Followers

Isnin, Mac 08, 2010

Bilionair vs Sengkek...

Salam.. Salam Sejahtera..

Bulan lepas, majalah Malaysian Business telah mengeluarkan senarai 40 Manusia Terkaya di Malaysia.

Di bawah ini pula adalah senarai mereka yang menduduki kedudukan 10 teratas dalam kalangan 40 Manusia Terkaya di Malaysia.
  1. Tan Sri Robert Kuok Huok Nien
  2. Tan Sri T. Ananda Krishnan
  3. Tan Sri Lee Shin Cheng
  4. Tan Sri Teh Hong Piow
  5. Tan Sri Lim Kok Thay
  6. Tan Sri Quek Leng Chan
  7. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
  8. Puan Sri Lee Kim Hua
  9. Tan Sri Tiong Hiew King
  10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun
Untuk tahun 2010 ini sahaja, jumlah keseluruhan kekayaan 40 individu di Malaysia adalah berjumlah sebanyak RM156.7 bilion. Jumlah kekayaan itu termasuklah jumlah aset dan saham di dalam syarikat-syarikat.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga kerana di dalam kegawatan ekonomi yang melanda dunia, mereka masih mampu mengumpul kekayaan di samping melonjakkan kedudukkan di tempat yang lebih baik. Tahniah kepada mereka.

Kita mungkin berbangga dengan kedudukan seorang Melayu-Arab dan Islam yang berada pada kedudukan ketujuh itu. Tetapi adalah lebih membanggakan jika sekiranya lebih ramai seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berada di dalam kedudukan 10 teratas.

Dominasi oleh mereka yang bukan Melayu secara tidak langsung telah membuktikan bahawa mereka tidak di tindas atau di halang untuk mengumpul kekayaan oleh penduduk majoriti di dalam negara ini.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, kita hanya berbangga dengan kekayaan mereka yang berjumlah begitu besar sehingga kita sendiri hanya mampu bermimpi untuk berada pada kedudukan mereka yang berstatus bilionair itu.

Adakah kita sedar bahawa masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang merempat di jalanan kerana tiada rumah? Sedarkah kita kerana masih ada rakyat negara ini sedang kelaparan?

Pihak-pihak tertentu hanya berbangga dengan kedudukan untuk mereka menambah kekayaan sahaja, tetapi mengabaikan tanggungjawab sosial. Jawapan yang kerap diberikan ialah itu semua tanggungjawab pihak kerajaan.

Semalam saya berbual dengan seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bersama-sama dengan saya di dalam "Bengkel Penggubalan Parlimen Mahasiswa" di Pulau Pinang. Beliau mengatakan bahawa tugas-tugas yang saya nyatakan itu sememangnya tugas JKM. Nama jabatan pun "Kebajikan", mestilah membantu masyarakat.

Saya mengusulkan satu idea kepada rakan saya daripada JKM itu mengenai bantuan kewangan yang sepatutnya digunakan oleh mereka yang tidak berkemampuan untuk memulakan hidup baru bagi keluar daripada kemiskinan. Beliau mengatakan dengan penuh hampa kerana ada bantuan kewangan yang diberikan oleh JKM kepada penerima untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan telah digunakan oleh penerima untuk membeli motosikal baru.

Ada juga penerima bantuan JKM yang menerima bantuan setiap bulan sebanyak RM300 tidak mahu bekerja kerana menunggu bantuan bulanan daripada JKM setiap bulan. Sekiranya yang menerima RM300 sebulan itu adalah mereka yang sudah tidak berkemampuan untuk bekerja itu sememangnya adalah rasional, tetapi jika kudrat masih ada dan si penerima pula malas untuk bekerja dan hanya mengharapkan bantuan, pada saya ia perlu dihentikan.

Di tempat saya sendiri ada juga beberapa individu yang mengisi borang bantuan JKM dan tidak jujur dalam meminta bantuan tersebut. Saya mengetahui perkara ini daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Sebagai contoh ada dalam kalangan mereka yang mengisi borang bantuan tersebut dan menggunakan status "JANDA" untuk mendapatkan bantuan, sedangkan suaminya masih sihat dan tinggal serumah. Dahsyat sungguh penanggan 'duit' ini kerana telah mengaburkan pandangan manusia untuk menjadi jujur.

Peranan membasmi kemiskinan sememangnya menjadi tugas kerajaan, akan tetapi pihak-pihak korporat dan manusia-manusia terkaya ini juga perlu memainkan peranan yang lebih untuk memastikan mereka yang tidak berkemampuan akan turut mampu mengecapi kebahagiaan.

Pihak-pihak yang diberikan amanah oleh kerajaan juga perlu amanah supaya mereka yang sewajarnya mendapat bantuan akan menerima bantuan yang sewajarnya.

Saya berpegang kepada prinsip bahawa ideologi politik perlu diketepikan dalam membasmi kemiskinan, kerana kemiskinan tidak pernah mengenali ideologi politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan