Followers

Rabu, Mac 30, 2011

Sesi Parlimen Mahasiswa terakhir & usul tergempar..

Salam.. Salam sejahtera..

Pada 26 Mac 2011 (Sabtu) yang lalu, Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan persidangan kali ke-2 di Dewan Persidangan Universiti.

(perasmian persidangan kali pertama)

Dewan Perundingan Pelajar ini dianggotai seramai 58 ahli iaitu seramai 39 orang daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 19 orang yang mewakili kelab, persatuan, badan beruniform, majlis penghuni desasiswa, badan sukarelawan dan sebagainya.

Secara peribadi saya kurang bersemangat untuk menghadiri persidangan yang diadakan pada tarikh berkenaan kerana agak 'kecewa' dengan tindakan usul-usul lepas yang masih belum di ambil tindakan. Namun begitu, kesemuanya telah dijelaskan bahawa tindakan akan menyusul secara berperingkat-peringkat. Maklum sajalah banyak prosedur atau karenah BIROKRASI yang diwujudkan oleh manusia itu sendiri.



Sebanyak 17 usul telah diluluskan oleh Jawatankuasa Usul untuk dibahaskan di dalam DPP. Usul-usul yang dibahaskan ialah :
  1. *Mewujudkan pengajian subjek berkaitan Pengajian Islam sebagai subjek wajib universiti.
  2. Kualiti perkhidmatan pegawai-pegawai (pegawai rendah) universiti.
  3. *Nilai merit MyCSD tidak diberitahu kepada pelajar.
  4. *Sistem perlantikan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) digantikan dengan pemilihan yang berkredibiliti dan terbuka dengan melibatkan semua penghuni desasiswa tersebut.
  5. *Aktiviti sepunya membebankan desasiswa.
  6. *Kursus Bahasa Malaysia (BM) sebagai kursus wajib digantikan dengan bahasa Mandarin / Tamil.
  7. *Tuntutan mengekalkan lulus bersyarat D- hingga ke C-
  8. Kementerian Pengajian Tinggi perlu menghentikan permit pembukaan universiti/kolej perubatan/kursus perubatan di Malaysia dan mengembalikan hak pusat pengajian/fakulti perubatan menentukan bilangan kemasukan siswa/i perubatan dalam usaha untuk mengawal lambakan doktor perubatan. (DITARIK BALIK)
  9. *Pengumuman laporan perbelanjaan kewangan lawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2009/2010 ke Hong Kong.
  10. *Kerajaan Malaysia dan pihak universiti menyediakan peruntukan dan kemudahan terhadap pelajar yang ingin atau telah berkahwin semasa pengajian.
  11. *Membina satu penunjuk arah ke Kampus Kejuruteraan di Lebuhraya Utara Selatan.
  12. *Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), YDP Persatuan dan Kelab yang memohon menjadi PPSL perlu terlibat dalam minggu Siswa Lestari di Kampus Kesihatan.
  13. *Sistem pilihan raya kampus atau pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar yang bersih dan adil.
  14. *BHEPP Kampus Kesihatan perlu mengeluarkan protokol atau piawaian standard kertas kerja aktiviti-aktiviti pelajar dan peruntukan untuk aktiviti pelajar.
  15. *Tarikh bermula sesi akademik 2011/2012 bagi siswa/i fasa klinikal Pusat Pengajian Sains Perubatan USM perlu dikembalikan kepada bulan Julai dan bukannya September.
  16. *Mendemokrasikan Parlimen Mahasiswa (Dewan Perundingan Pelajar).
  17. *Sistem pemberian elaun dan tuntutan wang pelajar perbelanjaan program pelajar membebankan pelajar.
* - Tuntutan usul diterima.
* - Ada tuntutan usul di terima dan di tolak.
* - Usul di tolak

*Usul ke-6 tidak relevan kerana mengenepikan Bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa rasmi Malaysia.

Pada sebelah pagi persidangan DPP, mantan Yang Di Pertua MPP USM sidang 2009/2010, saudara Ahmad Wafi Sahedan telah mengusulkan satu usul tergempar bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang menyerang Libya. Usul tergempar bagi mengutuk tindakan kejam terhadap Libya itu telah disokong dan diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli dewan.

Selepas habis kesemua 17 usul dibahaskan, saya sendiri telah mengusulkan satu usul tergempar. Usul ini diusulkan selepas mendapat persetujuan daripada tuan Speaker DPP, saudara Mohammad Shafiq Abdul Aziz. Usul tergempar itu bertajuk BANK ISLAM PERLU MEMBUKA CAWANGAN DI DALAM KAMPUS INDUK USM. Secara peribadi usul ini sememangnya usul terpencil dan mungkin ada yang mengatakan bahawa usul ini adalah perkara yang remeh, akan tetapi usul ini amat penting dan menjadi satu keperluan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Justifikasi di dalam usul tergempar yang telah saya nyatakan ialah pinjaman dan biasiswa daripada PTPTN, JPA, MARA dan sebagainya disalurkan kepada mahasiswa/i melalui Bank Islam. Akan tetapi tiada langsung cawangan Bank Islam ada di dalam Kampus Induk USM ini. Bank Islam yang paling dekat cuma berada di Bayan Baru, bagi pelajar yang tiada kenderaan sendiri itu adalah amat jauh dan menyusahkan. Selain itu, 'CAWANGAN MINI' Bank Islam yang terdapat di Desasiswa Bakti Permai umpama HIDUP SEGAN MATI TIDAK MAHU kerana hanya beroperasi pada hari Selasa dan Khamis jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang, dan kebiasaannya tidak beroperasi langsung kerana Bank Islam kekurangan kakitangan. Alasan kekurangan kakitangan itu adalah alasan paling BODOH pernah saya dengar. Lantaran daripada itu ahli-ahli DPP telah bersetuju untuk meminta supaya BANK ISLAM yang diterajui oleh golongan cerdik pandai itu menambah kakitangan mereka sendiri supaya dapat beroperasi seperti mana bank-bank yang terdapat di dalam Kampus Induk USM ini (CIMB Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat). *BANK MUAMALAT yang 'tak popular' itu pun ada cawangan dalam Kampus Induk USM.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli DPP yang menerima tuntutan usul tergempar iaitu :
  1. Mendesak pihak Bank Islam membuka cawangan di dalam Kampus Induk - seperti mana CIMB Bank dan BSN.
  2. Meminta pihak Bank Islam tidak mengabaikan aduan yang di buat oleh mahasiswa/i kerana mereka juga adalah pelanggan.
Usul tergempar yang saya bawa ini adalah melibatkan dua orang rakan saya yang mempunyai masalah dengan Bank Islam seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam post sebelum ini. Selain itu terdapat juga beberapa rakan yang juga pemerhati DPP meminta saya mengusulkan usul tergempar ini demi kebajikan adik-adik yang masih ada dan yang bakal menyambung belajar di USM ini.

