Followers

Jumaat, November 18, 2011

Andaian & Teguran - Bakal Calon BN di Daerah Batu Pahat


Salam dan salam sejahtera,

Desas desus mengenai pilihan raya umum semakin rancak diperkatakan. Jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang. Saya yakin pokok yang bergoyang bukan kerana disebabkan oleh angin sahaja, mungkin ada monyet yang melompat-lompat diatasnya.

Pilihan raya umum ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008 seakan-akan baru kelmarin dilaksanakan, namun begitu bahang kehangatan pilihan raya umum ke-13 sudah mula dirasai apabila media-media dan ahli-ahli politik serta para pemerhati semakin menunjukkan minat untuk membuat andaian mengenai tarikh Dewan Rakyat atau Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri, itu pun setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya bilakah Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-13 diadakan? Hanya Allah S.W.T dan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sahaja yang mengetahuinya.

Walaupun mandat parti yang dipilih oleh rakyat pada 8 Mac 2008 akan berakhir pada tahun 2013, sejarah telah membuktikan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada tahun ke-4 pemerintahan parti yang membentuk kerajaan. Oleh itu kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada tahun 2012 adalah sangat besar. Kemungkinan besar akan berlaku selepas Tahun Baru Cina.

Sememangnya pilihan raya umum ke-13 merupakan pilihan raya yang akan menjadi tumpuan banyak pihak kerana Barisan Nasional akan bertarung habis-habisan bagi menilai hasil usaha selama 4 tahun untuk mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat selepas mengalami kemenangan yang mengejutkan disertakan dengan kekalahan pemimpin-pemimpin besar parti gabungan itu. Di samping itu juga, parti PAS, DAP dan PKR yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat (masih belum didaftarkan secara rasmi) akan berusaha menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional sekali lagi di Dewan Rakyat / Parlimen jika sekiranya gagal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Negara sejak merdeka (Parti Perikatan sebelum diganti dengan Barisan Nasional).

Di ruangan ini saya tidak mahu menaip mengenai pilihan raya ke-13 yang meliputi 222 kerusi Parlimen. Saya hanya berhasrat menaip dan menyentuh mengenai lokasi pilihan raya di dalam kawasan Daerah Batu Pahat, iaitu daerah tempat saya dilahirkan dan membesar serta menuntut ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang dan kini mencari rezeki di Pulau Pinang.

Saya mengetahui mengenai politik kepartian bermula tahun 1999 apabila bapa saya dan rakan-rakannya bertungkus lumus bekerja untuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Barisan Nasional. Ketika itu rumah arwah datuk saya menjadi lokasi atau bilik gerakan Barisan Nasional. Tahun 1999 itu juga Daerah Batu Pahat memiliki 3 kawasan Parlimen iaitu Parlimen Batu Pahat, Parlimen Sri Gading, dan Parlimen Parit Sulong.

Selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya di dalam kawasan Daerah Batu Pahat dilakukan, satu kawasan Parlimen diwujudkan semula iaitu Parlimen Ayer Hitam. Maka pada tahun 2004 Daerah Batu Pahat mempunyai 4 kawasan Parlimen iaitu Batu Pahat, Sri Gading, Parit Sulong, dan Ayer Hitam dan Barisan Nasional menguasai kerusi-kerusi Parlimen tersebut pada pilihan raya umum tahun 2004 di mana BN mencapai kemenangan terbesar di dalam sejarah ketika kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seperti mana dinyatakan sebelum ini, Daerah Batu Pahat mempunyai 4 kawasan Parlimen. Parlimen Batu Pahat sahaja memiliki 3 kawasan Dewan Negeri (DN) atau juga dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Penggaram, DUN Senggarang, dan DUN Rengit. Parlimen Parit Sulong pula mempunyai 2 kawasan DUN iaitu DUN Seri Medan dan DUN Semerah. Parlimen Sri Gading juga mempunyai 2 kawasan DUN iaitu DUN Parit Raja dan DUN Parit Yaani. Akhir sekali ialah Parlimen Ayer Hitam juga mempunyai 2 kawasan DUN iaitu DUN Semarang dan DUN Yong Peng. Setiap kawasan Parlimen di Daerah Batu Pahat mempunyai 2 kawasan DUN kecuali Parlimen Batu Pahat yang mempunyai 3 kawasan DUN.

Keempat-empat kerusi Parlimen di dalam Daerah Batu Pahat ini diwakili oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat (Y.B.) daripada Barisan Nasional iaitu :   

Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat)

Y.B. Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz (Sri Gading)

Y.B. Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong)

Y.B. Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong (Ayer Hitam)

Daerah Batu Pahat sememangnya bertuah kerana Y.B. Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Y.B. Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong (Ayer Hitam) adalah merupakan Timbalan-Timbalan Menteri Pelajaran. Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) pula merupakan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia sebelum digugurkan. Manakala Y.B. Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz (Sri Gading) pula adalah merupakan ‘Panglima’ bagi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di dalam Dewan Rakyat.

