(Catatan ini telah dikeluarkan di dalam ruangan forum Utusan Malaysia pada 3 Feb. 2010)
Saya sebenarnya tidak berminat untuk menulis mengenai perkara ini, tetapi selepas mengadakan sedikit diskusi dengan pak cik saya di alam maya ini maka saya perlu menyatakan pendirian mengenai isu yang berkaitan dengan mahasiswa dan mahasiswi.
Isu asasnya ialah berkenaan dengan keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) yang terkenal sebagai universiti paling tua/senior di negara ini.
Keputusan PRK UM memperlihatkan bahawa Pro-Aspirasi menguasai sebanyak 21 kerusi berbanding Pro-Mahasiswa yang menguasai 17 kerusi. 3 kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas yang menyatakan pendirian menyokong Pro-Aspirasi.
PRK di UM dijalankan dengan sistem e-undi.
Secara peribadi saya melihat kejayaan Pro-Mahasiswa menduduki sebanyak 17 kerusi itu masih boleh dibanggakan. Cuba bayangkanlah, jika pengundian yang dilakukan mengikut sistem e-undi itu benar-benar dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu saya yakin Pro-M hanya akan mendapat kurang daripada 17 kerusi.
Saya sebagai mahasiswa sebenarnya berasa amat kecewa apabila melihat rakan-rakan yang seangkatan dengan saya di UM bertindak agresif apabila keputusan PRK diumumkan. Mereka yang berstatus mahasiswa dan mahasiswi di UM ini benar-benar bertindak di bawah erti demokrasi yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak yang gemar dengan acuan demokarasi tersebut.
Maaf jika saya menyatakan di sini sebenarnya saya melihat tindakan mereka mengadakan demonstrasi itu sebenarnya adalah tindakan tidak bijak daripada mereka yang intelektual.
Saya sedih apabila mereka yang berdemonstrasi ini memperlihatkan tindakan yang tidak sopan terhadap pihak tertinggi universiti, terhadap menteri dan sebagainya. Mengapa???
Adakah mereka ingin melaung-laungkan erti demokrasi yang sebenarnya???
Bersyukurlah dengan kemenangan sebanyak 17 buah kerusi itu. Mengapa anda semua tidak mahu menghayati erti kesyukuran??? Jangan hanya menerima sesuatu keputusan itu jika ianya berpihak kepada kita sahaja. Adakah demokrasi itu hanya layak di sebut sebagai demokrasi jika ia berpihak kepada kita???
Pro-M hanya tewas tipis sahaja. Ini tidak bererti suara Pro-M akan tenggelam di dalam MPP UM. Bayangkanlah, terdapat IPTA yang tidak wujud langsung Pro-M di dalam MPP. Tapi Alhamdulillah, mereka bertindak bijak kerana tidak bertindak bodoh melakukan demonstrasi.
Saya teringat kata-kata pak cik saya, mahasiswa dan mahasiswi Melayu lebih gemar berpolitik dan berdemonstrasi daripada memberikan tumpuan terhadap pelajaran, sedangkan mahasiswa mahasisiwi Cina dan India sedang memberikan tumpuan untuk meraih Anugerah Dekan, Pingat Emas, dan pelbagai anugerah lagi.
Kata pak cik saya lagi, kalau nak berpolitik pun janganlah sampai mengabaikan pelajaran. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan sebab awal-awal semester inilah banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kalau dah sibuk berdemonstrasi ada ke masa untuk siapkan kerja-kerja tu??? Menyusahkan banyak pihak sebenarnya.
Kalau hendak sangat berpolitik, berhenti belajar daripada IPTA dan fokus sepenuhnya dalam bidang politik. Berikan saja tempat anda di dalam IPTA itu kepada mereka yang benar-benar dahagakan ilmu.
Orang tak pandang kita masuk kelab, persatuan dan buat aktiviti apa di universiti mahupun sama-sama terlibat demonstrasi atau pun tidak, tetapi mereka akan bertanya berapa CGPA yang kita dapat....
Fikir-fikirkanlah wahai rakan-rakan seangkatanku sekalian..
*Jangan jadi benih yang akan merusuh dijalanan kerana tidak berpuas hati dengan hal-hal yang tidak berpihak kepada kita.