Alhamdulillah usul telah diluluskan. Kini hanya menunggu tindakannya sahaja. Saya bersyukur kerana berada di dalam Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa USM sebagai wakil atau suara Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR).

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mantan Yang Di-Pertua IKMAR, abang Mohd Fithri Jemari yang memberikan kepercayaan kepada saya bagi mewakili beliau dalam Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa pada 6 dan 7 Mac 2010 yang lalu. Di atas kepercayaan itu jugalah saya berada di dalam Persidangan Percubaan Parlimen Mahasiswa dan seterusnya terpilih sebagai salah seorang kumpulan ahli DPP atau Parlimen Mahasiswa yang pertama bersidang di Malaysia.

Walaupun adakalanya saya berasa kecewa dengan beberapa perkara mengenai DPP, tetapi saya wajar mengakui bahawa DPP adalah wadah di mana mahasiswa/i bebas bersuara tanpa berasa takut dengan mana-mana pihak. Namun begitu kebebasan bersuara itu haruslah berasas, jangan asyik mengkritik sahaja. Tindakan yang lewat di ambil oleh mana-mana jabatan itu pada saya hanya karenah birokrasi yang boleh di ubah bila-bila masa kerana sistem itu juga dibentuk oleh manusia, maka tiada sebab untuk tidak mengubahnya.

Terima kasih semua..

Selasa, Mac 22, 2011

Takut Wartawan - "Bank Islam, kami hilang kepercayaan..."

Salam.. Salam sejahtera..

Kuasa media atau pun kuasa wartawan. Hal ini berkaitan dengan dua tajuk sebelum ini iaitu berkaitan dengan isu kehilangan wang di dalam bank.

Hari Jumaat lepas (18 Mac 2011) adalah merupakan hari ke-14 bekerja bagi Bank Islam. Apakah kes tersebut? Sila rujuk tajuk sebelum ini.

(gambar hiasan)

Cuma saya ingin kongsikan bersama dengan anda semua bahawa semalam saya bersama rakan pergi ke Bank Islam Bayan Baru untuk menyelesaikan masalah yang dijanjikan akan dapat diselesaikan selepas 14 hari bekerja. Malangnya, tempoh 14 hari bekerja itu hanya tinggal hari dan janji sahaja. Saya beranggapan mungkin 14 hari bekerja itu pada mereka yang bekerja sahaja dan pihak yang menguruskan kes itu tidak bekerja. (ponteng rasanya)


(gambar hiasan - dalam skrin tu ada cctv ya)

Pada mulanya rakan saya itu 'malas' hendak pergi ke Bank Islam Bayan Baru kerana yakin pihak Bank Islam Bayan Baru belum menerima rakaman CCTV daripada pihak ibu pejabat di Kuala Lumpur. Tetapi atas desakan saya akhirnya rakan saya itu pergi juga mengadap pegawai Bank Islam Bayan Baru.

Masuk saja Bank Islam, pegawai bank itu terus senyum dan menyebut nama rakan saya. Pegawai itu senyum dan memberikan jawapan "saya belum dapat apa-apa pun daripada HQ, saya dah email dan telefon setiap hari tapi belum ada maklum balas, mungkin sikit hari lagi". Pada awalnya dimaklumkan pegawai tersebut mengatakan bahawa tempoh maksima untuk mendapatkan rakaman CCTV itu adalah 14 hari bekerja. Saya ulang ya, MAKSIMA 14 hari bekerja. Hasilnya hanya SENYUM dan MAAF.

Berbagai 'helah' dan idea cuba saya fikirkan supaya 'dapat' mempengaruhi pihak Bank Islam mempercepatkan urusan yang dijanjikan. Akhirnya dapatlah idea dalam masa yang singkat itu. Kalau nak tahu apakah idea bernas daripada saya, bolehlah baca di sini KLIK

Sebelum ini guna nama polis, siap bawa polis pergi Bank Islam Bayan Baru tapi tiada apa-apa tindakan lanjut. Semalam, kami guna nama wartawan sebab ada 'kakak angkat' sebagai wartawan di Pulau Pinang ini. Dengar nama wartawan, mereka terus 'bertindak segera'. Saya sendiri menghubungi pihak HQ dan dengan kadar segera jugalah mereka menjawabnya. Terima kasih kepada abang yang menjawab panggilan hot Bank Islam kerana menjawab dengan penuh sopan setiap pertanyaan saya. (yang lepas tu macam nak tinggi suara je kan)

Sebenarnya rakan saya itu tidak mahu melibatkan media kerana pegawai bank awal-awal lagi beritahu kami bahawa jika masuk media sekalipun kalau HQ tak beri maka kes tidak akan selesai. (wahhh nampak macam ada unsur-unsur ugutan walaupun kami cuba dapatkan bantuan pihak-pihak tertentu di 'atas' sana).

Semalam juga saya terserempak dengan seseorang di Taman Tun Sardon, super senior yang bersekolah di sekolah menengah yang sama dengan saya di Yong Peng, Johor. Biarlah saya namakan dia sebagai Abang Iki (tak nak sebut nama penuh dan organisasi yang dipimpinnya). Dia sendiri secara spontan kata "masukkan je dalam media kes tu, biarlah dengan Bank Islam..". Waaahhh orang besar pun bagi idea yang sama macam saya.

Apa-apa pun kena tunggu lagi untuk minggu ini sama ada kes ini dapat diselesaikan atau pun tidak. Bukanlah hendak celupar, cuma kalau makin lama kes ini dibiarkan, rasanya duit hampir '6 riban' itu mungkin dah tinggal beberapa 'riban' sahaja.

Saya belum mahu meneruskan serangan lagi terhadap Bank Islam kerana ada nama ISLAM di situ. Masih menunggu masa yang sesuai untuk terus 'menyerang' mereka.

Maklum sajalah duit-duit biasiswa JPA, MARA, pinjaman PTPTN semuanya disalurkan di Bank Islam. Dalam kampus Universiti Sains Malaysia (USM) ini cuma ada cawangan kecil Bank Islam yang bolehlah diibaratkan seperti hidup segan mati tak mahu. Hanya beroperasi pada hari Selasa dan Khamis jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang dan 'biasanya' jam 1.50 petang dah tutup. Alasan yang diberikan ialah mereka tidak cukup kakitangan. Kalau tidak cukup kaki rasanya tambahlah kaki kan? Kalau tidak cukup tangan rasanya tambahlah tangan pula. Tak kan itu pun nak di bawa masuk ke dalam Dewan Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa USM supaya Bank Islam dapat menyelesaikan masalah tersebut???

