Followers

Ahad, Mei 13, 2012

Dato' Razali Ibrahim : Kekeruhan telah dijernihkan

Salam dan salam sejahtera.

Bulan lepas, saya bersama beberapa orang telah mengadakan pertemuan dengan Y.B. Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Pertemuan yang diaturkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) itu diadakan di Pejabat Timbalan Menteri, di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Pertemuan secara 'mengejut' itu diaturkan oleh Presiden MBM sebagai salah satu langkah untuk menjernihkan keadaan di antara Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) Universiti Sains Malaysia dengan pihak Timbalan Menteri itu sendiri.

Secara peribadi saya ingin menyatakan bahawa pertemuan selama satu jam itu dalam keadaan aman, tenang, ceria dan tiada prasangka negatif ditunjukkan. Sesuatu yang paling utama ialah, pertemuan itu BERJAYA menjernihkan keadaan.

Sebelum kami berjumpa dengan pihak Timbalan Menteri, kami telah dipertemukan dengan pembantu-pembantu beliau yang juga orang-orang kuat di dalam pergerakan pemuda UMNO. Secara peribadi juga saya ingin mengatakan bahawa pertemuan tidak rasmi (tidak sengaja) dengan pemuda UMNO itu juga adalah BERJAYA.

Sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak muda hari ini pasti akan 'dibasuh' oleh mereka yang berpengalaman dalam politik. Alhamdulillah, Allah memberikan ketenangan dan hujah untuk membalas ketika saya 'keseorangan' berhujah dengan pemuda UMNO tersebut.

Saya akan mengingati kata-kata pemuda UMNO tersebut, "Kalau kau rasa pemimpin hari ni zalim, kau kena ada niat yang suatu hari nanti kau nak jadi pemimpin dan kau jangan jadi zalim macam dia!"

"Aku dulu pun pernah muda macam korang ni, aku dulu pun pernah kritik sana sini, jadi aku tak kisah kalau korang pun sama macam aku dulu.."

Saya bersetuju dengan semua yang diperkatakan oleh pemuda UMNO itu. Akan tetapi saya berbeza pendapat mengenai kenyataan salah seorang daripada 'orang UMNO' itu bahawa seseorang pemimpin itu naik bukan kerana adanya penyokong.


Saya tetap mengatakan bahawa seseorang pemimpin itu berada pada kedudukan hari ini adalah kerana disebabkan oleh penyokong yang menyokong pemimpin itu sendiri. Tanpa penyokong, pemimpin tidak akan berada di atas. Betul, di dalam Islam setiap orang adalah pemimpin. Namun begitu di dalam politik kita hari ini insan yang ingin bertanding di dalam pilihan raya juga memerlukan PENCADANG dan PENYOKONG semasa menyerahkan borang untuk menjadi calon.

Alhamdulillah ketika berhujah dengan pemuda UMNO (pemuda UMNO Johor) itu saya berkesempatan untuk bertanya satu soalan yang berjaya mengendurkan 'ketegangan' sesi perbualan itu.

Soalan saya mudah, "Ok, saya ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam. Sekarang saya berada di Pulau Pinang. Saya nak tanya, apa yang pergerakan pemuda UMNO Johor buat untuk tarik sokongan orang muda kepada UMNO dan Barisan Nasional? Ada atau tidak program-program yang dianjurkan oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan seperti mana yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam siri ceramah mereka setiap malam?

Tiada jawapan jelas mengenai soalan saya itu.

Saya juga bertanya mengenai program UMNO Juara Rakyat. Pada saya program tersebut berjaya. Ya berjaya. Berjaya menarik sokongan mereka yang sudah lama setia kepada UMNO tetapi adakah program tersebut berjaya menarik sokongan pengundi atas pagar? Perkara ini juga dipersetujui oleh pemuda UMNO tersebut.

Ada beberapa lagi isu sensitif yang saya rasakan tidak sesuai dimasukkan di sini. Isu berkenaan pemimpin-pemimpin UMNO Johor yang 'rajin' bekerja, isu berkenaan pemuda UMNO Johor, isu peribadi pemimpin dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, pertemuan yang berlangsung itu berjaya. Berjaya menjernihkan keadaan, berjaya juga menyampaikan suara ahli biasa kepada pemimpin, berjaya merangka satu rancangan untuk masa depan supaya saluran 3 dan 4 diberi perhatian oleh kerajaan hari ini.

Terima kasih kepada Y.B. Dato' Razali Ibrahim kerana dalam sibuk-sibuk dengan program rasmi masih sempat membalas mesej daripada penulis blog ini, tidak seperti Ahli Parlimen saya sendiri.


Terima kasih juga kepada Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), (Kekanda) En. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee kerana sudi dan proaktif mengaturkan pertemuan secara mengejut antara kami (saya selaku penulis blog) bersama Timbalan Menteri. Tuan Presiden MBM adalah satu-satunya pemimpin TERTINGGI yang masih mengambil tahu mengenai ANAK JOHOR di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau adalah tempat kami mengadu, hendak mengadu dengan pemimpin di selatan (Johor) memang terlalu jauh walaupun ada sistem telekomunikasi yang canggih.

Terima kasih juga diucapkan kepada Y.B. Tuan Haji Md. Jais Sarday, Exco Belia dan Sukan Negeri Johor kerana mendengar rintihan, keluhan, pendapat, idea, saranan daripada Anak Johor USM pada 28 April 2012 yang lalu. Y.B. Jais adalah Exco Johor pertama yang menjejakkan kaki ke USM untuk program Anak Johor USM selepas berbelas tahun tiada kunjungan daripada pihak kerajaan Johor. Y.B. Jais hadir merasmikan Fiesta Kebudayaan Zapin Johor 2012 anjuran IKMAR USM yang disertai wakil-wakil anak Johor UKM, UPM, UiTM (Shah Alam), UMT, USIM, UTHM, dan USM sendiri. Pemimpin muda mendengar keluhan orang muda.

Terima kasih juga kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam kerana sudi melayan kami sebelum bertemu dengan Y.B. Dato' Razali Ibrahim. Berjaya juga mendengar luahan ikhlas beliau mengenai pemuda UMNO Johor. Sesungguhnya Johor tidak ketandusan pemimpin.


Tahniah dan terima kasih kepada Y.B. Dato' Razali Ibrahim kerana tiada dendam dan amarah yang ditunjukkan di hadapan kami (di belakang kami tidak mahu tahu). Pertemuan kali kedua pada 10 Mei 2012 (malam Jumaat) juga berlangsung dengan suasana ceria. Beliau hadir ketika sesi dialog dengan Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia (Percubaan) di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan dan saya yakin beliau masih mengingati penulis blog yang pernah menghentam beliau pada awal tahun ini kerana beliau asyik memandang ke arah saya (kedudukan kerusi bersebelahan Ahli Parlimen Belia (Percubaan) Sri Gading, Parit Sulong, Muar, Batu Pahat, dan Kluang.


Kami bersetuju bahawa kini adalah waktu kritikal untuk parti. Oleh sebab itu semuanya akan 'diredakan' demi keutuhan dan kelangsungan parti.

Ini adalah masa untuk memberikan tumpuan kepada pilihan raya umum. Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa dan serangan peribadi kepada pemimpin mahupun isu yang boleh menjatuhkan kredibiliti parti (UMNO) akan dihentikan sementara seperti mana permohonan daripada Pembantu Politik/Peribadi Y.B. Timbalan Menteri.

Semboyan sudah dibunyikan. Tumpuan penuh diberikan untuk kelestarian kerajaan hari ini.

Sekian.

Jumaat, Mei 11, 2012

Selamat Ulang Tahun UMNO



SELAMAT 
ULANG TAHUN UMNO 
KALI KE-66

SEMOGA UMNO 
TERUS RELEVAN DAN 
TERUS MEMBELA RAKYAT MALAYSIA

DULU - KINI - SELAMANYA

Selasa, Mei 08, 2012

Tanggang Moden : Ruang dan Peluang

Salam dan salam sejahtera.

Sebelum ini media arus perdana secara besar-besaran telah memberi publisiti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bermula dengan kisah liwat, sehinggalah kepada video seks yang dikatakan di antara Ketua Pembangkang tersebut bersama perempuan cina di dalam sebuah bilik hotel.

Kini, media arus perdana mengalihkan tumpuan 'publisiti' kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Saya yakin para pembaca mengetahui mengenai Azmin Ali. Bukanlah isu seks tetapi isu 'Tanggang Moden'.

Secara peribadi saya melihat isu ini adalah isu keluarga dan tidak sewajarnya dilibatkan media di dalam perkara ini.

Beberapa rakan saya telah mengeluarkan pendapat bahawa media khususnya TV3 telah menggunakan ibu Azmin Ali untuk 'menghentam' beliau. Secara tersirat rakan saya berpendapat bahawa ibu Azmin itu telah dipergunakan oleh 'musuh-musuh' politik untuk menjatuhkan maruah dan kedudukan Azmin Ali itu sendiri.

Kami telah berbincang dari pelbagai sudut. Pelbagai andaian telah dibuat. Kami tidak melihat hanya daripada sudut sebagai ahli UMNO tetapi kami melihat dari sudut seorang yang neutral. Tiada yang salah dalam setiap perbincangan.

Pendapat saya mengenai ibu Azmin Ali itu begitu mudah. Ya sekadar pendapat budak hingusan (yang kononnya dibayar oleh pihak tertentu untuk menulis). Saya berpendapat ibu Azmin juga layak untuk menggunakan saluran media untuk 'merayu' anaknya kembali ke pangkuan keluarga. Umpama jejak kasih...

