Followers

Khamis, Januari 07, 2010

Bertemu DILEMA di Pasar Chowrasta..

Salam dan Salam Sejahtera..

Kali ini saya bukan hendak menulis mengenai isu semasa ataupun isu-isu kontroversi mahupun kisah peribadi.

Tiada kaitan juga dengan pertikaian mengenai penggunaan nama ALLAH S.W.T mahupun Pilihanraya Kampus (PRK).

Mungkin juga hanya sekadar kenangan.

Pada sekitar tahun 1999 dan 2000 saya terpegang dan terbaca tajuk sebuah buku yang penuh kontroversi pada era Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj semasa menjadi Perdana Menteri. Pada era kepimpinan Almarhum Tunku buku tersebut telah diharamkan.

Memandangkan saya ketika itu berada di sekolah rendah dan minat untuk membaca buku tersebut belum wujud lagi maka saya abaikan buku tersebut dan hanya meletakkannya di rak buku yang ada di rumah.

Pada tahun 2003 apabila ibu bapa saya mengalami kemalangan dan rakan-rakan bapa saya datang menziarah, buku tersebut telah di pinjam oleh salah seorang 'pengunjung'.

Sehingga tahun 2009 saya meminta bapa saya supaya meminta semula buku yang di pinjam itu kerana saya ingin mengetahui apakah sebab buku tersebut diharamkan.

Harapan hanya tinggal harapan. Apabila meminjam maka perlulah dipulangkan. Sehingga kini, buku tersebut masih belum kelihatan di rak buku rumah saya.

Ketika berada di saat-saat akhir tahun 2009, saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke sebuah tempat yang dikenali sebagai Pasar Chowrasta Pulau Pinang. Kami ke sana bukannya hendak mencari ikan mahupun sayur-sayuran tetapi hendak mencari buku di kedai buku terpakai.

Ketika kali pertama menjejakkan kaki di kedai buku itu saya hanya mampu mengangkat kedua-dua kening kerana terlalu banyak buku di sana. Memang pening hendak memilih buku kerana ruangan di kedai itu agak sempit. Tetapi kita boleh dapat buku yang sukar untuk ditemui di kedai-kedai buku yang lain.

Untuk menjelajah kedai-kedai buku di Chowrasta memerlukan masa yang lama. Saya rasa dalam sehari pun belum tentu cukup. Ada bermacam-macam buku di sana. Yang penting kena bersabar dalam melihat dan mencari kerana jika tidak memang pening kepala dibuatnya.

Walaupun niat di hati ke Chowrasta hanya mengikut kawan tetapi apabila ternampak kelibat buku yang saya nanti-nantikan kepulangannya di rumah saya lantas saya membelinya dengan harga RM18.

Buku yang agak kontroversi pada zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman ini akhirnya saya temui. Buku sama yang bapa saya miliki sebelum ini masih belum temui jalan pulang. Akhirnya ku temui penggantinya.

Inilah bukunya.. Tapi saya baru baca mukadimahnya sahaja.

Cetakan pertama pada tahun 1982 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan