Salam dan salam
sejahtera,
Desas desus
mengenai pilihan raya umum semakin rancak diperkatakan. Jika tiada angin
masakan pokok boleh bergoyang. Saya yakin pokok yang bergoyang bukan kerana
disebabkan oleh angin sahaja, mungkin ada monyet yang melompat-lompat diatasnya.
Pilihan raya umum
ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008 seakan-akan baru kelmarin dilaksanakan, namun
begitu bahang kehangatan pilihan raya umum ke-13 sudah mula dirasai apabila
media-media dan ahli-ahli politik serta para pemerhati semakin menunjukkan
minat untuk membuat andaian mengenai tarikh Dewan Rakyat atau Parlimen
dibubarkan oleh Perdana Menteri, itu pun setelah diperkenankan oleh Yang
di-Pertuan Agong. Persoalannya bilakah Parlimen akan dibubarkan bagi memberi
laluan pilihan raya umum ke-13 diadakan? Hanya Allah S.W.T dan Dato’ Sri Mohd.
Najib Tun Abdul Razak sahaja yang mengetahuinya.
Walaupun mandat
parti yang dipilih oleh rakyat pada 8 Mac 2008 akan berakhir pada tahun 2013,
sejarah telah membuktikan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun
ke-4 pemerintahan parti yang membentuk kerajaan. Oleh itu kemungkinan pilihan
raya umum akan diadakan pada tahun 2012 adalah sangat besar. Kemungkinan besar akan berlaku selepas
Tahun Baru Cina.
Sememangnya pilihan
raya umum ke-13 merupakan pilihan raya yang akan menjadi tumpuan banyak pihak
kerana Barisan Nasional akan bertarung habis-habisan bagi menilai hasil usaha
selama 4 tahun untuk mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat selepas
mengalami kemenangan yang mengejutkan disertakan dengan kekalahan
pemimpin-pemimpin besar parti gabungan itu. Di samping itu juga, parti PAS, DAP
dan PKR yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat (masih belum didaftarkan secara
rasmi) akan berusaha menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional sekali lagi di Dewan Rakyat /
Parlimen jika sekiranya gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang
mentadbir Negara sejak merdeka (Parti Perikatan sebelum diganti dengan Barisan
Nasional).
Di ruangan ini
saya tidak mahu menaip mengenai pilihan raya ke-13 yang meliputi 222 kerusi
Parlimen. Saya hanya berhasrat menaip dan menyentuh mengenai lokasi pilihan
raya di dalam kawasan Daerah Batu Pahat, iaitu daerah tempat saya dilahirkan
dan membesar serta menuntut ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang
dan kini mencari rezeki di Pulau Pinang.
Saya mengetahui
mengenai politik kepartian bermula tahun 1999 apabila bapa saya dan
rakan-rakannya bertungkus lumus bekerja untuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu atau UMNO dan Barisan Nasional. Ketika itu rumah arwah datuk saya
menjadi lokasi atau bilik gerakan Barisan Nasional. Tahun 1999 itu juga Daerah
Batu Pahat memiliki 3 kawasan Parlimen iaitu Parlimen Batu Pahat, Parlimen Sri
Gading, dan Parlimen Parit Sulong.
Selepas
persempadanan semula kawasan pilihan raya di dalam kawasan Daerah Batu Pahat
dilakukan, satu kawasan Parlimen diwujudkan semula iaitu Parlimen Ayer Hitam. Maka
pada tahun 2004 Daerah Batu Pahat mempunyai 4 kawasan Parlimen iaitu Batu
Pahat, Sri Gading, Parit Sulong, dan Ayer Hitam dan Barisan Nasional menguasai
kerusi-kerusi Parlimen tersebut pada pilihan raya umum tahun 2004 di mana BN
mencapai kemenangan terbesar di dalam sejarah ketika kepimpinan Tun Abdullah
Ahmad Badawi.
Seperti mana
dinyatakan sebelum ini, Daerah Batu Pahat mempunyai 4 kawasan Parlimen.
Parlimen Batu Pahat sahaja memiliki 3 kawasan Dewan Negeri (DN) atau juga
dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Penggaram, DUN
Senggarang, dan DUN Rengit. Parlimen Parit Sulong pula mempunyai 2 kawasan DUN
iaitu DUN Seri Medan dan DUN Semerah. Parlimen Sri Gading juga mempunyai 2
kawasan DUN iaitu DUN Parit Raja dan DUN Parit Yaani. Akhir sekali ialah
Parlimen Ayer Hitam juga mempunyai 2 kawasan DUN iaitu DUN Semarang dan DUN
Yong Peng. Setiap kawasan Parlimen di Daerah Batu Pahat mempunyai 2 kawasan DUN
kecuali Parlimen Batu Pahat yang mempunyai 3 kawasan DUN.
Keempat-empat kerusi Parlimen di dalam Daerah Batu Pahat ini diwakili oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat (Y.B.) daripada Barisan Nasional iaitu :
Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat)
Y.B. Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz (Sri Gading)
Y.B. Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong)
Y.B. Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong (Ayer Hitam)
Daerah Batu Pahat
sememangnya bertuah kerana Y.B. Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Y.B.
Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong (Ayer Hitam) adalah merupakan Timbalan-Timbalan
Menteri Pelajaran. Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) pula merupakan bekas
Timbalan Menteri Sumber Manusia sebelum digugurkan. Manakala Y.B. Datuk Hj.
Mohamad Hj. Aziz (Sri Gading) pula adalah merupakan ‘Panglima’ bagi Kelab
Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di dalam Dewan Rakyat.
Daerah Batu Pahat
juga sebenarnya bertuah kerana Ahli-Ahli Parlimennya adalah insan penting di
dalam parti politik yang diwakilinya. Contohnya Y.B. Dr. Mohd. Puad Zarkashi
adalah merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Y.B. Datuk
Hj. Mohamad Hj. Aziz pula merupakan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia,
Y.B. Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong pula adalah Ketua Pemuda MCA Kebangsaan manakala
Y.B. Datuk Noraini Ahmad pula adalah merupakan bekas Ketua Pergerakan Puteri
UMNO Malaysia tetapi tewas di dalam pertandingan jawatan Ahli Majlis Tertinggi
UMNO.
Di dalam
perbincangan atau pemerhatian di sini, saya tidak mahu mengulas mengenai
kerusi-kerusi DUN yang berada di dalam kawasan-kawasan Parlimen tersebut.
Sekiranya perlu saya akan mengaitkannya juga.
Baru-baru ini
Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional dan
Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa Barisan Nasional
akan meletakkan calon yang boleh menang tanpa mengira usia. Hal ini bermakna faktor
usia bukanlah kekangan bagi menggantikan calon atau wakil rakyat yang sudah
berusia kerana perkara yang paling utama adalah kemenangan bagi parti.
Di sini saya
sertakan serba sedikit pendapat, andaian mahupun kemungkinan yang bakal berlaku
di dalam dunia politik khususnya yang melibatkan parti politik utama selaku
penyandang di kawasan-kawasan Parlimen Daerah Batu Pahat.
Parlimen Sri Gading
Saya tertarik
untuk mengulas mengenai Parlimen Sri Gading kerana saya membesar di dalam
suasana politik Bahagian Sri Gading. Hal ini kerana ayahanda saya pernah
berkhidmat sebagai Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Gading sehingga tahun 2004,
yang kini Ahli Parlimen berkenaan sudah berjaya memegang jawatan Timbalan
Pengerusi Tetap UMNO Malaysia selepas bertanding untuk kali kedua.
Saya tidak
mahu memuji Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz atau lebih dikenali sebagai Datuk Mat
Aziz di sini, kerana saya selalu mendengar perkara yang baik-baik mengenai
beliau daripada ayahanda saya. Sememangnya beliau seorang yang tegas dan
lantang bersuara sama ada di dalam kawasan Parlimennya termasuklah di dalam
Dewan Rakyat. Namun begitu, saya pernah terbaca di dalam buku hasil penulisan
seorang penulis buku politik, penulis tersebut menyatakan bahawa kemunculan
Datuk Mohamad Aziz seakan-akan terlewat kerana beliau sepatutnya muncul ketika
berusia awal 50-an. Saya kurang pasti mengenai usia Datuk Mohamad Aziz kini
(barangkali 71 tahun). Sesuatu yang ingin saya nyatakan di sini ialah UMNO
kekurangan pelapis seperti mana Datuk Mohamad Aziz yang lantang dan tegas
bersuara serta tahu menjaga hati rakyat dan pengundi. Ketegasan amat perlu
untuk mengawal keadaan ketika berurusan dengan pelbagai ragam manusia.
Sejak pilihan
raya umum 2008 lagi sudah terdengar desas desus mengenai calon muda yang bakal
menggantikan Datuk Mohamad Aziz, namun begitu Barisan Nasional masih memberikan
kepercayaan kepada beliau untuk bertanding dan rakyat yang juga penggundi di
Sri Gading juga berpuas hati dengan khidmat beliau. Namun begitu, kini ketika
rentak dan irama pilihan raya umum dikumandangkan maka kisah individu yang
ingin bertanding juga mula kedengaran.
Sememangnya diakui Datuk Mohamad Aziz adalah
wakil rakyat veteran namun begitu dengan jawatan beliau sebagai Ketua UMNO
Bahagian Sri Gading dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia maka agak sukar
untuk mengatakan bahawa beliau tidak akan dipilih sebagai calon untuk kesekian
kalinya di Parlimen Sri Gading mewakili Barisan Nasional. Mungkin atas dasar
usia maka beliau sudah tidak sesuai untuk bertanding tetapi apabila dilihat
akan jawatan yang dipegang oleh beliau di dalam parti itu sebenarnya melayakkan
beliau untuk dipilih semula. Kenyataan saya ini sebenarnya adalah selari dengan
kenyataan Presiden UMNO untuk mencalonkan calon yang boleh membawa kemenangan
kepada parti tanpa mengira usia. Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew
masih mampu bertanding pada usia melebihi 80 tahun.
Salah seorang
Naib Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar yang mengatakan
bahawa seseorang itu tidak semestinya di pilih sebagai calon berdasarkan
jawatan yang disandangnya di dalam parti. Sekiranya Datuk Mohamad Aziz tidak
dipilih sebagai calon, siapakah insan yang bakal mewakili Barisan Nasional di
kawasan Parlimen Sri Gading?
Persoalan yang
menarik saya timbulkan di atas. Sudah pasti nama-nama daripada UMNO Bahagian
Sri Gading akan disenaraikan oleh UMNO Bahagian selepas bermesyuarat dan
diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri.
Di antara calon
popular yang dilihat bakal menggantikan Datuk Mohamad Aziz ialah Y.B. Datuk
Abd. Aziz Kaprawi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit
Raja dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO). Hal ini kerana
Datuk Aziz Kaprawi adalah merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dan
khabarnya (berdasarkan perbualan orang-orang UMNO Sri Gading) beliau agak
‘akrab’ dengan Presiden UMNO.
Akan tetapi, nama Datuk Aziz Kaprawi sebenarnya
sudah kedengaran disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Y.A.B.
Dato’ Abdul Ghani Othman ‘direhatkan selama-lamanya’ daripada kepimpinan parti
peringkat negeri. Seeloknya beliau kekal menjaga kawasan DUN Parit Raja kerana
beliau calon tempatan yang unggul. Sekiranya ada rezeki, insyaAllah beliau akan
menjadi Menteri Besar.
Mungkinkah akan
ada calon yang tidak disangka-sangka muncul di Parlimen Sri Gading bagi
mewakili Barisan Nasional? Satu persoalan yang cukup menarik saya timbulkan
sekali lagi di sini.
Sejarah
mencatatkan bahawa suatu ketika Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham
Tun Hussein Onn pernah menjadi Ahli Parlimen Sri Gading. Mungkinkah anakanda
beliau akan bertanding di Parlimen Sri Gading? Siapakah anakanda beliau? Beliau
adalah Y.B. Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.
Jika masih ada yang tidak
mengenali nama Datuk Seri Hishamuddin, beliau adalah merupakan Naib Presiden
UMNO dan Menteri Dalam Negeri. Beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Menteri
Amaran’ kerana beberapa perkara yang tidak sewajarnya saya nyatakan di sini.
Gelaran ‘Menteri Amaran’ bukan sahaja ‘direstui’ oleh rakyat biasa tetapi turut
‘direstui’ oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Mengapa beliau yang saya nyatakan
bakal bertanding di Parlimen Sri Gading? Bukankah beliau kini merupakan Ahli
Parlimen Sembrong? Di dalam dunia ini tiada yang mustahil sekiranya beliau
meminta keizinan daripada Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (juga sepupu beliau) seandainya beliau ingin berpindah ke Parlimen Sri Gading yang lebih selamat dan
merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional.
Adakah Parlimen Sembrong tidak
selamat untuk seorang yang berstatus Naib Presiden UMNO? Tepuk dada tanya hati
dan risik-risiklah dengan pihak yang ‘berkepentingan’ di Parlimen Sembrong itu
sendiri, mungkin ada maklumat yang tidak dikhabarkan kepada umum dan tidak
sesuai dicatatkan di sini.
Selain itu,
mungkin juga akan diletakkan calon ‘payung terjun yang kembali mendarat ke
bumi’. Maksudnya calon anak tempatan tetapi tidak mempunyai jawatan di dalam
UMNO Bahagian Sri Gading. Siapakah beliau?
Saya beranggapan kemungkinan besar Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee akan
bertanding di dalam PRU akan datang kerana Presiden-Presiden MBM sebelum ini di
pilih menjadi calon mewakili Barisan Nasional. Saudara Maliki bukanlah orang
asing di dalam kawasan Parlimen Sri Gading. Beliau merupakan anak jati Kampung
Baru, Parit Yaani. Allahyarham ayahanda beliau juga merupakan insan yang dikenali dan disegani. Walaupun Saudara Maliki berkhidmat sebagai staf di salah sebuah
Institusi Pengajian Tinggi Awam di utara tanah air (kini bercuti) dan menjadi
Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) dan seterusnya menjadi
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), beliau masih kembali ke kampung halaman
dengan program-program yang bermanfaat untuk anak-anak muda di sana. Beliau
juga seorang yang mudah mesra dan mudah didekati. Saya beranggapan dan agak
yakin untuk menyatakan bahawa sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib inginkan Presiden
MBM ini bertanding di dalam PRU akan datang, kawasan Parlimen yang bakal
dipilihnya sudah tentu ialah Parlimen Sri Gading.
Berdasarkan pertanyaan
peribadi saya kepada Saudara Maliki, saya membuat kesimpulan bahawa beliau
sebenarnya berminat untuk berkhidmat di
kawasan Parlimen Sri Gading dan berkhidmat kepada negara. Bukanlah saya hendak
memuji atau hendak mengangkat beliau setinggi langit tetapi Saudara Maliki yang
pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth Yong Peng (sekolah
saya juga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Sulaiman ini masih tahu
mengenang jasa guru-guru dan berbakti di tempat beliau menimba ilmu. Secara
peribadi saya menyokong beliau walaupun kawasan Parlimen untuk saya mengundi
adalah Ayer Hitam.
Parlimen Ayer Hitam
Kawasan Parlimen
Ayer Hitam diwujudkan semula pada tahun 2004 apabila persempadanan semula kawasan
pilihan raya diadakan. Diwujudkan dengan gabungan kawasan Parlimen Sri Gading
dan Parlimen Parit Sulong.
Datuk Dr. Ir. Wee
Ka Siong merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam sejak tahun 2004. Beliau merupakan
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, berasal daripada
Melaka. Walaupun beliau kaum Cina tetapi beliau fasih bertutur bahasa Melayu
dan pandai menulis dan membaca Jawi.
Saya merupakan
penggundi berdaftar di Parlimen Ayer Hitam dan DUN Semarang. Ayahanda saya
merupakan pencadang kepada calon Barisan Nasional untuk dua penggal
berturut-turut (2004 dan 2008). Walaupun lebih 56 peratus pengundi Parlimen
Ayer Hitam adalah Melayu, tetapi calon BN daripada MCA ini berjaya memenangi
kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti yang besar.
Sememangnya
orang-orang Melayu termasuklah orang UMNO sendiri bersuara menentang calon MCA
bertanding mewakili BN di Parlimen Ayer Hitam. Hal ini kerana peratusan
pengundi Melayu melebihi 56 peratus dan sewajarnya calon UMNO yang bertanding.
Namun begitu atas nama kesepakatan di dalam komponen BN maka calon MCA tetap
diterima. Suka atau pun tidak, kini kedengaran suara-suara yang menyatakan
bahawa mereka tidak mahu Dr. Wee Ka Siong bertanding semula di Parlimen Ayer
Hitam. Mengapa? Mungkin kerana disebabkan oleh beberapa tindakan atau kenyataan
Ahli Parlimen Ayer Hitam ini yang menjurus kearah mempertikai hak-hak orang
Melayu seperti pemberian biasiswa. Mungkin sajalah.
Jika tidak silap,
ada beberapa pihak mengatakan bahawa PRU tahun 2008 sebenarnya Dr. Wee Ka Siong
sepatutnya berpindah kawasan Parlimen. Khabarnya beliau perlu berpindah ke
Parlimen Bakri tetapi beliau tidak mahu. Syukurlah, jika beliau berpindah ke
Parlimen Bakri mungkin beliau akan tewas kerana tahun 2008 BN tewas di Parlimen
Bakri di tangan DAP.
Sekiranya Dr. Wee
Ka Siong tidak bertanding di Parlimen Ayer Hitam, siapakah calon yang bakal
menggantikan tempat beliau? Saya tetap yakin kerusi itu khusus untuk MCA.
Walaupun perwakilan-perwakilan UMNO yang bersidang di peringkat Bahagian
mahukan kerusi itu diberikan kepada UMNO tetapi kuasa kepimpinan atasan tidak
mampu dibantah oleh ahli diperingkat akar umbi. Kuasa veto terletak di tangan
pemimpin tertinggi parti. Buatlah mesyuarat tergempar sekalipun dan serahkanlah
memorandum kepada Presiden UMNO sekalipun, saya yakin Parlimen Ayer Hitam tetap
kekal untuk MCA.
Ketua UMNO
Bahagian Ayer Hitam, Datuk Hj. Samsolbari Jamali yang juga merupakan ADUN
Semarang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor sudah tentu tidak
akan tercalon sebagai calon BN Parlimen Ayer Hitam. Begitu juga dengan Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Saudara Mohd. Fadil Muskon yang
juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, sudah tentu beliau
tidak akan dicalonkan sebagai calon BN di Parlimen Ayer Hitam. Rasanya Ketua
Pemuda UMNO Negeri Johor ini tidak menginginkan jawatan wakil rakyat kerana
beliau mempunyai tugas hakiki yang lebih bagus di Kuala Lumpur (khabarnya).
Persoalan masih
belum terjawab. Siapakah yang bakal menjadi calon di Parlimen Ayer Hitam bagi
menggantikan Dr. Wee Ka Siong? Seperti mana saya nyatakan di atas, sudah
tentulah calonnya adalah daripada MCA.
Adakah mungkin calon itu adalah Presiden
MCA sendiri? Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek? Mungkin. Saya ulangi mungkin. Hal ini
kerana beliau adalah berasal daripada Daerah Batu Pahat dan merupakan bekas
EXCO Johor sebelum bertanding di Parlimen Labis pada tahun 2004. Mungkinkah
beliau akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam? Saya rela tidak kembali ke Johor
untuk mengundi sekiranya beliau bertanding di Parlimen Ayer Hitam kerana saya
tidak mahu memilih pemimpin yang mempunyai skandal seks. Walaupun ada
pemimpin-pemimpin Melayu ‘memaafkan’ perlakuan itu, saya menganggap mereka
semua itu adalah hipokrit atau munafik kerana bermuka-muka menyokong dan
memaafkan perlakuan sedemikian itu.