Namun begitu kami generasi muda UMNO (yang bermain di peringkat cawangan sahaja) sepakat mengatakan bahawa musuh politik Azmin telah menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang sedia ada untuk menjatuhkan Azmin.

Dalam politik semuanya akan digunakan sebaik mungkin untuk menjatuhkan musuh-musuh politik.

Keaiban akan didedahkan supaya individu yang akan dipilih menjadi pemimpin benar-benar BERSIH dan bermoral.

Isnin, Mei 07, 2012

Parlimen Parit Sulong : Andaian Hampir Tepat

Salam dan salam sejahtera.

Saya sekadar memerhati penulisan-penulisan di dalam blog seangkatan yang lebih menumpukan kepada isu BERSIH 3.0, skandal Azmin Ali dan pelbagai lagi.

Di sini saya tidak mahu memberi tumpuan kepada isu nasional, cukuplah sekadar memberi tumpuan kepada isu tempatan.

Daerah Batu Pahat, Johor.

Ya, Batu Pahat. Salah sebuah daerah yang terkenal dan pesat membangun di Negeri Johor.

Tahun lepas blog ini telah memberi tumpuan kepada daerah Batu Pahat. Di antara penulisan saya mengenai Batu Pahat ialah seperti, "Ohh Sri Gading dan Parit Sulong.." dan "Andaian& Teguran - Bakal Calon BN di Daerah Batu Pahat"

Terdapat juga pembaca yang berasa kurang senang dengan penulisan tersebut (baca ruangan komen). Sememangnya diakui bahawa kebenaran itu adalah sesuatu yang pahit untuk diterima.

Saya bersyukur kerana dua penulisan di atas telah menyebabkan beberapa pihak khususnya orang-orang UMNO membuka mata (seketika). Blog ini turut disebut-sebut di dalam Perhimpunan Agung UMNO oleh pihak-pihak yang tidak senang apabila namanya dinyatakan secara jelas (bukan semasa persidangan tetapi majlis makan malam rasanya).

Saya ingin mengulas sedikit mengenai perkara yang berkaitan dengan penulisan bertajuk "Ohh Sri Gading dan Parit Sulong.."

Baru-baru ini saya berada di Batu Pahat dan beberapa orang (orang politik, duduk sembang di meja kopi) bertanya kepada saya mengenai persepsi saya sebagai 'orang luar'. Soalan yang diajukan begitu mudah, iaitu mengenai calon-calon Barisan Nasional di dalam daerah Batu Pahat. Saya sekadar tersenyum kerana saya sudah mengulas panjang lebar di dalam blog ini tahun lepas.

Saya cuba untuk menjawab dengan jawapan yang terlalu umum iaitu "Semuanya ok dan rasanya penyandang sedia ada iaitu Parlimen Ayer Hitam, Sri Gading dan Batu Pahat akan terus kekal, kecuali Parit Sulong".

Ya, kecuali Parlimen Parit Sulong. Sebenarnya ini adalah jawapan spontan yang terkeluar daripada mulut saya. Mungkin ini disebabkan penulisan-penulisan sebelum ini telah mempengaruhi jawapan saya itu.

Pihak yang bertanya itu agak terkejut kerana mereka adalah orang di dalam UMNO Bahagian Parit Sulong itu sendiri dan juga merupakan 'orang kuat' di dalam kawasan Parlimen Parit Sulong.

Justifikasi yang saya berikan begitu mudah. Secara logik akal juga boleh difikirkan jika mahu difikirkan. Saya yakin banyak pembaca khususnya orang di kawasan Parlimen Parit Sulong tahu mengenai perkara ini.

Untuk makluman para pembaca, saya hanya sekadar budak hingusan yang tiba-tiba diajukan soalan sedemikian dan sebagai budak hingusan rasanya saya perlu menjawab dengan jujur.

Saya yakin orang-orang di dalam kawasan Parlimen Parit Sulong tahu mengenai perkara ini. Tahu bahawa mereka akan mendapat Ahli Parlimen yang baru.

Y.B. Dato' Noraini Ahmad

Bukanlah saya hendak mengatakan bahawa Y.B. Dato' Noraini Ahmad tidak bagus tetapi seseorang pemimpin itu perlu selalu (jika tidak selalu maka perlulah kerap) mendampingi rakyat di kawasan Parlimen mereka.

Semasa saya duduk bersama beberapa orang kuat UMNO Bahagian Parit Sulong, mereka spontan menggelengkan kepala apabila disebut nama Ahli Parlimen Parit Sulong. "Aku tak pernah nampak suami dia..anak dia pun aku tak pernah tengok..", ini yang terpacul daripada mulut mereka.

Spontan saya menjawab, "Kalau orang dalam Bahagian pun tak pernah nampak apatah lagi saya orang luar..". (Berdasarkan perbualan).

Seperkara yang perlu diketahui bahawa jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan/mewajibkan supaya pemeriksaan kesihatan dilakukan kepada setiap calon yang ingin bertanding di dalam pilihan raya, saya yakin Parlimen Parit Sulong dan DUN Sri Medan akan mendapat wakil rakyat baru.

(Foto : Utusan Malaysia 25/3/2009)

Banyak pihak sudah mengetahui keadaan kesihatan Ahli Parlimen kawasan tersebut. Makluman yang baru diterima daripada salah seorang yang hadir ke program yang sepatutnya dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit Sulong ialah "Ahli Parlimen kita tak dapat datang, katanya demam sampai masuk wad..demam kok sampai masuk wad..(dengan nada jawanya).."

Kebenaran itu sememangnya pahit untuk diterima. Saya akui blog ini turut menjadi sumber beberapa pihak yang membuat laporan prestasi perkhidmatan setiap wakil rakyat. Saya tidak perlu nyatakan jawatan-jawatan yang mereka miliki.

Saya menulis di sini berdasarkan sumber yang diterima daripada dalam (akar umbi). Dalam politik sememangnya sukar mencari sahabat. Selagi seseorang itu memiliki kuasa maka tiada sesiapa pun berani mengatakan "Kalau dah tak larat tu tak payahlah nak bertanding lagi..". Ramai yang akan berkata sedemikian di belakang.

Saya mendoakan Y.B. Dato' Noraini Ahmad kembali sihat seperti sediakala.

Selepas ini blog ini akan memasuki fasa seterusnya bagi mengupas calon-calon Barisan Nasional di dalam daerah Batu Pahat.

Selasa, Mei 01, 2012

FEKAZ : FIESTA KEBUDAYAAN ZAPIN JOHOR IPTA 2012


CURAH KEMBALI BAKTI DI NEGERI SENDIRI SETELAH TAMAT PENGAJIAN





PULAU PINANG, 28 APRIL – Pelajar universiti diseru agar kembali mencurahkan bakti dan kepakaran di negeri sendiri setelah tamat pengajian bagi membantu di dalam proses pembangunan negeri masing-masing.
Y.B. Tuan Hj. Md. Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor berkata pelajar di universiti adalah tenaga pakar yang amat bermakna buat sesebuah negeri dan tenaga-tenaga baru ini dapat melonjakkan lagi keupayaan sesebuah negeri untuk lebih cemerlang.
Menurut beliau, Kerajaan Johor sememangnya menawarkan pelbagai peluang pekerjaan untuk lepasan graduan yang berasal dari Johor dan pihak kerajaan negeri amat peka terhadap keperluan untuk membangunkan sumber intelek di negeri berkenaan.
"Lebih 40,000 peluang sedang menanti bakal-bakal graduan tempatan dan ini adalah satu peluang yang wajar dimanafaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Johor, kata beliau ketika berucap merasmikan Fiesta Kebudyaan Zapin Johor IPTA 2012 (FEKAZ) anjuran Ikatan Mahasiswa Mahasiswi Johor (IKMAR) di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Universiti Sains Malaysia.

Tambahnya beliau lagi, kerajaan inginkan belia Johor tahu dan sedia maklum bahawa kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada belia Johor dalam memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi Johor sentiasa terpelihara.
"Kerajaan Johor kini dalam memfokus dan membangunkan Iskandar Malaysia yang dahulunya sebagai Wilayah pembangunan Iskandar (WPI) yang bertujuan untuk menjana pembangunan ekonomi negeri Johor. Jadi, kerajaan amat memerlukan anda semua bagi membantu memacu ekonomi Johor seterusnya memastikan Iskandar Malaysia terkenal di seluruh dunia", tambah beliau.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menggesa agar budaya dan adat bagi semua negeri dipelihara dengan sebaiknya dan dipromosikan semaksimumnya ke serata pelusuk dunia.
Pertandingan Zapin Peringkat IPTA yang dianjurkan oleh IKMAR USM buat julung kalinya ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak Johor seluruh IPTA selain untuk membangkitkan keprihatinan belia Johor bagi membangun dan mengembangkan Tarian Zapin yang sinonim dengan negeri Johor.
Sebanyak 7 buah IPTA termasuk USM menyertai pertandingan ini. Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam muncul juara bagi pertandingan kali ini selain turut menerima Anugerah Kostum Terbaik. Tempat kedua pula disandang oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih tempat ketiga.
Anugerah Khas Juri dimenangi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Turut hadir di majlis tersebut adalah Prof. Dato' Omar Osman, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin serta Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar) Universiti Sains Malaysia.
********************

Terima kasih kepada Y.B. Tuan Haji Md. Jais Sarday yang sudi hadir merasmikan FEKAZ walaupun pada masa yang sama anak beliau turut menari zapin secara langsung di dalam program ASTRO.
Terima kasih tidak terhingga juga kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (BHEPP) USM yang sudi hadir bersama ahli keluarga masing-masing.
Terima kasih juga kepada semua yang hadir.
Tahniah kepada adik-adik Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) yang telah berjaya menganjurkan program FEKAZ.
Tahniah sekali lagi kepada YB. Jais yang telah memecah tradisi sebagai EXCO Johor pertama hadir untuk bersama-sama mahasiswa/i USM di bumi Pulau Pinang ini.

Ahad, April 29, 2012

BERSIH 3.0

SUDAH TIBA MASANYA KERAJAAN MENGAMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP AMBIGA!

TARIK GELARAN DATO' YANG ADA PADA AMBIGA!

JIKA PERLU TUNJUKKAN JUGA JALAN PULANG KE INDIA!

Sabtu, April 14, 2012

Demonstrasi : Mahasiswa = MahaSEWEL?

Salam dan salam sejahtera.

Segelintir mahasiswa/i sudah semakin tidak siuman. Jelas terpancar di raut wajah mereka bahawa mereka itu bukanlah golongan akademik.

Biadabnya mereka apabila mengalungkan gambar Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi dengan kalungan bunga sebagai tanda matinya demokrasi.

Pada saya, kesemua mereka itu adalah JAHIL dan saya menyokong gelaran baru kepada mereka iaitu MAHASEWEL.

Jika hendak menuntut supaya PTPTN dihapuskan dan mendesak kerajaan memberi pendidikan percuma, demonstrasi bukanlah caranya. Itu adalah cara terdesak.

Laporan Malaysiakini mengatakan bahawa terdapat dua orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berada di tempat kejadian. Hal ini mengesahkan bahawa mahasiswa/i tersebut dipengaruhi oleh pihak berkepentingan dalam politik khususnya Pakatan Rakyat.

Pada saya mudah sahaja, apabila meminjam maka wajiblah memulangkannya semula.

Jika Pakatan Rakyat ingin melaksanakan pendidikan percuma, buatlah terlebih dahulu di IPT bawah kendalian mereka terlebih dahulu.

Semoga sumpah seranah warga Kuala Lumpur terhadap mahasiswa/i yang sudah bertukar menjadi MAHASEWEL itu akan menjadi kenyataan.


************************************

Berita : Malaysiakini
 
Siswa mahu berkhemah hingga BERSIH 3.0

Seramai kira-kira 300 orang mahasiswa berhimpun di ibu negara hari ini untuk menuntut pinjaman pelajar melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

NONEPelajar berkenaan mula berkumpul di perkarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang dan berarak melalui Jalan Raja Laut untuk menuju kawasan pusat membeli belah Sogo.

Perhimpunan diketuai aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dan pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia itu turut disertai NGO Gabungan Anak Muda Pantai Timur.
NONE 
Kumpulan berkenaan melaungkan slogan antaranya "Najib Altantuya", "Mansuh PTPTN", "Jahanam Umno-BN", "Musnah Rosmah", "Reformasi" dan "Jahanam Najib."

Kumpulan siswa itu turut membawa kain rentang antaranya dengan slogan bertulis 'Free education now!', 'Mahasiswa bukan robot' dan 'Mansuh PTPTN'.
NONE 
Di hadapan Sogo, kumpulan pelajar berkenaan bertindak mengalungkan bunga pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut salah seorang mahasiwa berkenaan, tindakan itu sebagai tanda bahawa "demokrasi telah mati."
NONE 
Dua orang MP PKR, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar turub berucap ketika pelajar berkenaan berhimpun di hadapan Sogo.

Kumpulan berkenaan kemudiannya mula beredar daripada kawasan tersebut pada jam 3.30 petang dan berarak menuju Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Gambar yang dikalungkan bunga itu turut diarak bersama pelajar berkenaan.

NONEKumpulan yang tiba di Dataran Merdeka kira-kira setengah jam kemudian bertindak memasang khemah di satu kawasan di tepi padang tersebut.

Pengerusi SMM Muhamad Safwan Anang ketika ditemui berkata mereka akan berkhemah di kawasan berkenaan sementara menunggu perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April.

Kira-kira 80 orang peserta berkenaan turut berkumpul di satu sudut berkenaan dan menunaikan solat Asar berjemaah.

Beberapa orang anggota polis memerhatikan tindakan anak muda berkenaan daripada sebuah kenderaan balai polis bergerak di tepi padang tersebut.

Selasa, April 10, 2012

Mengkritik itu bukannya menentang...


Mengkritik bukannya menentang, Memuji tidak semestinya menyokong, Menegur tidak bermakna membenci, dan Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

(Tuan Syed Hussein Alattas)

Salam dan salam sejahtera.


Seperti mana yang telah saya nyatakan pada penulisan-penulisan sebelum ini, saya membesar dalam keluarga yang setia dan berjuang dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau United Malays National Organisation (UMNO). Sejak kecil mengenal parti keramat UMNO ini melalui ayahanda.




Jari-jari yang menaip ini juga mula mengenal ilmu teknologi maklumat melalui Pusat IT Pejabat UMNO Bahagian Sri Gading pada tahun 2001, iaitu sehari selepas tragedi 11 September di Amerika Syarikat.

Ayahanda kerap membawa saya ke majlis-majlis rasmi UMNO dan secara tidak langsung saya memahami serba sedikit dan seterusnya cuba untuk mendalami ilmu politik itu daripada ayahanda saya sendiri. Bermula dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat bahagian saya ditekankan mengenai UMNO dan Barisan Nasional. Mungkin boleh saya katakan bahawa perjuangan UMNO/BN sudah selari dengan prinsip saya. Sebelum tahun 2004, tempat tinggal saya berada di dalam kawasan Parlimen Sri Gading dan ayahanda saya juga merupakan Pembantu Khas kepada Ahli Parlimennya. Pada tahun 2004, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya kawasan tempat tinggal saya berpindah ke kawasan Parlimen yang diwujudkan semula iaitu Parlimen Ayer Hitam.

Untuk makluman, saya mendaftar sebagai ahli UMNO pada penghujung tahun 2007 iaitu selepas tamat peperiksaan STPM.


Apabila saya mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) pada Julai 2008, saya berhenti seketika daripada mengikuti program-program UMNO. Saya juga tahu hak seorang mahasiswa yang terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ketika itu. Bersabar seketika demi pelajaran, berhenti juga seketika daripada berpolitik kepartian.

(Membentangkan kertas kerja bertajuk 1Malaysia di Universitas Surabaya)


Di Universiti, saya mengambil bidang Sains Politik sebagai pilihan utama dan itu tidak semestinya menjadikan saya mahir dalam bab-bab politik. Pengalaman-pengalaman ayahanda tetap membantu dalam memahami bidang politik. Begitu juga dengan guru yang mengajar dan menunjukkan dunia politik yang sebenar.

Apabila menuntut ilmu dengan seorang guru, guru menyampaikan secara lisan bagi menerangkan mengenai politik dan suasana politik negara ini. Hampir semua perkara mengenai politik diterangkan satu persatu tetapi realitinya akan dihadapi sendiri apabila tiba masanya kelak.

Hari ini, selepas beberapa bulan saya memperolehi ijazah dan memperolehi ilmu serba sedikit daripada ayahanda dan guru, akhirnya saya merasai sendiri maksud politik itu secara realiti dan bukannya sekadar fantasi.

Mungkin para pembaca jemu dan mungkin ada juga yang tertanya-tanya mengenai penulisan di dalam blog ini sejak kebelakangan ini. Betul, saya mengaku sejak kebelakangan ini saya menjadikan blog ini sebagai medium untuk menegur tindakan sesetengah pihak khususnya para pemimpin termasuklah kerajaan. Pada awal kewujudan blog ini, saya memberikan tumpuan atau teguran keras kepada parti-parti pembangkang dan pihak-pihak yang keterlaluan dalam menyuarakan hak mereka sehingga ada yang terlupa mengenai status orang Melayu sebagai majoriti di dalam negara ini.

Oleh sebab itu, di dalam penulisan kali ini saya ingin menyatakan bahawa setiap kritikan yang saya lemparkan itu bukanlah untuk menentang dasar tetapi saya menentang cara yang dilakukan. Contohnya, saya tidak menentang Datuk Razali Ibrahim tetapi saya menentang cara beliau sahaja. Walaupun ada pihak mengatakan bahawa saya memberikan bola tanggung kepada pihak pembangkang, tetapi mereka harus sedar bahawa bola tanggung itu diberikan di dalam kawasan sendiri dengan tujuan untuk dilibas ke arah pihak lawan.


Sejak saya menulis berkenaan manusia-manusia yang bakal menjadi calon BN di dalam Daerah Batu Pahat, banyak orang kurang senang dengan andaian yang telah saya lakukan. Perlu disedari bahawa saya hanya sekadar membuat andaian dan andaian itu tidak semestinya tepat. Daerah Batu Pahat memiliki empat kawasan Parlimen iaitu Parlimen Batu Pahat, Parlimen Parit Sulong, Parlimen Sri Gading dan Parlimen Ayer Hitam. Tidak salah rasanya saya membuat andaian kerana setiap andaian yang diberikan memiliki hujah tersendiri. Benar saya perlu memberi fokus kepada kawasan Parlimen Ayer Hitam sahaja kerana itu kawasan saya mengundi. Tetapi sekiranya diberi peluang untuk mencalonkan calon BN di kerusi Parlimen Ayer Hitam, saya berpendapat calon yang sesuai adalah Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam itu sendiri dan bukannya calon payung terjun.


Saya agak terkilan apabila terdapat beberapa pihak mengatakan bahawa saya tidak mengenang budi UMNO/BN. Saya akui, kedudukan yang saya miliki hari ini bukanlah hasil usaha saya sendiri tetapi turut dibantu oleh banyak pihak terutamanya ayahanda, bonda, saudara mara, para guru, presiden pertubuhan belia, malahan saya turut berterima kasih kepada wakil-wakil rakyat terutamanya Ketua UMNO Bahagian Sri Gading dan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam serta banyak lagi. Ada sebab saya perlu berterima kasih kepada mereka.


(Ayahanda bersama Presiden Majlis Belia Malaysia)


Saya juga tidak mahu menjadi seperti pengampu yang hanya mengampu untuk mendapat perhatian dan habuan lebih daripada pihak tertentu. Saya tidak diajar untuk mengangguk pada sesuatu yang sewajarnya digeleng. Maka disebabkan itulah saya dilihat lebih kepada menentang banyak perkara sejak kebelakangan ini.


Saya akui, kini disekeliling saya terlalu banyak manusia yang berpura-pura. Hakikatnya dapat dilihat apabila hampir kesemuanya menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Bukanlah hendak berprasangka buruk tetapi hampir kesemuanya sudah jelas ditunjukkan oleh Allah S.W.T. dan sukar juga untuk saya menerimanya.


Saya tetap akan berpegang kepada prinsip;


"Mengkritik bukannya menentang. Memuji tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci. Berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik".


Akhir sekali, saya adalah insan yang menghargai persahabatan, saya juga mudah mempercayai teman, rakan, kawan, sahabat. Walaupun ada dalam kalangan orang yang saya percayai itu telah 'mengkhianati' kepercayaan yang saya beri, sama ada ia terlepas cakap mahupun berniat untuk terlepas cakap, saya tetap akan memaafkannya. Hal ini kerana saya berpegang kepada pesanan supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang lain untuk ketenangan hati. Saya juga akan sentiasa mengingati pesanan seorang insan yang saya hormati dan kagumi supaya "Jirus amarah dengan maaf".


Sekian.

Ahad, April 08, 2012

Batu Pahat : Terima kasih Perdana Menteri

Salam dan salam sejahtera.

(Gambar Mingguan Malaysia)

Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai khususnya penduduk Daerah Batu Pahat, Johor.

Alhamdulillah kunjungan Perdana Menteri sempena program Jelajah Janji Ditepati itu bukan kunjungan dengan tangan kosong tetapi ada hadiah turut diberikan.

Sebanyak RM9 juta peruntukan diumumkan bagi membina pasar awam dan pasar borong di Batu Pahat.



InsyaAllah selepas ini akan ada peruntukan dari segi sistem perparitan dan saliran pula.

Terima kasih Perdana Menteri. Terima kasih kerajaan Malaysia.

Terima kasih juga kepada Perdana Menteri kerana telah membawa ramai menteri dan timbalan menteri untuk sama-sama hadir ke Batu Pahat.

Alhamdulillah, ada juga seorang timbalan menteri hadir ke sana dan tidak membatalkan kehadirannya pada saat-saat akhir.

Tahniah juga kepada menteri-menteri yang mengenepikan protokol dan melayan mesra para pengunjung, terutamanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.



Program Jelajah Janji Ditepati ini akan ada kesinambungannya. Semoga pada program yang akan datang, seeloknya para menteri dan timbalan menteri dibiarkan 'bersepah' supaya mereka boleh beramah mesra bersama rakyat. Biarlah para menteri dan timbalan menteri ini duduk bersama, semeja bersama dengan rakyat biasa dan bukannya bersesak untuk bersama Perdana Menteri.

Tahniah dan terima kasih kerajaan Malaysia.

Rabu, April 04, 2012

Jaga tutur kata - YB jangan terlalu yakin

PRU13: Razali tunggu Salahuddin di Muar

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim sedia berhadapan dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dikatakan berminat bertanding di kerusi yang disandang beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

“Banyak ura-ura didengar, sekejap di kerusi itu dan kini di Muar. Kalau dia nak bertanding di Muar pun saya alu-alukan, tapi tidak logik sebab kerusi Parlimen Muar untuk pembangkang adalah kerusi PKR.

“Adakah Salahuddin nak masuk PKR. Isu ini banyak membuang masa kita. Mereka tidak mempunyai fokus jelas,” katanya.

Minggu lalu, Salahuddin mengesahkan akan bertanding di Johor pada pilihan raya akan datang dan sedang mempertimbangkan tiga bahagian Parlimen untuk dipilih - sama ada bertanding di peringkat pusat atau negeri.

Razali berkata, pengumuman Salahuddin untuk bertanding di Johor hanyalah untuk meluaskan kuasa pembangkang menawan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Apa yang dikatakan itu lebih kepada kuasa. Pengumuman dibuat mereka semua mengenai kuasa sama ada untuk mengekalkan kuasa atau merampas kuasa daripada rakyat. BN pun mengalu-alukan Salahuddin sebab saya pun tidak tahu siapa calon BN di Muar.

“Tapi saya akan pastikan jika dia (Salahuddin) bertanding di Muar, saya sendiri akan ketuai jentera BN di sana,” katanya.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, tiada halangan untuk Salahuddin bertanding di mana-mana, asalkan beliau mahu berkhidmat untuk rakyat bukannya mahu mendapatkan kuasa.

“Saya tidak boleh menguasai rakyat, mereka buatlah pertimbangan. Tapi kalau Salahuddin datang ke Muar, apa pilihan yang saya boleh buat.

“Perkara asas kepada saya kenapa Salahuddin keluar dari Kelantan. Kenapa dia tidak mempertahankan kerusi di Kelantan?,” katanya.

Difahamkan barisan kepimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan satu perbincangan serius dengan Salahuddin untuk kekal di negerinya yang mempunyai kekurangan calon berwibawa untuk mengisi jawatan menteri besar.

Sumber : Sinar Harian

******************************

Salam dan salam sejahtera.

Jalan jangan selalu dongak ke atas, nanti tersungkur di bumi sendiri. Tunduk-tunduklah selalu, pandang ke bawah dan berpijaklah di bumi yang nyata.

Sejak kebelakangan ini media kerap memaparkan 'drama' cabaran demi cabaran oleh ahli-ahli politik untuk bertanding di sesuatu kawasan.

Salah satu cabaran tersebut adalah seperti di atas.

Tidak salah untuk mencabar, tetapi perlulah sedar akan kedudukan itu.

Rakyat memerhati dan menilai setiap yang diperkatakan oleh bakal-bakal calon.

Rakyat juga melihat dan menilai penyandang yang sedia ada.

Saya tertarik dengan kenyataan seorang pegawai yang mengulas cabaran seorang Timbalan Menteri terhadap seorang Naib Presiden Pas yang dikatakan akan bertanding di Negeri Johor dan seterusnya menjadi calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat menewaskan Barisan Nasional di Johor.

Pegawai itu mengatakan,

"tu si R*z**i tu tak faham-faham lagi ke? Eloklah berhati-hati ketika berucap, dah terkena hari tu pun tak kan tak faham-faham. Nanti malu sendiri. Urusan dengan ANAK JOHOR (Universiti Sains Malaysia) pun tak selesai dah nak buat yang lain. Dibuatnya semua ANAK JOHOR tu pusing....jawab la nanti..."

Ada pihak mengatakan bahawa sekiranya ANAK JOHOR USM hendak beralih arah itu tidak akan menggugat kedudukan mereka. Pada saya, kenyataan TIDAK AKAN MENGGUGAT itu adalah kenyataan yang JAHIL atau BODOH. Itu sebenarnya adalah kenyataan yang keluar daripada mulut insan yang tidak pernah merasai kekalahan.

Saya teringat kata-kata seorang Menteri Kabinet era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terlalu yakin akan terus mengekalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen dan sudah semestinya akan terus kekal sebagai Menteri Kerja Raya. Akhirnya, keputusan pilihan raya umum tahun 2008 beliau tewas kepada lawannya yang juga sama 'warna kulit' dengan beliau.

Pengerusi Barisan Nasional ketika itu juga melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan terus mengekalkan kuasa dan tidak mempunyai masalah untuk menang majoriti 2/3 kerusi Parlimen. Keputusannya? Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti 2/3 tersebut.

Hari ini, di salah sebuah kawasan Parlimen di Negeri Johor, seorang Ahli Parlimen telah 'terlepas cakap'. Beliau khabarnya telah mengatakan bahawa tidak memerlukan undi kaum india untuk menang kembali di kawasan tersebut. Beliau mungkin terlupa bahawa peratusan pengundi di kawasan tersebut tidak memberikan keselesaan kepada beliau kerana peratusan pengundi kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain hampir sama (Melayu + bukan Melayu). Kini, khabarnya penyandang kerusi tersebut sedang berusaha untuk bertukar ke kawasan yang lebih selamat.

Seeloknya tidak perlulah terlalu yakin dan mengamalkan budaya cabar mencabar seperti itu. Jagalah kawasan dan menjaga setiap tutur kata ketika berucap, bergurau juga ada tempatnya. Jangan kerana gurauan itu akan menjadi penyebab kehilangan undi. Majoriti undi yang diperolehi Barisan Nasional di Parlimen MUar bukanlah angka yang boleh dibanggakan.

Jaga tutur kata, elak sengketa.