Daerah Batu Pahat juga sebenarnya bertuah kerana Ahli-Ahli Parlimennya adalah insan penting di dalam parti politik yang diwakilinya. Contohnya Y.B. Dr. Mohd. Puad Zarkashi adalah merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. Y.B. Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz pula merupakan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Y.B. Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong pula adalah Ketua Pemuda MCA Kebangsaan manakala Y.B. Datuk Noraini Ahmad pula adalah merupakan bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia tetapi tewas di dalam pertandingan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Di dalam perbincangan atau pemerhatian di sini, saya tidak mahu mengulas mengenai kerusi-kerusi DUN yang berada di dalam kawasan-kawasan Parlimen tersebut. Sekiranya perlu saya akan mengaitkannya juga.

Baru-baru ini Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa Barisan Nasional akan meletakkan calon yang boleh menang tanpa mengira usia. Hal ini bermakna faktor usia bukanlah kekangan bagi menggantikan calon atau wakil rakyat yang sudah berusia kerana perkara yang paling utama adalah kemenangan bagi parti.

Di sini saya sertakan serba sedikit pendapat, andaian mahupun kemungkinan yang bakal berlaku di dalam dunia politik khususnya yang melibatkan parti politik utama selaku penyandang di kawasan-kawasan Parlimen Daerah Batu Pahat.


Parlimen Sri Gading

Saya tertarik untuk mengulas mengenai Parlimen Sri Gading kerana saya membesar di dalam suasana politik Bahagian Sri Gading. Hal ini kerana ayahanda saya pernah berkhidmat sebagai Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Gading sehingga tahun 2004, yang kini Ahli Parlimen berkenaan sudah berjaya memegang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia selepas bertanding untuk kali kedua.

Saya tidak mahu memuji Datuk Hj. Mohamad Hj. Aziz atau lebih dikenali sebagai Datuk Mat Aziz di sini, kerana saya selalu mendengar perkara yang baik-baik mengenai beliau daripada ayahanda saya. Sememangnya beliau seorang yang tegas dan lantang bersuara sama ada di dalam kawasan Parlimennya termasuklah di dalam Dewan Rakyat. Namun begitu, saya pernah terbaca di dalam buku hasil penulisan seorang penulis buku politik, penulis tersebut menyatakan bahawa kemunculan Datuk Mohamad Aziz seakan-akan terlewat kerana beliau sepatutnya muncul ketika berusia awal 50-an. Saya kurang pasti mengenai usia Datuk Mohamad Aziz kini (barangkali 71 tahun). Sesuatu yang ingin saya nyatakan di sini ialah UMNO kekurangan pelapis seperti mana Datuk Mohamad Aziz yang lantang dan tegas bersuara serta tahu menjaga hati rakyat dan pengundi. Ketegasan amat perlu untuk mengawal keadaan ketika berurusan dengan pelbagai ragam manusia.

Sejak pilihan raya umum 2008 lagi sudah terdengar desas desus mengenai calon muda yang bakal menggantikan Datuk Mohamad Aziz, namun begitu Barisan Nasional masih memberikan kepercayaan kepada beliau untuk bertanding dan rakyat yang juga penggundi di Sri Gading juga berpuas hati dengan khidmat beliau. Namun begitu, kini ketika rentak dan irama pilihan raya umum dikumandangkan maka kisah individu yang ingin bertanding juga mula kedengaran.

Sememangnya diakui Datuk Mohamad Aziz adalah wakil rakyat veteran namun begitu dengan jawatan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia maka agak sukar untuk mengatakan bahawa beliau tidak akan dipilih sebagai calon untuk kesekian kalinya di Parlimen Sri Gading mewakili Barisan Nasional. Mungkin atas dasar usia maka beliau sudah tidak sesuai untuk bertanding tetapi apabila dilihat akan jawatan yang dipegang oleh beliau di dalam parti itu sebenarnya melayakkan beliau untuk dipilih semula. Kenyataan saya ini sebenarnya adalah selari dengan kenyataan Presiden UMNO untuk mencalonkan calon yang boleh membawa kemenangan kepada parti tanpa mengira usia. Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew masih mampu bertanding pada usia melebihi 80 tahun.

Salah seorang Naib Presiden UMNO telah mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar yang mengatakan bahawa seseorang itu tidak semestinya di pilih sebagai calon berdasarkan jawatan yang disandangnya di dalam parti. Sekiranya Datuk Mohamad Aziz tidak dipilih sebagai calon, siapakah insan yang bakal mewakili Barisan Nasional di kawasan Parlimen Sri Gading?