Memandangkan saya
juga merupakan pengundi berdaftar di DUN Semarang, saya ingin membuat sedikit
persoalan. Siapakah yang bakal menjadi calon Barisan Nasional bagi DUN
Semarang? Kini DUN Semarang disandang oleh Y.B. Datuk Samsolbari Jamali dan
beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam. Selain itu beliau juga adalah
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor.
Adakah Datuk
Samsolbari Jamali akan dicalonkan semula untuk penggal ketiga? Secara peribadi
saya tidak mengenali Datuk Samsol tetapi saya masih ingat lokasi dan hari di
mana beliau disebut-sebut untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam pada
pemilihan parti tahun 2004. Sekiranya beliau terpilih sebagai calon kerana
jawatan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam dan Ketua Penerangan UMNO
Negeri Johor maka itu adalah amat bersesuaian dan saya menyokongnya. Adalah diharapkan beliau dapat
kerap bertemu rakyat dan selalu memenuhi jemputan atau undangan rakyat tanpa
selalu menghantar wakil rasmi sahaja. Jika terlalu kerap menghantar wakil
rasmi, banyak pihak akan marah dan undi juga akan berkurangan.
Adakah Ketua
Pemuda UMNO Johor Mohd Fadil Muskon akan dicalonkan sebagai calon Barisan
Nasional di DUN Semarang? Kemungkinan besar itu akan berlaku. Namun begitu
seperti mana yang telah saya nyatakan di atas, beliau mungkin sudah selesa
dengan tugas hakiki beliau di Kuala Lumpur. Sekiranya beliau dicalonkan juga,
sudah tentu beliau perlu menetap di dalam kawasan dan tidak perlu rasanya
berulang-alik Johor – Kuala Lumpur.
Parlimen Batu Pahat
Saya tidak mahu
mengulas panjang mengenai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Batu Pahat.
Dengan kedudukan penyandang kerusi tersebut iaitu Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi
selaku Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
rasanya beliau mempunyai peluang yang cerah untuk bertanding semula.
Segalanya mungkin
berlaku. Mungkin juga Dr. Puad Zarkashi tidak akan dicalonkan semula atas
sebab-sebab yang tidak diketahui umum. Sukar untuk meramalkan situasi di Batu
Pahat kerana menurut kata-kata seorang insan yang saya temui di Batu Pahat,
beliau mengatakan bahawa tidak ada calon daripada UMNO Bahagian yang dilihat
layak dan sesuai untuk berada di posisi Ahli Parlimen selepas Dr. Puad
Zarkashi.
Mungkinkah akan
ada calon luar yang bakal bertanding di Parlimen Batu Pahat mewakili Barisan
Nasional? Mungkinkah Y.B. Datuk Razali Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO
Malaysia akan berpindah ke Parlimen Batu Pahat kerana undi majoriti yang
diperolehi beliau di Parlimen Muar agak ‘menakutkan’? Segalanya mungkin
berlaku.
Diharapkan calon di Parlimen Batu Pahat nanti bukanlah calon yang akan memberikan kemenangan percuma kepada pihak lawan seperti mana calon Barisan Nasional di DUN Senggarang pada pilihan raya umum tahun 2004.
Jika mengikut
populariti, saya beranggapan insan yang paling sesuai berdasarkan populariti
dan dikenali di Parlimen Batu Pahat itu adalah saudara saya ini. Namun begitu insan
ini sudah tidak sesuai bertanding kerana faktor kesihatan. Andaian ini hanya sekadar
gurauan sahaja.
Cikgu Ali Badron Tarbus (kanan)
Tokoh Warisan Orang Hidup
Parlimen Parit Sulong
Parlimen Parit
Sulong kini diwakili oleh Y.B. Datuk Noraini Ahmad yang juga bekas Ketua
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Beliau tewas di dalam perebutan jawatan Ahli
Majlis Tertinggi UMNO. Berdasarkan kata-kata yang didengari daripada
pihak-pihak tertentu di Parit Sulong, beliau berkhidmat dengan baik
dikawasannya. Namun begitu, adakah beliau akan dipilih semula kerana beliau
tidak mempunyai jawatan utama di dalam parti? Mungkin, jika sekiranya pemimpin
utama peringkat negeri dan kebangsaan ingin beliau kekal di situ.
Sekiranya Datuk
Noraini Ahmad tidak dicalonkan semula, siapakah insan yang bakal
menggantikannya?