CIMB Bank boleh ada cawangan di dalam Kampus Induk USM, kenapa Bank Islam tidak boleh? Tidak cukup kakitangan? Alasan je tu.. Kalau macam tu rasanya logik tak kalau semua mahasiswa dan mahasiswi desak kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan PTPTN jangan guna lagi perkhidmatan Bank Islam untuk 'agihkan' duit kepada pelajar IPTA dan IPTS? (ish! kaki menghasut juga saya ni)

Selasa, Mac 15, 2011

"..pelanggan tu RAJA.."

Salam.. Salam sejahtera..

Post kali ini adalah kesinambungan daripada post sebelum ini (di bawah).

Walaupun yang menjadi mangsa itu adalah kawan tetapi sebagai kawan baik rasanya seperti kita sama-sama menjadi mangsa.

Sekadar rentetan peristiwa. Laporan polis di buat pada 1 Mac 2011 di Balai Polis Sungai Nibong selepas mendapat tahu kehilangan semua wang tunai di dalam akaun Bank Islam dan CIMB. Kemudian di minta pula terus rujuk kepada polis di IPD Timur Laut, Pulau Pinang.

Terima kasih dan tahniah kepada pihak Bank CIMB di USM kerana membantu memberikan dengan penuh lengkap tarikh, masa, dan tempat pengeluaran wang secara tidak sah itu. CIMB terbaiklah..

1 Mac 2011 itu jugalah laporan susulan  yang sama turut dilakukan di Bank Islam  Bayan Baru, Pulau Pinang. Pegawai Bank Islam memberitahu hanya dapat membantu mendapatkan bukti-bukti dalam tempoh maksima 14 hari bekerja. Ketika saya menaip di sini, sudah masuk hari ke-11. Saya ulangi hari ke-11 ya.

Apabila kami pergi ke Bank Islam Bayan Baru dan bertanya mengenai bahan bukti tersebut, pegawai hanya berkata "kami belum dapat apa-apa lagi daripada HQ". Tiga kali pergi berjumpa dan itulah jawapan pegawai tersebut sambil tersenyum sehingga rakan saya menjawab "ini dah hari ke-11, ada 3 hari lagi ya..kalau tak ada siaplah".

Kesian dengan kawan baik itulah maka hari ini dengan penuh berani (berani la sangat kan) saya menghubungi terus HQ Bank Islam di Kuala Lumpur dan bertanya sendiri perkembangan kes tersebut. Macam-macam yang di tanya kepada saya sepertinya kami BODOH sampai tidak membuat laporan polis. Alasan mereka "sepatutnya pihak polis yang berurusan dengan kami dan bukannya individu", 

"eehhh helllooooo...dah terang-terang pihak polis suruh kami berurusan dengan pihak Bank Islam dulu, dah ada bukti barulah buka kes". Ini nasihat polis sebab tak nak gelapkan masa depan si pencuri. (sebenarnya dah jadi kes pun) Dua orang yang menjawab telefon tapi jawapan berbeza. Apa daaaaaaaa....tak tahu cakap je la tak tahu..tak pasal-pasal SYUKRI SA'ADON marah orang hari ni..


Sarjan yang membantu kami dalam kes ni pesan, "Hangpa jangan takut dengan orang-orang yang kerja bank ni, kalau depa berlagak hang cakap ja ingat aku nak sangat ka simpan duit dalam bank ni! baik simpan dalam ASB ja..depa pinjam duit kita untuk melabur lepas tu nak berlagak pulak, kita sebagai pelanggan ni raja". Betul juga kata-kata sarjan ni...

Kepada mana-mana pihak yang ada saham dalam Bank Islam atau ada yang bekerja di Bank Islam, atau siapa-siapa yang ada saudara mara (orang banjar kata KULAAN) yang kerja di Bank Islam, tolonglah ya bantu mereka yang menjadi mangsa ni. Janganlah merumitkan keadaan. Kalau boleh tu tak perlulah nak berBIROKRASI sangat dalam kes-kes macam tu.

Kalau mutu perkhidmatan masih sama dan tidak memberikan kepuasan kepada pelanggan, rasanya sudah tiba masanya pihak yang berkenaan tidak menjadikan sesuatu BANK itu sebagai saluran untuk menyalurkan pinjaman dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

*Menanti dengan penuh sabar dan debaran.

**Cukup tempoh 14 hari dan masih tiada apa-apa maklum balas maka eloklah perkara ini diheboh-hebohkan ke seluruh MALAYA ini.

Jumaat, Mac 04, 2011

Pengalaman - Pengajaran - Harapan

Salam.. Salam sejahtera..

Ini bukan cerita politik kampus mahupun politik berkenaan pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau. Ini hanya sekadar isu politik kecil yang mungkin tiada siapa ingin membacanya.

Pada 25, 26, dan 27 Februari 2011 (Jumaat, Sabtu, Ahad) yang lalu telah berlangsung Temasya Olahraga Tahunan (TOT) kali ke-37 di Universiti Sains Malaysia (USM).



Untuk kali pertama dalam sejarah hidup saya berada di USM ini saya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini. Penglibatan bukan sebagai atlit, tetapi penglibatan sebagai pegawai temasya TOT kali ke-37. Sebenarnya sesiapa yang mengambil kursus Pengurusan Acara, mereka wajib terlibat dalam program-program yang dianjurkan. Termasuklah saya dan rakan-rakan yang lain. Secara peribadi TOT kali ini memang menyeronokkan walaupun kami sangat letih dengan karenah-karenah manusia dan cuaca yang sangat panas. kulit dah gelap.

Di sini saya bukan hendak merapu berkenaan TOT, tetapi kisah duka yang telah menimpa salah seorang rakan kami. Apakah itu?

Kami dan setiap pegawai temasya serta setiap kontinjen telah terlibat raptai TOT pada hari Khamis (24/2/2011) jam 8.30 malam. Raptai tersebut tamat lebih kurang jam 10.30 malam.

Dipendekkan cerita, saya dan beberapa rakan yang bertugas dalam bahagian Tugas-Tugas Khas telah membuat tugasan menyiapkan kad akreditasi para peserta TOT di dalam Unit Sukan USM. Sebenarnya kami bermula agak lewat iaitu lebih kurang jam 12.00 tengah malam kerana masing-masing 'kebuloq'. Alhamdulillah masing-masing peka dan teliti serta serius melaksanakan tugasan yang diberikan oleh ketua bahagian kami iaitu Mohamad Safiq Suhaimi. Terima kasih juga kepada rakan kami Muhammad Tarmizi daripada bahagian lain yang sudi meluangkan masa tidak tidur untuk membantu kami. Asnidar pun buat kerja senyum-senyum. - Maniyarasi kata saya sentiasa segar walaupun dah hampir subuh - Puji diri sendiri sekejap.