Persoalan yang menarik saya timbulkan di atas. Sudah pasti nama-nama daripada UMNO Bahagian Sri Gading akan disenaraikan oleh UMNO Bahagian selepas bermesyuarat dan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti di peringkat negeri.

Di antara calon popular yang dilihat bakal menggantikan Datuk Mohamad Aziz ialah Y.B. Datuk Abd. Aziz Kaprawi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO). Hal ini kerana Datuk Aziz Kaprawi adalah merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dan khabarnya (berdasarkan perbualan orang-orang UMNO Sri Gading) beliau agak ‘akrab’ dengan Presiden UMNO. 

Akan tetapi, nama Datuk Aziz Kaprawi sebenarnya sudah kedengaran disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Y.A.B. Dato’ Abdul Ghani Othman ‘direhatkan selama-lamanya’ daripada kepimpinan parti peringkat negeri. Seeloknya beliau kekal menjaga kawasan DUN Parit Raja kerana beliau calon tempatan yang unggul. Sekiranya ada rezeki, insyaAllah beliau akan menjadi Menteri Besar.

Mungkinkah akan ada calon yang tidak disangka-sangka muncul di Parlimen Sri Gading bagi mewakili Barisan Nasional? Satu persoalan yang cukup menarik saya timbulkan sekali lagi di sini.

Sejarah mencatatkan bahawa suatu ketika Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn pernah menjadi Ahli Parlimen Sri Gading. Mungkinkah anakanda beliau akan bertanding di Parlimen Sri Gading? Siapakah anakanda beliau? Beliau adalah Y.B. Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein. 

Jika masih ada yang tidak mengenali nama Datuk Seri Hishamuddin, beliau adalah merupakan Naib Presiden UMNO dan Menteri Dalam Negeri. Beliau juga terkenal dengan gelaran ‘Menteri Amaran’ kerana beberapa perkara yang tidak sewajarnya saya nyatakan di sini. Gelaran ‘Menteri Amaran’ bukan sahaja ‘direstui’ oleh rakyat biasa tetapi turut ‘direstui’ oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Mengapa beliau yang saya nyatakan bakal bertanding di Parlimen Sri Gading? Bukankah beliau kini merupakan Ahli Parlimen Sembrong? Di dalam dunia ini tiada yang mustahil sekiranya beliau meminta keizinan daripada Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (juga sepupu beliau) seandainya beliau ingin berpindah ke Parlimen Sri Gading yang lebih selamat dan merupakan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional.


Adakah Parlimen Sembrong tidak selamat untuk seorang yang berstatus Naib Presiden UMNO? Tepuk dada tanya hati dan risik-risiklah dengan pihak yang ‘berkepentingan’ di Parlimen Sembrong itu sendiri, mungkin ada maklumat yang tidak dikhabarkan kepada umum dan tidak sesuai dicatatkan di sini.

Selain itu, mungkin juga akan diletakkan calon ‘payung terjun yang kembali mendarat ke bumi’. Maksudnya calon anak tempatan tetapi tidak mempunyai jawatan di dalam UMNO Bahagian Sri Gading. Siapakah beliau?

Saya beranggapan kemungkinan besar Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Saudara Mohamed Maliki Mohamed Rapiee akan bertanding di dalam PRU akan datang kerana Presiden-Presiden MBM sebelum ini di pilih menjadi calon mewakili Barisan Nasional. Saudara Maliki bukanlah orang asing di dalam kawasan Parlimen Sri Gading. Beliau merupakan anak jati Kampung Baru, Parit Yaani. Allahyarham ayahanda beliau juga merupakan insan yang dikenali dan disegani. Walaupun Saudara Maliki berkhidmat sebagai staf di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di utara tanah air (kini bercuti) dan menjadi Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) dan seterusnya menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), beliau masih kembali ke kampung halaman dengan program-program yang bermanfaat untuk anak-anak muda di sana. Beliau juga seorang yang mudah mesra dan mudah didekati. Saya beranggapan dan agak yakin untuk menyatakan bahawa sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib inginkan Presiden MBM ini bertanding di dalam PRU akan datang, kawasan Parlimen yang bakal dipilihnya sudah tentu ialah Parlimen Sri Gading. 

Berdasarkan pertanyaan peribadi saya kepada Saudara Maliki, saya membuat kesimpulan bahawa beliau sebenarnya  berminat untuk berkhidmat di kawasan Parlimen Sri Gading dan berkhidmat kepada negara. Bukanlah saya hendak memuji atau hendak mengangkat beliau setinggi langit tetapi Saudara Maliki yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Seth Yong Peng (sekolah saya juga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Sulaiman ini masih tahu mengenang jasa guru-guru dan berbakti di tempat beliau menimba ilmu. Secara peribadi saya menyokong beliau walaupun kawasan Parlimen untuk saya mengundi adalah Ayer Hitam.


Parlimen Ayer Hitam

Kawasan Parlimen Ayer Hitam diwujudkan semula pada tahun 2004 apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan. Diwujudkan dengan gabungan kawasan Parlimen Sri Gading dan Parlimen Parit Sulong.


Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam sejak tahun 2004. Beliau merupakan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, berasal daripada Melaka. Walaupun beliau kaum Cina tetapi beliau fasih bertutur bahasa Melayu dan pandai menulis dan membaca Jawi.

Saya merupakan penggundi berdaftar di Parlimen Ayer Hitam dan DUN Semarang. Ayahanda saya merupakan pencadang kepada calon Barisan Nasional untuk dua penggal berturut-turut (2004 dan 2008). Walaupun lebih 56 peratus pengundi Parlimen Ayer Hitam adalah Melayu, tetapi calon BN daripada MCA ini berjaya memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti yang besar.

Sememangnya orang-orang Melayu termasuklah orang UMNO sendiri bersuara menentang calon MCA bertanding mewakili BN di Parlimen Ayer Hitam. Hal ini kerana peratusan pengundi Melayu melebihi 56 peratus dan sewajarnya calon UMNO yang bertanding. Namun begitu atas nama kesepakatan di dalam komponen BN maka calon MCA tetap diterima. Suka atau pun tidak, kini kedengaran suara-suara yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu Dr. Wee Ka Siong bertanding semula di Parlimen Ayer Hitam. Mengapa? Mungkin kerana disebabkan oleh beberapa tindakan atau kenyataan Ahli Parlimen Ayer Hitam ini yang menjurus kearah mempertikai hak-hak orang Melayu seperti pemberian biasiswa. Mungkin sajalah.

Jika tidak silap, ada beberapa pihak mengatakan bahawa PRU tahun 2008 sebenarnya Dr. Wee Ka Siong sepatutnya berpindah kawasan Parlimen. Khabarnya beliau perlu berpindah ke Parlimen Bakri tetapi beliau tidak mahu. Syukurlah, jika beliau berpindah ke Parlimen Bakri mungkin beliau akan tewas kerana tahun 2008 BN tewas di Parlimen Bakri di tangan DAP.

Sekiranya Dr. Wee Ka Siong tidak bertanding di Parlimen Ayer Hitam, siapakah calon yang bakal menggantikan tempat beliau? Saya tetap yakin kerusi itu khusus untuk MCA. Walaupun perwakilan-perwakilan UMNO yang bersidang di peringkat Bahagian mahukan kerusi itu diberikan kepada UMNO tetapi kuasa kepimpinan atasan tidak mampu dibantah oleh ahli diperingkat akar umbi. Kuasa veto terletak di tangan pemimpin tertinggi parti. Buatlah mesyuarat tergempar sekalipun dan serahkanlah memorandum kepada Presiden UMNO sekalipun, saya yakin Parlimen Ayer Hitam tetap kekal untuk MCA.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Hj. Samsolbari Jamali yang juga merupakan ADUN Semarang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor sudah tentu tidak akan tercalon sebagai calon BN Parlimen Ayer Hitam. Begitu juga dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Saudara Mohd. Fadil Muskon yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, sudah tentu beliau tidak akan dicalonkan sebagai calon BN di Parlimen Ayer Hitam. Rasanya Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor ini tidak menginginkan jawatan wakil rakyat kerana beliau mempunyai tugas hakiki yang lebih bagus di Kuala Lumpur (khabarnya).

Persoalan masih belum terjawab. Siapakah yang bakal menjadi calon di Parlimen Ayer Hitam bagi menggantikan Dr. Wee Ka Siong? Seperti mana saya nyatakan di atas, sudah tentulah calonnya adalah daripada MCA.

Adakah mungkin calon itu adalah Presiden MCA sendiri? Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek? Mungkin. Saya ulangi mungkin. Hal ini kerana beliau adalah berasal daripada Daerah Batu Pahat dan merupakan bekas EXCO Johor sebelum bertanding di Parlimen Labis pada tahun 2004. Mungkinkah beliau akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam? Saya rela tidak kembali ke Johor untuk mengundi sekiranya beliau bertanding di Parlimen Ayer Hitam kerana saya tidak mahu memilih pemimpin yang mempunyai skandal seks. Walaupun ada pemimpin-pemimpin Melayu ‘memaafkan’ perlakuan itu, saya menganggap mereka semua itu adalah hipokrit atau munafik kerana bermuka-muka menyokong dan memaafkan perlakuan sedemikian itu.

Memandangkan saya juga merupakan pengundi berdaftar di DUN Semarang, saya ingin membuat sedikit persoalan. Siapakah yang bakal menjadi calon Barisan Nasional bagi DUN Semarang? Kini DUN Semarang disandang oleh Y.B. Datuk Samsolbari Jamali dan beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam. Selain itu beliau juga adalah Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor.

Adakah Datuk Samsolbari Jamali akan dicalonkan semula untuk penggal ketiga? Secara peribadi saya tidak mengenali Datuk Samsol tetapi saya masih ingat lokasi dan hari di mana beliau disebut-sebut untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam pada pemilihan parti tahun 2004. Sekiranya beliau terpilih sebagai calon kerana jawatan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor maka itu adalah amat bersesuaian dan saya menyokongnya. Adalah diharapkan beliau dapat kerap bertemu rakyat dan selalu memenuhi jemputan atau undangan rakyat tanpa selalu menghantar wakil rasmi sahaja. Jika terlalu kerap menghantar wakil rasmi, banyak pihak akan marah dan undi juga akan berkurangan.

Adakah Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Fadil Muskon akan dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional di DUN Semarang? Kemungkinan besar itu akan berlaku. Namun begitu seperti mana yang telah saya nyatakan di atas, beliau mungkin sudah selesa dengan tugas hakiki beliau di Kuala Lumpur. Sekiranya beliau dicalonkan juga, sudah tentu beliau perlu menetap di dalam kawasan dan tidak perlu rasanya berulang-alik Johor – Kuala Lumpur.



Parlimen Batu Pahat

Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Batu Pahat. Dengan kedudukan penyandang kerusi tersebut iaitu Y.B. Dr. Mohd Puad Zarkashi selaku Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia rasanya beliau mempunyai peluang yang cerah untuk bertanding semula.

Segalanya mungkin berlaku. Mungkin juga Dr. Puad Zarkashi tidak akan dicalonkan semula atas sebab-sebab yang tidak diketahui umum. Sukar untuk meramalkan situasi di Batu Pahat kerana menurut kata-kata seorang insan yang saya temui di Batu Pahat, beliau mengatakan bahawa tidak ada calon daripada UMNO Bahagian yang dilihat layak dan sesuai untuk berada di posisi Ahli Parlimen selepas Dr. Puad Zarkashi.

Mungkinkah akan ada calon luar yang bakal bertanding di Parlimen Batu Pahat mewakili Barisan Nasional? Mungkinkah Y.B. Datuk Razali Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan berpindah ke Parlimen Batu Pahat kerana undi majoriti yang diperolehi beliau di Parlimen Muar agak ‘menakutkan’? Segalanya mungkin berlaku.

Diharapkan calon di Parlimen Batu Pahat nanti bukanlah calon yang akan memberikan kemenangan percuma kepada pihak lawan seperti mana calon Barisan Nasional di DUN Senggarang pada pilihan raya umum tahun 2004.

Jika mengikut populariti, saya beranggapan insan yang paling sesuai berdasarkan populariti dan dikenali di Parlimen Batu Pahat itu adalah saudara saya ini. Namun begitu insan ini sudah tidak sesuai bertanding kerana faktor kesihatan. Andaian ini hanya sekadar gurauan sahaja.

Cikgu Ali Badron Tarbus (kanan)
Tokoh Warisan Orang Hidup


Parlimen Parit Sulong

Parlimen Parit Sulong kini diwakili oleh Y.B. Datuk Noraini Ahmad yang juga bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Beliau tewas di dalam perebutan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Berdasarkan kata-kata yang didengari daripada pihak-pihak tertentu di Parit Sulong, beliau berkhidmat dengan baik dikawasannya. Namun begitu, adakah beliau akan dipilih semula kerana beliau tidak mempunyai jawatan utama di dalam parti? Mungkin, jika sekiranya pemimpin utama peringkat negeri dan kebangsaan ingin beliau kekal di situ.

Sekiranya Datuk Noraini Ahmad tidak dicalonkan semula, siapakah insan yang bakal menggantikannya?


Calon yang dilihat berpotensi ialah Y.B. Datuk Ahmad Zahri Jamil yang juga merupakan ADUN Seri Medan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong. Beliau merupakan EXCO Kanan Kerajaan Johor dan juga disebut-sebut bakal Menteri Besar Johor. Namun begitu, khabarnya kesihatan beliau tidak mengizinkan untuk dipilih semula jika sekiranya setiap calon diwajibkan menjalani ujian kesihatan. Sama ada faktor kesihatan ini adalah betul atau tidak, hanya Allah S.W.T dan beliau sahaja yang tahu.

Selain itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan juga di lihat berpotensi untuk menjadi calon bagi Barisan Nasional di Parlimen Parit Sulong. Datuk Zulkurnain Kamisan juga merupakan Ahli Majlis Daerah Yong Peng. Khabarnya beliau adalah seorang kontraktor yang berjaya. Berdasarkan perbualan dengan beberapa orang, beliau agak ‘kurang hormat’ dengan orang lain. Itu berdasarkan apa yang saya dengar dan saya tidak mahu mengiakan mahupun menidakkan kata-kata sedemikian dengan hanya mendengar kata-kata beberapa orang sahaja. Adalah tidak wajar untuk beliau bertanding di dalam pilihan raya kerana sekiranya menang sudah tentu akan ada orang yang mengatakan beliau menyalahguna kuasa demi untuk mendapatkan projek-projek bagi syarikatnya. Walaupun mungkin beliau tidak melakukannya, adakah mampu beliau menafikannya? Demi survival dan nama baik UMNO dan Barisan Nasional, seeloknya tidak perlu beliau bertanding.

Sebelum Datuk Noraini Ahmad menjadi Ahli Parlimen Parit Sulong, Tuan Hj. Syed Hood Syed Edros adalah penyandang kerusi Parlimen tersebut sejak tahun 2004. Terdapat ura-ura yang menyatakan beliau bakal bertanding semula di Parlimen Parit Sulong. Beliau sememangnya dikenali kerana merupakan orang kuat di dalam Pertubuhan Belia 4B Negeri Johor. Saya tidak berminat untuk mengulas panjang mengenai Tuan Hj. Syed Hood Syed Edros, sekiranya anda berminat bolehlah melayari blog bekas Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Ruhanie Ahmad (kuda-kepang.blogspot.com).



Kesimpulan

Setiap kali mandat hampir kepenghujung, maka akan ada desas desus yang mungkin sengaja dikumandangkan untuk menarik perhatian dan sokongan. Sebagai pemerhati yang memerhati daripada jauh, bukanlah tujuan saya untuk menjatuhkan hukum apatah lagi melobi untuk pihak-pihak tertentu menjadi calon. Sebagai rakyat, bakal pengundi, dan pembayar cukai saya berhak membuat penilaian berdasarkan pemerhatian, maklumat dan kata-kata individu mahupun kumpulan yang menjurus ke arah penulisan ini.

Adalah menjadi satu harapan bagi mahasiswa dan mahasiswi di seluruh tanah air khususnya di sebuah pulau utara Semenanjung Malaysia supaya Menteri Besar yang baru nanti akan lebih mesra dan ramah dengan golongan muda yang berada di menara gading. Jangan kerana golongan ini berada pada jarak yang jauh maka itu dijadikan sebab untuk tidak beramah mesra dan mengabaikan mereka. Adalah tidak wajar hanya menghantar wakil rasmi untuk menghadiri sesuatu program selepas mengesahkan akan hadir ke sesuatu program.

Saya menulis berdasarkan pengalaman sebagai mantan Yang Di-Pertua Persatuan Anak Johor di sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang telah ‘diabaikan’ oleh pemimpin-pemimpin nun jauh di selatan Semenanjung Malaysia. Kami menulis dan menghantar lebih 70 pucuk surat kepada hampir semua wakil rakyat di Negeri Johor, namun begitu tidak ada satu surat pun yang telah dijawab oleh mereka. Kemungkinan besar kesemua surat tersebut telah tercicir ketika posmen berusaha untuk menghantarnya semasa banjir melanda Negeri Johor pada bulan Mac 2011 yang lalu, akan tetapi ada juga beberapa pucuk surat yang telah diserahkan secara terus kepada wakil-wakil rakyat berkenaan dan diterima sendiri oleh Ahli Yang Berhormat itu. Tidak mengapa, mungkin mereka ketika itu sedang berada dalam keadaan yang selesa. Surat-surat berkenaan bukan sahaja cara untuk meminta sumbangan kewangan bagi program-program Anak Johor di IPTA tetapi dalam masa yang sama adalah untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi bersama pemimpin. Duit bukanlah segala-galanya tetapi tanpa duit sukar untuk melaksanakan sesuatu program.  Pemimpin-pemimpin berkenaan juga tahu akan kepentingan duit kerana 'kertas' itu mampu meraih sokongan pengundi contohnya semasa pemilihan parti.

Mungkin mereka iaitu Ahli Yang Berhormat terlupa bahawa pengundi-pengundi yang setia kepada mereka dan parti sudah semakin tua dan akan pergi jua. Mungkin mereka lupa bahawa golongan muda ini akan mengundi dan kami yang berada jauh di utara Semenanjung Tanah Air ini pastinya akan diberikan pengangkutan percuma untuk kembali ke Johor untuk mengundi. Saya terpaksa mengakui kata-kata mantan YDP sebelum saya menerima tanggungjawab memimpin persatuan bahawa, surat dan jemputan kita ‘budak-budak’ ini tidak akan dilayan oleh pemimpin di selatan sana. Jika tiba-tiba ada program yang diadakan atas permintaan pemimpin-pemimpin Negeri Johor dan mereka meminta ‘kita’ menguruskannya, ini bermakna pilihan raya sudah semakin dekat.

Adakah benar pilihan raya sudah semakin dekat? Jawapannya adalah YA!

Hal ini kerana pada 21 Oktober 2011 yang lalu Persatuan Anak Johor di sebuah IPTA baru sahaja mengadakan program bersama Biro Tatanegara Negeri Johor. Pada awalnya program itu hanya diadakan diantara ‘anak beranak’ sahaja tanpa melibatkan orang luar. Akan tetapi selepas Datuk Adham Baba (ADUN Pasir Raja) membatalkan hasrat untuk bersama di dalam program tersebut (untuk kali kedua program bersama dibatalkan dan dana juga ditarik semula), maka dengan kadar segera BTN telah meminta untuk turut serta di dalam program dan seperti biasa ada slot khas untuk BTN (khabarnya penganjur juga tidak mengetahui bagaimana pihak BTN tahu mengenai program tersebut).

Seperti mana kata-kata senior yang lepas, jika pilihan raya sudah dekat maka akan berpusu-pusulah orang-orang di selatan datang untuk ‘melawat’ adik-adik di pulau yang maju ini. Saya sendiri telah dibisikkan secara peribadi oleh Penolong Pengarah mengenai hasrat ‘lawatan mengejut’ pihak BTN ke program tersebut iaitu adalah kerana pilihan raya, dan insyaAllah akan ada bas untuk anak-anak Johor kembali ke Johor semasa pilihan raya nanti. Jawapan saya mudah ketika itu, sediakanlah bas sebanyak mana pun tetapi undi setiap individu adalah rahsia. Perkara ini adalah berdasarkan perbualan yang dibisikkan di telinga saya. Sekiranya salah bisikkan itu, maka tulisan ini juga adalah salah.

Di dalam sistem demokrasi, setiap individu berhak dan bebas untuk membuat pilihan. Tidak membuat pilihan itu juga sebenarnya adalah pilihan. Sekiranya saya ingin memilih pemimpin, individu yang bakal menjadi imam itu mestilah lebih baik dan pandai memimpin. Paling utama adalah tidak mempunyai rekod pecah amanah, minum arak, berzina, dan tidak masuk bertanding menjadi calon pilihan raya sekadar untuk mencari kekayaan demi mengenyangkan perut ahli keluarga dan kroni-kroni sahaja.

Adalah menjadi sesuatu yang lebih bijak dan bijaksana sekiranya pemimpin-pemimpin yang telah dipilih menjadi pemimpin sama ada di peringkat bawah hinggalah yang tertinggi mampu menjadi pemimpin untuk seluruh rakyat dan bukannya menjadi pemimpin hanya untuk ahli-ahli parti mereka sahaja. Perlu disedari bahawa semasa proses pilihan raya berlangsung, setiap calon yang bertanding akan bertanding berdasarkan ideologi parti yang diwakilinya.

Apabila calon itu terpilih menduduki sesuatu jawatan sama ada sebagai Ahli Parlimen contohnya, maka ia perlu menjadi suara dan mewakili keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengikut ideologi politik. Sebagai contoh, sekiranya Saudara Mohamed Maliki adalah calon Ahli Parlimen Barisan Nasional di Parlimen Sri Gading, dan ditakdirkan beliau menang di dalam pilihan raya maka beliau bukan lagi Ahli Parlimen yang akan menyuarakan mengenai kepentingan Barisan Nasional dan ahli-ahli UMNO Bahagian Sri Gading sahaja malahan mewakili seluruh manusia di Parlimen Sri Gading termasuklah ahli parti pembangkang. Rata-rata wakil rakyat yang ada kini mungkin terlupa dan mungkin juga disebabkan itu mereka tidak memberikan bantuan kepada penduduk yang susah kerana bukan ahli parti tetapi penyokong kuat pembangkang. Tidak perlulah rasanya bantuan yang disalurkan kepada rakyat memiliki lambang mana-mana parti politik, jelas bahawa itu adalah wang kerajaan dan bukannya wang parti.

Akhir kata, penulisan ini bukanlah untuk mencari musuh mahupun memuji secara keterlaluan. Ibu bapa saya adalah ahli UMNO dan secara automatik saya mengenali UMNO dan begitu rapat dengan UMNO. Namun begitu, tidak semestinya saya akan mengangguk demi untuk menjaga hati pemimpin kerana hendak menjaga periuk nasi. Saya juga tidak akan berdiam diri sekiranya saya menjadi penumpang dan ‘kereta’ yang dipandu secara melulu sudah menghampiri gaung.

Penulisan ini hanya sekadar andaian. Setiap insan bebas membuat andaian kerana segalanya mungkin berlaku di dalam dunia politik yang penuh kepura-puraan. Di dalam dunia politik, musuh dan kawan tidak kekal lama, musuh kita hari ini mampu menjadi sahabat kita suatu ketika nanti demi untuk kuasa dan kepentingan.

Segalanya mungkin berlaku dengan keizinan-Nya.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh Profesor, Profesor Madya, Doktor, tenaga pengajar dan rakan-rakan Major Sains Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia kerana memberikan tunjuk ajar dan ilmu di dalam bidang Sains Politik.

Sekian. Wassalam.

Muhammad Syukri Sa’adon
Mantan Yang Di-Pertua Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia 2010/2011.
Mantan Exco Kelab Sains Politik Universiti Sains Malaysia 2009/2010.
Pengundi Berdaftar Parlimen Ayer Hitam dan DUN Semarang.

6 ulasan:

  1. Tahniah dan syabas.....dua kali menggunakan perkataan 'segalanya mungkin'.....mungkin tepat mungkin tersasar. Paling menarik ulasan kerusi Parlimen Seri Gading mungkin meletakkan Hishamuddin sebagai calonnya......segalanya mungkin.

    BalasPadam
  2. Tahniah atas kupasan bernas dari pemikir muda seperti anda. Komen saya, jika MP seperti Seri Gading berterusan diberikan tempat oleh BN/UMNO, bagaimana peluang anak muda seperti saudara syukri, PRU13 berilah peluang kepada abang atau genarasi lebih dewasa dpd syukri dan nanti mereka pula akan wariskan kepada genarasi sebaya syukri untuk diangkat menjadi pemimpin,jika tidak diubah sekarang peluang untuk genarasi muda yang diasuh dididik akan menjadi sis-sia. Harapan kita semua berilah peluang kepada pemimpin lebih muda TUKAR SEGERA MP yg ada ini. UMNO bukan harta pusaka yang nak diwariskan kepada individu dan kroni-kroni.

    BalasPadam
  3. sangat menarik hujah yang dibuat, saya cuba untuk mengulas sedikit dulu diperingkat parlimen Seri Gading,yang lain akan menyusul kemudian. sebenarnya syarat ditetapkan najib untuk memilih calon boleh menang bukan hanya terletak kepada apa jawatan dia,berapa usianya dan kedudukannya dalam UMNO. namun yang paling utama dia (calon) mesti disukai serta dikenali rakyat tempatan oleh kerana setiap undi akan datang dari kawasan itu saja. dari segi kriteria pula, Najib tidak pernah menyebut untuk meletakkan calon kelulusan tinggi dan sebagainya, namun BN hanya menetapkan seseorang itu perlu pandai dan bijak membuat perancangan jangka panjang demi pembangunan dikawasan itu. dan jika kita praktikkan di kawasan Sri Gading, maka disitu adakah kawasan itu sudah mengikut kreteria ditetapkan. siapa calon tidak penting, kita juga tahu sumbangan YB aziz yang sudah memerintah parlimen sekian lama sejak Tun Mahathir tidak menjadi PM lagi. Namun perlu diingat, proses percambahan idea dan pembaharuan berterusan akan dapat dilihat jika pembaharuan dalam kepipimpinan dibuat setiap masa (jika ikut kebiasaan politik malaysia dua sidang PRU) dengan tidak meletakkan pemimpin asal terlalu lama dalam pemerintahan itu. siapa calon PRU-13, muka baru pasti berlaku, namun siapa dia? akan kita tunggu..namun beberapa calon diketengahkan itu (diatas) dilihat semuanya memang layak. Di Dua DUN di P. Sri Gading, mungkin satu dikekalkan dan satu lagi muka baru (dipilih dari jawatankuasa pemuda/UMNO bahagian) serta kerusi parlimen dijangka turut mengalami perubahan. siapa calon, akan diumumkan najib nanti.

    BalasPadam
  4. Terima kasih atas ulasan berkenaan. lumrah manusia, apabila tiada apa-apa maka mulalah mahu mencari. sudah memiliki sesuatu maka hendak pula sesuatu yang lebih. hendak mendapat sesuatu sehingga mengabaikan harga diri dan menafikan hak orang lain

    BalasPadam
  5. maaf memberi komen -- mana ketuanan melayu milik melayu terlepas ke tangan cina -parlimen air hitam dulu milik rakyat melayu peratus melayu ramai --tapi ketuanan cina miliki parlimen air hitam

    BalasPadam
  6. SIAPA DAN SIAPA?
    siapa ini lah yg menyebabkan pertelagahan secara halus dalam rumah (parti)
    fikirlah dan kupaslah...

    BalasPadam