Calon yang
dilihat berpotensi ialah Y.B. Datuk Ahmad Zahri Jamil yang juga merupakan ADUN
Seri Medan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) dan Ketua UMNO
Bahagian Parit Sulong. Beliau merupakan EXCO Kanan Kerajaan Johor dan juga
disebut-sebut bakal Menteri Besar Johor. Namun begitu, khabarnya kesihatan
beliau tidak mengizinkan untuk dipilih semula jika sekiranya setiap calon
diwajibkan menjalani ujian kesihatan. Sama ada faktor kesihatan ini adalah
betul atau tidak, hanya Allah S.W.T dan beliau sahaja yang tahu.
Selain itu, Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan juga di
lihat berpotensi untuk menjadi calon bagi Barisan Nasional di Parlimen Parit
Sulong. Datuk Zulkurnain Kamisan juga merupakan Ahli Majlis Daerah Yong Peng.
Khabarnya beliau adalah seorang kontraktor yang berjaya. Berdasarkan perbualan
dengan beberapa orang, beliau agak ‘kurang hormat’ dengan orang lain. Itu
berdasarkan apa yang saya dengar dan saya tidak mahu mengiakan mahupun
menidakkan kata-kata sedemikian dengan hanya mendengar kata-kata beberapa orang
sahaja. Adalah tidak wajar untuk beliau bertanding di dalam pilihan raya kerana
sekiranya menang sudah tentu akan ada orang yang mengatakan beliau menyalahguna
kuasa demi untuk mendapatkan projek-projek bagi syarikatnya. Walaupun mungkin
beliau tidak melakukannya, adakah mampu beliau menafikannya? Demi survival dan
nama baik UMNO dan Barisan Nasional, seeloknya tidak perlu beliau bertanding.
Sebelum Datuk
Noraini Ahmad menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong, Tuan Hj. Syed Hood Syed Edros
adalah penyandang kerusi Parlimen tersebut sejak tahun 2004. Terdapat ura-ura
yang menyatakan beliau bakal bertanding semula di Parlimen Parit Sulong. Beliau
sememangnya dikenali kerana merupakan orang kuat di dalam Pertubuhan Belia 4B
Negeri Johor. Saya tidak berminat untuk mengulas panjang mengenai Tuan Hj. Syed
Hood Syed Edros, sekiranya anda berminat bolehlah melayari blog bekas Ahli Parlimen
Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad (kuda-kepang.blogspot.com).
Kesimpulan
Setiap kali
mandat hampir kepenghujung, maka akan ada desas desus yang mungkin sengaja
dikumandangkan untuk menarik perhatian dan sokongan. Sebagai pemerhati yang
memerhati daripada jauh, bukanlah tujuan saya untuk menjatuhkan hukum apatah
lagi melobi untuk pihak-pihak tertentu menjadi calon. Sebagai rakyat, bakal
pengundi, dan pembayar cukai saya berhak membuat penilaian berdasarkan
pemerhatian, maklumat dan kata-kata individu mahupun kumpulan yang menjurus ke
arah penulisan ini.
Adalah menjadi
satu harapan bagi mahasiswa dan mahasiswi di seluruh tanah air khususnya di
sebuah pulau utara Semenanjung Malaysia supaya Menteri Besar yang baru nanti
akan lebih mesra dan ramah dengan golongan muda yang berada di menara gading.
Jangan kerana golongan ini berada pada jarak yang jauh maka itu dijadikan sebab
untuk tidak beramah mesra dan mengabaikan mereka. Adalah tidak wajar hanya
menghantar wakil rasmi untuk menghadiri sesuatu program selepas mengesahkan
akan hadir ke sesuatu program.
Saya menulis
berdasarkan pengalaman sebagai mantan Yang Di-Pertua Persatuan Anak Johor di
sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang telah ‘diabaikan’ oleh pemimpin-pemimpin
nun jauh di selatan Semenanjung Malaysia. Kami menulis dan menghantar lebih 70
pucuk surat kepada hampir semua wakil rakyat di Negeri Johor, namun begitu
tidak ada satu surat pun yang telah dijawab oleh mereka. Kemungkinan besar
kesemua surat tersebut telah tercicir ketika posmen berusaha untuk menghantarnya
semasa banjir melanda Negeri Johor pada bulan Mac 2011 yang lalu, akan tetapi
ada juga beberapa pucuk surat yang telah diserahkan secara terus kepada
wakil-wakil rakyat berkenaan dan diterima sendiri oleh Ahli Yang Berhormat itu.
Tidak mengapa, mungkin mereka ketika itu sedang berada dalam keadaan yang
selesa. Surat-surat berkenaan bukan sahaja cara untuk meminta sumbangan
kewangan bagi program-program Anak Johor di IPTA tetapi dalam masa yang sama
adalah untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi bersama
pemimpin. Duit bukanlah segala-galanya tetapi tanpa duit sukar untuk melaksanakan sesuatu program. Pemimpin-pemimpin berkenaan juga tahu akan kepentingan duit kerana 'kertas' itu mampu meraih sokongan pengundi contohnya semasa pemilihan parti.
Mungkin mereka iaitu Ahli
Yang Berhormat terlupa bahawa pengundi-pengundi yang setia kepada mereka dan
parti sudah semakin tua dan akan pergi jua. Mungkin mereka lupa bahawa golongan
muda ini akan mengundi dan kami yang berada jauh di utara Semenanjung Tanah Air
ini pastinya akan diberikan pengangkutan percuma untuk kembali ke Johor untuk
mengundi. Saya terpaksa mengakui kata-kata mantan YDP sebelum saya menerima
tanggungjawab memimpin persatuan bahawa, surat dan jemputan kita ‘budak-budak’
ini tidak akan dilayan oleh pemimpin di selatan sana. Jika tiba-tiba ada
program yang diadakan atas permintaan pemimpin-pemimpin Negeri Johor dan mereka
meminta ‘kita’ menguruskannya, ini bermakna pilihan raya sudah semakin dekat.
Adakah benar
pilihan raya sudah semakin dekat? Jawapannya adalah YA!
Hal ini kerana
pada 21 Oktober 2011 yang lalu Persatuan Anak Johor di sebuah IPTA baru sahaja
mengadakan program bersama Biro Tatanegara Negeri Johor. Pada awalnya program
itu hanya diadakan diantara ‘anak beranak’ sahaja tanpa melibatkan orang luar. Akan
tetapi selepas Datuk Adham Baba (ADUN Pasir Raja) membatalkan hasrat untuk
bersama di dalam program tersebut (untuk kali kedua program bersama dibatalkan dan dana juga ditarik semula), maka dengan kadar segera
BTN telah meminta untuk turut serta di dalam program dan seperti biasa ada slot
khas untuk BTN (khabarnya penganjur juga tidak mengetahui bagaimana pihak BTN
tahu mengenai program tersebut).
Seperti mana kata-kata senior yang lepas, jika
pilihan raya sudah dekat maka akan berpusu-pusulah orang-orang di selatan datang
untuk ‘melawat’ adik-adik di pulau yang maju ini. Saya sendiri telah dibisikkan
secara peribadi oleh Penolong Pengarah mengenai hasrat ‘lawatan mengejut’ pihak
BTN ke program tersebut iaitu adalah kerana pilihan raya, dan insyaAllah akan
ada bas untuk anak-anak Johor kembali ke Johor semasa pilihan raya nanti.
Jawapan saya mudah ketika itu, sediakanlah bas sebanyak mana pun tetapi undi
setiap individu adalah rahsia. Perkara ini adalah berdasarkan perbualan yang
dibisikkan di telinga saya. Sekiranya salah bisikkan itu, maka tulisan ini juga
adalah salah.
Di dalam sistem
demokrasi, setiap individu berhak dan bebas untuk membuat pilihan. Tidak
membuat pilihan itu juga sebenarnya adalah pilihan. Sekiranya saya ingin
memilih pemimpin, individu yang bakal menjadi imam itu mestilah lebih baik dan
pandai memimpin. Paling utama adalah tidak mempunyai rekod pecah amanah, minum
arak, berzina, dan tidak masuk bertanding menjadi calon pilihan raya sekadar
untuk mencari kekayaan demi mengenyangkan perut ahli keluarga dan kroni-kroni
sahaja.
Adalah menjadi
sesuatu yang lebih bijak dan bijaksana sekiranya pemimpin-pemimpin yang telah
dipilih menjadi pemimpin sama ada di peringkat bawah hinggalah yang tertinggi
mampu menjadi pemimpin untuk seluruh rakyat dan bukannya menjadi pemimpin hanya
untuk ahli-ahli parti mereka sahaja. Perlu disedari bahawa semasa proses
pilihan raya berlangsung, setiap calon yang bertanding akan bertanding
berdasarkan ideologi parti yang diwakilinya.
Apabila calon itu terpilih
menduduki sesuatu jawatan sama ada sebagai Ahli Parlimen contohnya, maka ia perlu
menjadi suara dan mewakili keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengikut
ideologi politik. Sebagai contoh, sekiranya Saudara Mohamed Maliki adalah calon
Ahli Parlimen Barisan Nasional di Parlimen Sri Gading, dan ditakdirkan beliau
menang di dalam pilihan raya maka beliau bukan lagi Ahli Parlimen yang akan
menyuarakan mengenai kepentingan Barisan Nasional dan ahli-ahli UMNO Bahagian
Sri Gading sahaja malahan mewakili seluruh manusia di Parlimen Sri Gading
termasuklah ahli parti pembangkang. Rata-rata wakil rakyat yang ada kini
mungkin terlupa dan mungkin juga disebabkan itu mereka tidak memberikan bantuan
kepada penduduk yang susah kerana bukan ahli parti tetapi penyokong kuat
pembangkang. Tidak perlulah rasanya bantuan yang disalurkan kepada rakyat memiliki lambang mana-mana parti politik, jelas bahawa itu adalah wang kerajaan dan bukannya wang parti.
Akhir kata, penulisan
ini bukanlah untuk mencari musuh mahupun memuji secara keterlaluan. Ibu bapa
saya adalah ahli UMNO dan secara automatik saya mengenali UMNO dan begitu rapat
dengan UMNO. Namun begitu, tidak semestinya saya akan mengangguk demi untuk
menjaga hati pemimpin kerana hendak menjaga periuk nasi. Saya juga tidak akan
berdiam diri sekiranya saya menjadi penumpang dan ‘kereta’ yang dipandu secara
melulu sudah menghampiri gaung.
Penulisan ini
hanya sekadar andaian. Setiap insan bebas membuat andaian kerana segalanya
mungkin berlaku di dalam dunia politik yang penuh kepura-puraan. Di dalam dunia
politik, musuh dan kawan tidak kekal lama, musuh kita hari ini mampu menjadi
sahabat kita suatu ketika nanti demi untuk kuasa dan kepentingan.
Segalanya mungkin berlaku dengan keizinan-Nya.
Terima kasih
diucapkan kepada seluruh Profesor, Profesor Madya, Doktor, tenaga pengajar dan
rakan-rakan Major Sains Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia kerana memberikan tunjuk ajar dan ilmu di dalam
bidang Sains Politik.
Sekian. Wassalam.
Muhammad
Syukri Sa’adon
Mantan Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR),
Universiti Sains Malaysia 2010/2011.
Mantan Exco Kelab Sains Politik Universiti Sains
Malaysia 2009/2010.
Pengundi Berdaftar Parlimen Ayer Hitam dan DUN Semarang.
Tahniah dan syabas.....dua kali menggunakan perkataan 'segalanya mungkin'.....mungkin tepat mungkin tersasar. Paling menarik ulasan kerusi Parlimen Seri Gading mungkin meletakkan Hishamuddin sebagai calonnya......segalanya mungkin.
BalasPadamTahniah atas kupasan bernas dari pemikir muda seperti anda. Komen saya, jika MP seperti Seri Gading berterusan diberikan tempat oleh BN/UMNO, bagaimana peluang anak muda seperti saudara syukri, PRU13 berilah peluang kepada abang atau genarasi lebih dewasa dpd syukri dan nanti mereka pula akan wariskan kepada genarasi sebaya syukri untuk diangkat menjadi pemimpin,jika tidak diubah sekarang peluang untuk genarasi muda yang diasuh dididik akan menjadi sis-sia. Harapan kita semua berilah peluang kepada pemimpin lebih muda TUKAR SEGERA MP yg ada ini. UMNO bukan harta pusaka yang nak diwariskan kepada individu dan kroni-kroni.
BalasPadamsangat menarik hujah yang dibuat, saya cuba untuk mengulas sedikit dulu diperingkat parlimen Seri Gading,yang lain akan menyusul kemudian. sebenarnya syarat ditetapkan najib untuk memilih calon boleh menang bukan hanya terletak kepada apa jawatan dia,berapa usianya dan kedudukannya dalam UMNO. namun yang paling utama dia (calon) mesti disukai serta dikenali rakyat tempatan oleh kerana setiap undi akan datang dari kawasan itu saja. dari segi kriteria pula, Najib tidak pernah menyebut untuk meletakkan calon kelulusan tinggi dan sebagainya, namun BN hanya menetapkan seseorang itu perlu pandai dan bijak membuat perancangan jangka panjang demi pembangunan dikawasan itu. dan jika kita praktikkan di kawasan Sri Gading, maka disitu adakah kawasan itu sudah mengikut kreteria ditetapkan. siapa calon tidak penting, kita juga tahu sumbangan YB aziz yang sudah memerintah parlimen sekian lama sejak Tun Mahathir tidak menjadi PM lagi. Namun perlu diingat, proses percambahan idea dan pembaharuan berterusan akan dapat dilihat jika pembaharuan dalam kepipimpinan dibuat setiap masa (jika ikut kebiasaan politik malaysia dua sidang PRU) dengan tidak meletakkan pemimpin asal terlalu lama dalam pemerintahan itu. siapa calon PRU-13, muka baru pasti berlaku, namun siapa dia? akan kita tunggu..namun beberapa calon diketengahkan itu (diatas) dilihat semuanya memang layak. Di Dua DUN di P. Sri Gading, mungkin satu dikekalkan dan satu lagi muka baru (dipilih dari jawatankuasa pemuda/UMNO bahagian) serta kerusi parlimen dijangka turut mengalami perubahan. siapa calon, akan diumumkan najib nanti.
BalasPadamTerima kasih atas ulasan berkenaan. lumrah manusia, apabila tiada apa-apa maka mulalah mahu mencari. sudah memiliki sesuatu maka hendak pula sesuatu yang lebih. hendak mendapat sesuatu sehingga mengabaikan harga diri dan menafikan hak orang lain
BalasPadammaaf memberi komen -- mana ketuanan melayu milik melayu terlepas ke tangan cina -parlimen air hitam dulu milik rakyat melayu peratus melayu ramai --tapi ketuanan cina miliki parlimen air hitam
BalasPadamSIAPA DAN SIAPA?
BalasPadamsiapa ini lah yg menyebabkan pertelagahan secara halus dalam rumah (parti)
fikirlah dan kupaslah...