Akan tetapi bukan itu yang ingin saya ceritakan. Lebih kurang jam 2.00 pagi, ketua bahagian kami - Safiq - telah keluar membeli air dan sedikit makanan ringan untuk kami yang bertugas di dalam pejabat. Terima kasih sebab belanja kami malam tu Safiq. dah pagi la masa tu. Kami pun secara tekunnya membuat  kerja-kerja sehinggalah jam 5.15 pagi (25/2/2011) dan balik ke bilik masing-masing untuk tidur.

Dipendekkan cerita lagi, selepas balik daripada solat Jumaat, Safiq yang juga ketua bahagian tugas-tugas khas hendak pergi ke Unit Sukan untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum disiapkan. Pada masa itulah dia mula perasan bahawa dompet duitnya tiada. Barangkali tercicir di dalam pejabat. Pada jam 3.00 petang Safiq pergi ke Unit Sukan dan tiada dompet di sana.


Kami dan rakan-rakan telah menasihatkan Safiq untuk menyekat pengeluaran wang melalui kad ATM kerana mungkin pihak yang menjumpai dompet itu adalah seseorang yang tidak bertanggungjawab. Pada malam itu jugalah (Jumaat) Saya telah membantu Safiq menghubungi HQ bank-bank tertentu. Alhamdulillah pengeluaran melalui kad ATM berjaya di sekat.


Pada hari Sabtu dan Ahad TOT berlangsung dengan meriahnya. Namun begitu Safiq masih ceria walaupun dompetnya hilang. Tiada masa untuk membuat laporan polis sehinggalah didesak oleh saya.

Pada hari Isnin saya menemani Safiq pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan baru dan Bank Islam di Bayan Baru untuk membuat kad bank yang baru. Malangnya kad pengenalan sementara tidak boleh untuk membuat kad ATM. Pegawai Bank Islam menasihatkan Safiq mengeluarkan duit di kaunter. Sesuatu yang menakjubkan ialah kesemua duit akaun Safiq di dalam Bank Islam, HILANG. Begitu juga di CIMB. Persoalan di sini kemanakah perginya duit-duit itu? Sudah tentulah ada yang mengeluarkannya. Masa dan tempat pengeluaran sudah diketahui.

Takziah dan banyak-banyaklah bersabar Safiq. Nasihat kepada semua supaya jangan menggunakan nombor kad pengenalan sebagai nombor pin kad ATM bank. Nasihat kepada sesiapa sahaja yang menjumpai dompet orang lain sama ada di tepi atau tengah jalan, di bawah kerusi atau di atas kerusi, atas meja atau di bawah meja, atau di mana jua tempat-tempat yang berkaitan, TOLONGLAH bertindak jujur dengan memulangkan dompet itu kepada pemilik asalnya. Kalau susah sangat serahkan pada pihak polis saja. TOLONGLAH jangan menganiaya orang lain.

Kepada pihak CIMB bank dan bank Islam terima kasih kerana sudi membantu pelanggan anda. Cuma kepada pihak bank Islam kalau boleh tolonglah percepatkan prosedur-prosedur untuk memudahkan pelanggan setia anda supaya lebih setia kepada bank Islam.

*Tidak sabar hendak mengetahui sesuatu yang perlu diketahui. Semoga bukan rakan-rakan kami.

**Harapan supaya selesai segera permasalahan ini.

Selasa, Februari 22, 2011

Tahniah Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa & Bebas USM

Salam.. Salam sejahtera..

Sedikit ulasan mengenai pilihan raya kampus (PRK) Universiti Sains Malaysia.

"Kalah dah pasti, menang tu satu keajaiban..", inilah kata-kata yang saya lemparkan secara spontan kepada beberapa calon yang menanti keputusan dengan penuh debaran. Mungkin kata-kata ini sebagai pematah semangat calon-calon, tetapi sebenarnya ia sebagai satu simbolik kepada mereka yang selama ini beranggapan bahawa tiada masalah untuk memenangi PRK atas platform-platform tertentu.



Keputusan PRK USM bagi memilih Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2010/2011 kali ini membawa kepada satu kejutan kepada pihak Pro-Aspirasi. Namun begitu Pro-Mahasiswa juga mungkin mengalami kejutan kerana meraih jumlah kerusi yang amat membanggakan. Kejutan yang dialami kedua-dua pihak adalah kejutan yang berbeza namun begitu meninggalkan kesan kepada mereka.




Dalam keputusan PRK yang diumumkan semalam, Pro-Aspirasi memenangi 24 kerusi, Pro-Mahasiswa 14 kerusi, dan 1 kerusi lagi dimenangi oleh Bebas. Khabarnya hari ini - (saat saya menaip ini) - akan ada bantahan terhadap kemenangan calon Bebas yang memenangi kerusi di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Apa-apa pun keputusan masih dinantikan oleh semua.

Mantan Yang Dipertua (YDP) MPP sidang 2009/2010 Ahmad Wafi Sahedan secara spontan membuat gimik dengan 'berlutut' di hadapan saya bagi menunjukkan kekalahan Pro-A di beberapa buah kerusi Pusat Pengajian khasnya di aliran Sains Tulen dan kerusi umum.

Kampus Kesihatan seperti mana tahun-tahun sebelum ini merupakan 'lubuk' atau kubu kuat kepada Pro-M dan Kampus Kejuruteraan pula kubu kuat kepada Pro-A.

Saya hanya mahu memberi fokus kepada Kampus Induk sahaja kerana saya tidak 'menziarahi' kampus-kampus yang lain.

Secara realitinya, USM masih boleh dibanggakan oleh pihak-pihak tertentu di luar sana  kerana Pro-A menang majoriti di sini. Sedangkan beberapa universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) (Pro-A menang), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sudah menunjukkan bahawa Pro-A dan Pro-M mengalami kejutan.

Persoalannya di sini ialah mengapakah perkara ini turut berlaku di USM? Adakah kerana MPP sidang 2009/2010 sebelum ini tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin? Adakah mungkin juga kerana Pro-A berasa terlalu yakin untuk menang? Mungkinkah juga ini sebenarnya dikaitkan dengan sikap pengundi yang berasa bahawa isu-isu banyak yang tidak diselesaikan? Segalanya mungkin di sini. Rasanya Pro-A dan Pro-M akan membuat penilaian mengenai perkara ini.

Persoalan-persoalan yang saya kemukakan di atas bukanlah persoalan yang ditimbulkan oleh saya seorang. Persoalan itu timbul atas kesedaran mengenai kekalahan dan kemenangan yang dialami oleh kedua-dua pihak tersebut.

Sebenarnya kalau di lihat kepada isu-isu yang dimainkan semasa berkempen, saya berpendapat isu itu sudah basi. USM sebenarnya tiada isu. Isu yang menjadi modal setiap kali PRK ialah mutu perkhidmatan bas, WiFi, kemudahan-kemudahan lain, pinjaman, dan yang paling utama adalah isu kebajikan. Isu kebajikan adalah modal kempen WAJIB para calon semasa berkempen. Namun begitu isu-isu yang dikatakan basi inilah sebenarnya menyebabkan kekalahan kepada Pro-A di beberapa buah kerusi.

Isu bas komuter USM yang menjadi pengangkutan utama mahasiswa/i ke kelas sebenarnya sudah diselesaikan oleh NYDP MPP 2009/2010, namun begitu mungkin masalah itu hanya selesai di atas 'kertas' tetapi tidak diselesaikan melalui tindakan. Bas komuter masih bermasalah, hanya mereka yang menggunakannya tahu masalah tersebut. (saya sudah lama tidak menggunakannya). Secara peribadi saya mengetahui usaha yang dilakukan oleh Saudara Muhamad Nur Hazim Mazlan yang bertindak untuk menyelesaikan masalah bas komuter, akan tetapi masih ramai yang tidak mengetahui hasil penat lelah beliau yang terkena caci maki pihak-pihak tertentu dalam usaha beliau menyelesaikan masalah bas komuter. Khabarnya masalah bas komuter sudah sampai ke tahap "akan diselesaikan tetapi tidak tahu bila". Masalah bas komuter inilah mungkin menjadi salah satu faktor kekalahan Pro-A.

Kemenangan dan kekalahan calon-calon yang bertanding mungkin juga disebabkan oleh jentera-jentera kempen mereka. Sebagai contoh calon konstituensi umum Kumerain dan Menega menggunakan kaedah kempen yang unik. Sebenarnya saya cukup tertarik dengan gaya kempen calon-calon India sejak tahun lepas kerana mereka cukup kreatif berkempen untuk meraih undi. Akan tetapi sedarkah mereka sebenarnya kempen yang 'agak keterlaluan' akan menyebabkan pengundi berasa jelik? Saya melihat dengan mata saya sendiri bagaimana aksi jentera-jentera kempen kedua-dua calon India bagi kerusi umum ini bergaduh mulut dan menunjukkan isyarat lucah antara satu sama lain. Saya berasa kurang senang dengan aksi tersebut, apatah lagi mereka yang bakal mengundi. Ramai juga rakan-rakan saya yang berasa kurang selesa kerana calon-calon memerhati mereka semasa berada di dalam tandas. Poster ada di mana-mana sehingga ke bilik mandi, cermin tandas, tempat sentuh kad palang pintu masuk, meja makan dan sebagainya.

Kemenangan calon-calon Pro-M sebenarnya sudah di jangka kerana calon-calon yang bertanding khusunya di kerusi umum adalah mereka yang berkaliber. Junior saya di dalam kelas Sains Politik iaitu Saudara Lukhman membuat kejutan apabila memenangi satu daripada enam kerusi umum kampus induk USM. Selain itu, Musmuliadi dan Fatin turut membuat kejutan dengan memenangi kerusi umum. Ini menunjukkan bahawa di kampus Induk USM calon Pro-M bagi kerusi umum berjaya menyeimbangkan kerusi dengan Pro-A. Calon Pro-A yang memenangi kerusi umum ialah Ismalia, Hafiz, dan Idzuan.

Saya ingin membawa sedikit tumpuan kepada sikap pengundi yang mengundi semasa hari pengundian semalam. Jika kita perhatikan kepada pemenang, sebenarnya kerusi umum dimenangi kesemuannya oleh calon Melayu. Adakah undian yang dilakukan itu berasaskan perkauman? Persoalan di sini. Beberapa perbincangan bersama rakan-rakan sebelum tamat tempoh berkempen ialah mungkin tiada wakil India yang akan berada di dalam MPP (tanpa melibatkan Pusat Pengajian), kerana pengundi India sudah tentu akan berpecah kepada dua pihak iaitu pihak Kumerain dan pihak Menega. Begitu juga dua orang wakil Cina yang tewas dalam perebutan kerusi umum iaitu Tan Boon Chuan dan Lim Gene Harn. Kata-kata daripada sahabat mantan MPP akhirnya menjadi kenyataan, "silap hari bulan semua kerusi umum calon Melayu yang menang.."

Satu lagi sebab mengapa Pro-M menjadi pilihan mahasiswa/i USM ialah kerana pengundi tertarik dengan tawaran insentif RM1,300 yang dicadangkan supaya diberikan kepada semua mahasiswa/i USM. Ketika ini insentif APEX itu hanya ditawarkan kepada mahasiswa/i jurusan Sains Tulen. Perkara ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Naib Canselor semasa sesi dialog pemimpin-pemimpin pelajar. Naib Canselor mengatakan bahawa insentif itu diberikan kepada jurusan Sains Tulen supaya jurusan Sains Tulen menjadi pilihan kepada pelajar-pelajar. Dalam erti kata yang lain insentif ini sebagai 'umpan' untuk memikat pelajar-pelajar mengambil jurusan Sains Tulen.


Kepada semua yang menang dan menjadi ahli MPP saya ucapkan tahniah di atas kemenangan tersebut. Jangan lupa dengan janji-janji yang di tabur semasa berkempen. Jangan lupa meneruskan usaha MPP sebelum ini yang memperjuangkan isu bas komuter. Jangan lupa juga dengan isu insentif RM1,300 kepada setiap mahasiswa/i USM kerana itu juga antara faktor utama pengundi mengundi. Turut jangan dilupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dimainkan sebagai wakil pelajar. Jangan angkuh dan sombong. Jangan memperlekeh rakan-rakan yang sebelum ini menyokong.


Sekali lagi tahniah kepada semua barisan MPP USM 2010/2011. Masa untuk berbeza ideologi semasa meraih sokongan sudah berlalu, kini masa untuk bersatu.

Ahad, Februari 20, 2011

Pengaruh filem dalam PRK?

Salam.. Salam sejahtera..

Kejadian ini berlaku malam tadi semasa rapat umum di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia.

Ketika calon-calon memperkenalkan diri di hadapan orang ramai, ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan perbuatan seperti ini



Calon yang 'bertuah' itu ialah saudara Tan Boon Chuan dan kejadian ini berlaku di Desasiswa Tekun, Kompleks RST.

Siapakah yang melakukannya? Adakah mereka terpengaruh dengan filem Mamat Khalid yang 'menguasai' rapat umum malam tadi? ( "Kita bakor je!" )

Dahsyat sungguh pengaruh filem dalam PRK kali ini.

Apa-apa pun kita tunggu rakaman CCTV yang ada di Desasiswa Tekun.

Mungkinkah mereka calon kita? Segalanya mungkin Isnin ini..

Salam.. Salam sejahtera..

Kini semakin hangat pilihan raya kampus (PRK) atau lebih dikenali sebagai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM). Lupakan seketika politik-politik di luar sana yang gemar mendedah sana dan mendedah sini untuk memberikan tumpuan seketika dalam politik kampus.

Saya baru saja pulang daripada rapat umum di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM). Rapat umum pada malam ini adalah sebagai sesi memperkenalkan calon-calon yang bertanding di konstituensi Pusat Pengajian dan konstituensi umum. 

USM terdapat sebanyak 39 kerusi MPP yang meliputi 31 konstituensi Pusat Pengajian dan 8 kerusi konstituensi umum (6 di Kampus Induk dan masing-masing 1 di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan).

Selepas mendengar ucapan-ucapan para calon, secara peribadi saya mengakui ada terasa sudah mula 'insaf' apabila tidak 'memilih' calon tersebut untuk dijadikan pilihan utama. Alhamdulillah masih ada masa untuk membuat keputusan sehingga hari Isnin 21 Februari 2011.

Rata-rata kebanyakkan calon masih menjadikan isu KEBAJIKAN sebagai salah satu modal kempen. Sememangnya isu kebajikan perlu di beri keutamaan kerana isu kebajikan bukan hanya meliputi makanan dan perkhidmatan bas sahaja, tetapi turut meliputi perkara-perkara lain. Namun begitu saya yakin kebanyakkan calon yang bertanding mempunyai matlamat perjuangan yang jelas dan tidak masuk bertanding sekadar untuk menguji populariti.

Saya bukanlah orang yang layak untuk membuat analisis atau andaian, tetapi rasanya tidak ada sesiapa berhak untuk menghalang saya membuat andaian berdasarkan pemerhatian saya sendiri sejak beberapa hari ini sehinggalah rapat umum malam tadi. Kita bercakap berdasarkan kebebasan bersuara berlandaskan peraturan yang sedia ada.

Berdasarkan pemerhatian, rasanya calon-calon pilihan tidak ada masalah untuk menang di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Hal ini kerana tiada saingan yang diberikan oleh calon 'BEBAS' yang bertanding di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. PPSK mempunyai 2 kerusi. Calon-calon pilihan di PPSK seperti Muhamad Khazafi Bin Md Napiah dan Yulfarianti Sudirman di jangka tidak menghadapi masalah besar untuk menang di PPSK menentang saudara Ng Ming Yip. Muhamad Khazafi dan Yulfarianti merupakan calon Pro-Aspirasi yang mempunyai jentera penggerak yang kuat berbanding Ng Ming Yip yang bergerak sendiri tanpa bantuan besar pihak-pihak lain.

Jiran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) iaitu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) pula mengalami persaingan yang sengit di antara 3 calon yang bertanding bagi merebut 2 kerusi di Pusat Pengajian tersebut. Antara nama yang dikatakan agak 'besar' dan bertanding di PPIK ialah Thaqib bin Zulkafli, Bayang Uding, dan Nur Farhanah binti Nasir. Pertembungan 3 calon bagi merebut 2 kerusi di PPIK rasanya agak mencabar dan seimbang di antara 3 calon yang bertanding. Namun begitu sedikit masalah dihadapi oleh Bayang Uding kerana tidak mempunyai jentera yang kuat seperti mana Thaqib dan Farhanah. Namun begitu segalanya terjadi.

Selepas melihat dan mendengar sendiri calon-calon kerusi konstituensi umum menyampaikan ucapan, saya berpendapat calon-calon ini mungkin akan menjadi pilihan kepada para pengundi. Antaranya ialah

1. Muhammad Idzuan Bin Jamalludin


2. Muhamad Hafiz bin Abu Kasim

3. Ismalia binti Hasimi

4. Lim Gene Harn


5. Tan Boon Chuan


6. Meneega 

Namun begitu 3 calon lain yang bertanding di konstituensi umum tidak boleh dinafikan kehebatan mereka. Walaupun penama-penama di atas mempunyai kelebihan, tetapi pihak lawan juga mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.

Calon-calon seperti di bawah ini juga tidak boleh dinafikan kelebihan mereka.

Mohamad Nur Lukhman Al-Hakim


Kumerain


Musmuliadi Kamaruding

Apa-apa pun hari Ahad jam 9 malam akan diadakan sekali lagi rapat umum untuk para calon berucap. Mungkin para pengundi boleh menukar pilihan selepas mendengar janji-janji manis para calon. Segalanya mungkin berlaku dengan kehendak-Nya.


*Tak sabar menanti kemunculan YDP MPP yang baru..

Khamis, Februari 17, 2011

PRKampus USM - Calon Popular?

Salam..

Salam Sejahtera..

Salam Kebebasan Mahasiswa Sejagat..

Hari ini 17 Februari 2011 (Khamis) adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kampus di Universiti Sains Malaysia (USM). Beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain turut berbuat perkara yang sama.



Pilihan raya kampus (PRK) kali ini rasanya kurang hangat dengan isu-isu yang baru kerana bolehlah dikatakan berdasarkan kepada isu-isu yang sudah sekian lama diperkatakan seperti isu KEBAJIKAN.

PRK kali ini adalah PRK kali ke-3 saya berada di USM. Hal ini juga bermaksud sudah 3 kali saya mendengar dan membaca risalah yang menjanjikan mengenai KEBAJIKAN mahasiswa/i USM. Pokok pangkalnya isu KEBAJIKAN adalah isu yang paling utama dalam setiap kali PRK.

Pada mulanya saya tidak berminat dengan PRK kali ini tetapi sedikit demi sedikit minat dan rasa ingin terlibat telah menerjah ke dalam diri. Mengapa? Hal ini adalah kerana disebabkan oleh permainan politik pihak-pihak yang berkenaan seperti 'berlakon' atau lebih kepada bermain dengan propaganda 'murahan'. Berlakon bagi 'menyelamatkan' calon-calon tertentu dan menggunakan media alternatif di alam maya untuk membaling batu tapi sembunyi tangan.

Selain itu saya 'terpaksa' mengambil tahu mengenai PRK kali ini kerana ramai calon yang bertanding adalah kenalan saya sendiri. Terasa rugi kalau menjadi katak di bawah tempurung yang tidak mahu mengambil tahu berkenaan dengan politik kampus. Hendak terlibat dengan politik kepartian di luar sudah tentu akan banyak halangan.

Pusat Pengajian saya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) mempunyai 2 kerusi yang dipertandingkan. Terdapat beberapa calon yang akan bertanding bagi merebut 2 kerusi di PPSK. Di antara calon yang saya kenal dan tahu gerak kerja dan hasil kerja mereka ialah,

Seorang jejaka yang muncul dengan membawa kebangkitan kepada Persatuan Anak Negeri Pulau Pinang iaitu Muhammad Khazafi Md Napiah. Rasanya tidak perlu saya perkenalkan beliau di sini kerana beliau sememangnya terkenal di PPSK. Lebih mesra dengan panggilan Mat. Bab-bab kebajikan memang peranan beliau.


Seorang lagi jejaka daripada Parit Sulong, Johor iaitu saudara Ng Ming Yip telah menjadi calon bagi merebut kerusi di PPSK. Kepada Yip, saya sebagai abang memohon maaf secara terbuka kerana terpaksa menolak permintaan anda. Maklum sajalah yang bertanding di PPSK itu adalah kawan-kawan saya juga. Oleh sebab itu saya menolak permintaan beliau.

Dengar khabar ada seorang lagi calon di PPSK. Saya tidak mengenali calon ini. Oleh sebab itu saya tidak tahu apa-apa mengenai calon ini. Yang pasti namanya di dalam facebook ialah Yulfa Sudirman.




Itu serba sedikit mengenai calon-calon yang bakal merebut 2 kerusi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan. Selain kerusi di Pusat Pengajian, terdapat juga 6 kerusi di konstituensi UMUM. Di antara calon yang bertanding di konstituensi UMUM yang saya kenal ialah,


Saudari Ismaliya Hasimi yang saya kenali beliau semasa bersama-sama di dalam Kelab Sains Politik. Seorang yang ceria dan mudah tersenyum. Anak kelahiran negeri Bumi Kenyalang (Sarawak). Kini beliau juga merupakan Setiausaha Kelab Sains Politik yang penuh berdedikasi.


Calon kedua yang bertanding di konstituensi UMUM ialah saudara Muhammad Idzuan Jamalludin. Beliau merupakan salah seorang rakan seperjuangan saya di dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) atau Parlimen Mahasiswa. Beliau juga merupakan Yang Di-Pertua Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan. Yang paling utama ialah beliau anak kelahiran negeri Johor Darul Ta'zim. Pengaruh beliau cukup besar dan beliau amat dikenali di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK). Maklum sajalah kami bersama-sama di dalam kelas Sejarah. Beliau juga sangat aktif bersukan dan sangat merendah diri sehingga tidak menunjukkan diri beliau sebagai seorang pemimpin di MPD. Kemungkinan juga beliau akan menjadi YDP MPP. Segalanya mungkin.


Calon yang ketiga ialah saudara Hafiz Kassim. Beliau seorang yang sangat ceria dan agak 'main-main'. Saya mengenali beliau semasa berada di Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa bulan Mac tahun 2010 yang lalu. Saya mengingati beliau kerana apabila beliau bercakap 'didepan' mikrofon maka suara beliau akan bertukar menjadi 'formal', seperti mana pengacara di siaran langsung RTM. Apa-apa pun itu adalah cara beliau. Beliau juga merupakan salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang lepas. Adakah beliau akan menjadi YDP MPP sidang akan datang? Segalanya mungkin.

Calon yang keempat ialah saudara Tan Boon Chuan. Secara jujurnya saya tidak mengenali beliau, cuma apabila terserempak atau perlu berurusan dengan MPP di dalam sesuatu program beliau akan membantu dan lazimnya beliau yang akan melontarkan senyuman terlebih dahulu. Kami tinggal di desasiswa yang sama.


Calon yang kelima ialah Menegaa A/P Paraman. Beberapa komen daripada rakan-rakan yang sama ideologi dengan beliau mengatakan beliau seorang yang berdedikasi dan komited dengan tugas. Saya tidak mengatakan sedemikian cuma mendengar daripada rakan-rakan. Kalau mereka menipu maka saya juga menipu di sini.

Hanya ini saja nama-nama calon yang saya perolehi dan saya kenal. Saya tidak mahu sentuh calon di Pusat Pengajian yang lain khasnya di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) walaupun kerusi PPIK agak panas kerana calon yang 'direstui' mempunyai masalah dengan 'akar umbi'. Apa-apa pun saya tetap menyokong rakan saya yang bertanding di kerusi PPIK iaitu Bayang Ak Uding. Isu di PPIK di kupas oleh saudara saya SAFIQ di dalam blog beliau (KLIK SINI) kerana beliau lebih memahami senario politik di PPIK.




Kepada semua calon yang bertanding, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda semua dan berharap berfikir dengan rasional tanpa disertai dengan perasaan emosional. Berbeza pendapat itu perlu untuk mencapai sesuatu yang terbaik.


Adalah diharapkan supaya mereka yang bertanding itu kesemuanya bukan sahaja untuk terlibat di dalam proses demokrasi kampus tetapi bertujuan untuk benar-benar memperjuangkan isu-isu kebajikan dan menyelesaikan setiap permasalahan yang dibangkitkan selama ini. Mungkin tidak ada ada yang bertanding untuk menguji populariti dan untuk memecah undi.


Berkempenlah dengan bijaksana tanpa mengaibkan mana-mana pihak.


Hidup Mahasiswa Bersatu!!

Rabu, Februari 16, 2011

IKMAR - Karnival Sukan Anak Johor IPTA - UKM

Pada 28, 29, dan 30 Januari 2011 yang lalu, Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) IPTA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Seramai 38 orang daripada IKMAR telah turut serta dalam program tersebut.

Sebanyak sembilan Persatuan Anak Negeri Johor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah menyertai KSAJ ini, antaranya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Terdapat dua pasukan jemputan iaitu sebuah kolej swasta dan Persatuan Belia 4B Negeri Johor.

Sebanyak lima acara telah dipertandingkan di KSAJ, antaranya ialah futsal, badminton, bola tampar, sepak takraw, dan bola jaring. IKMAR telah menghantar peserta untuk acara bola tampar lelaki, futsal lelaki, badminton campuran, dan bola jaring perempuan.

Acara perasmian KSAJ diadakan pada sebelah pagi 28 Januari 2011 dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri, Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga selaku wakil rasmi Yang Berhormat Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Pada sebelah malamnya pula telah diadakan Majlis Makan Malam bersama Yang Berbahagia Ustaz Syahrin Md.. Jamaluddin, Pengerusi Belia 4B Negeri Johor dan juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Mohd. Yassin.

Acara sukan yang dipertandingkan bermula pada sebelah pagi hari Sabtu. Sukan-sukan yang dipertandingkan seperti futsal, sepak takraw, bola jarring, dan bola tampar diadakan serentak di Kompleks Sukan UKM, manakala acara badminton pula diadakan berasingan iaitu di Kolej Keris Mas UKM.

Pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) memberikan saingan yang hebat dalam perlawanan futsal dan memenangi beberapa perlawanan. Namun begitu nasib tidak menyebelahi pasukan USM apabila gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara tersebut.

Kemarau pingat dan kemenangan turut melanda pasukan bola jaring apabila pasukan bola jaring perempuan USM tewas kepada pasukan yang lebih berpengalaman iaitu Belia 4B. Namun begitu saingan yang hebat telah diberikan oleh mereka terhadap pihak lawan.

Pasukan bola tampar turut menerima nasib yang sama, namun begitu jurang mata kekalahan adalah amat sedikit berbanding pasukan yang menang. Pasukan bola tampar ini dinobatkan sebagai pasukan bola tampar paling ceria semasa perlawanan dan selepas menerima kekalahan. Pasukan Belia 4B Negeri Johor telah memenangi perlawanan tersebut.

USM berjaya diatasi selepas pasukan badminton berjaya memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan 3 – 0. Pasukan yang diketuai oleh Mohd. Saifullah bin Musa telah berjaya menyumbang pingat kepada pasukan USM. Dalam karnival tersebut, pasukan Belia 4B Negeri Johor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas berjaya memenangi kesemua acara yang dipertandingkan.

Karnival Sukan Anak Johor IPTA ini dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Karnival sukan yang diadakan buat julung kalinya ini akan diadakan secara bergilir-gilir di IPTA yang mempunyai Persatuan Anak Negeri Johor berdaftar. Majlis penutupan rasmi telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Ab. Rahim bin Md Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat.

Jumaat, Februari 11, 2011

"Kami Mahasiswa/i Prihatin"

Salam.. Salam sejahtera..

Pada 11 Februari 2011 iaitu hari Jumaat bersamaan 8 Rabiulawal 1432 Hijrah, Ikatan Mahasiswa/i Johor, Universiti Sains Malaysia (USM) akan bersama-sama dengan Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertolak ke Pagoh, Johor Darul Ta'zim dalam misi sukarelawan selepas banjir.

Misi ini adalah misi yang dipelopori oleh Universiti Sains Malaysia dan akan turut disertai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM dengan penuh rasa tanggungjawab dan prihatin telah membuat permohonan kepada pihak USM untuk menghantar sukarelawan di negeri Johor.

Terima kasih kepada saudara Muhamad Nur Hazim Mazlan selaku Naib Yang Di-Pertua MPP USM (sekarang mantan) kerana bertindak pantas melakukan gerak kerja untuk sukarelawan selepas banjir di negeri Johor khasnya di Pagoh.

Ketika saya menulis perkara ini, satu pasukan sukarelawan telah bertolak ke Batu Pahat, Johor iaitu daripada Majlis Belia Negeri Pulau Pinang. Kami di USM nampaknya belum 'mampu' untuk sampai ke Batu Pahat walaupun saya sendiri berasal daripada Batu Pahat.

InsyaAllah akan ada satu lagi misi ke Johor iaitu bersama dengan Gabungan Anak Johor. Gabungan Anak Johor adalah gabungan daripada persatuan-persatuan anak negeri Johor di IPTA.

Sekali lagi terima kasih kepada semua yang turut serta dalam operasi sukarelawan ini. Terima kasih kepada MPP dan USM. Terima kasih kepada rakan-rakan daripada negeri lain yang sama-sama turut serta dalam membantu sebahagian penduduk negeri Johor yang malang.

"KAMI MAHASISWA/I PRIHATIN"

Ahad, Februari 06, 2011

Banjir - Sri Mendapat

Salam.. Salam sejahtera..

Pada 28, 29, dan 30 Januari 2011 yang lalu telah diadakan Karnival Sukan Anak Johor (KSAJ) IPTA 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Sebaik sahaja tamat KSAJ di UKM Bangi, sebahagian besar peserta daripada Ikatan Mahasiswa/I Johor (IKMAR)

Universiti Sains Malaysia yang juga merupakan anak-anak jati negeri Johor Darul Ta’zim kembali ke kampung halaman.

Sesuatu yang agak ‘menggembirakan’ sebahagian besar daripada kami ialah fenomena atau bencana banjir yang melanda negeri Johor. Setelah penat ‘berjuang’ di UKM dalam aktiviti sukan, kini sebahagian besar daripada kami ‘berjuang’ pula meredah banjir.

Perjalanan pulang daripada UKM Bangi ke Johor diiringi hujan yang renyai-renyai kadangkala lebat. Hujan yang bermula pada jam 5 pagi hari Ahad 30 Januari 2011, mengiringi perjalanan pulang kami sehingga ke Johor. Hujan berhenti bermula pada 1 Februari 2011. Agak seronok memandu dalam keadaan hujan.

Apabila sampai di kampung, air sudah penuh di dalam parit. Ada juga yang sudah melimpah di halaman rumah penduduk-penduduk kampung. Hati agak bimbang, maklum sajalah cuti cuma seminggu dan kepulangan di kampung turut disertai dengan beberapa tugasan yang perlu dibentang di dalam dewan kuliah naik cuti pertengahan semester minggu depan. Akhirnya tugasan tetap gagal diselesaikan.

Namun begitu, cuti tetap cuti dan banjir tetap banjir. Kalau sudah ketentuan-Nya kita tetap kena redha. Hari ini saja bersama-sama abah pergi menjenguk kawasan-kawasan banjir. Tapi gambar yang sempat di ambil cuma di Kampung Sri Mendapat yang berada di Mukim Tanjong Sembrong (kampung abah la mana lagi kan..).

Ini di Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat. Sangat dekat dengan Sungai Bekok. Air sudah mula naik.


Jalan dah mula dinaiki air.


Bagai pesta bagi mereka


Rumah nenek saudara, dekat dengan sekolah


Lembu-lembu pun nak berpindah