan adik-adik yang masih ada dan yang bakal menyambung belajar di USM ini.

Alhamdulillah usul telah diluluskan. Kini hanya menunggu tindakannya sahaja. Saya bersyukur kerana berada di dalam Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa USM sebagai wakil atau suara Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR).

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mantan Yang Di-Pertua IKMAR, abang Mohd Fithri Jemari yang memberikan kepercayaan kepada saya bagi mewakili beliau dalam Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa pada 6 dan 7 Mac 2010 yang lalu. Di atas kepercayaan itu jugalah saya berada di dalam Persidangan Percubaan Parlimen Mahasiswa dan seterusnya terpilih sebagai salah seorang kumpulan ahli DPP atau Parlimen Mahasiswa yang pertama bersidang di Malaysia.

Walaupun adakalanya saya berasa kecewa dengan beberapa perkara mengenai DPP, tetapi saya wajar mengakui bahawa DPP adalah wadah di mana mahasiswa/i bebas bersuara tanpa berasa takut dengan mana-mana pihak. Namun begitu kebebasan bersuara itu haruslah berasas, jangan asyik mengkritik sahaja. Tindakan yang lewat di ambil oleh mana-mana jabatan itu pada saya hanya karenah birokrasi yang boleh di ubah bila-bila masa kerana sistem itu juga dibentuk oleh manusia, maka tiada sebab untuk tidak mengubahnya.

Terima kasih semua..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan