Followers

Jumaat, Mac 05, 2010

Ooohhh Pendidik.. Cikgu.. Guru..

Salam.. Salam Sejahtera..

Dahulu status seorang guru yang kadangkala di gelar cikgu agak tinggi di pandang masyarakat. Dahulu seorang cikgu amat dihormati oleh anak-anak muridnya. Dahulu juga seorang cikgu itu akan dihormati bukan sahaja muridnya malahan ibu bapa murid tersebut, tidak terkecuali masyarakat.

Kini kesemua itu seakan-akan layu dan lesu. Kini juga kesemua itu semakin jauh mungkin di bawa arus peredaran zaman. Dimanakah silapnya?

Saya tidak mahu menspesifikasikan apa yang bakal saya coretkan di sini, tetapi saya berasa terpanggil apabila seorang pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki yang saya tidak kenali apatah lagi saya tidak pasti sama ada pernah bersua muka dengannya atau tidak telah mengadu masalah kepada saya melalui Facebook mengenai masalah di sekolah tempat mereka mencari ilmu. Apakah masalah itu?

Soalan pertama yang diajukan kepada saya oleh pelajar tersebut ialah, "macam mana abang boleh tahan belajar di tingkatan ___ sekolah tu........?". Maaf saya tidak boleh menyatakan nama sekolah tersebut kerana ia akan menyebabkan saya menerima email berunsur tidak puas hati daripada mereka yang 'makan cili' dan 'makan belacan'.

Pada mulanya saya beranggapan soalan itu mungkin hanya sebagai 'perangkap' sahaja. Tetapi pada saya jika soalan yang bersifat perangkap itu hanya untuk mengetahui sama saya telah 'insaf' daripada 'berkonflik' dengan pihak-pihak tertentu, maka jawapan saya adalah TIDAK. Konflik tetap konflik selagi tiada proses untuk keluar daripada konflik tersebut.

Jawapan saya terhadap dua orang pelajar itu ialah, "ambillah ilmu di tempat itu dan abaikan segala yang tidak disukai. Tumpukan perhatian terhadap apa yang diniatkan di hati iaitu ke sekolah untuk mendapatkan ilmu. Sekiranya mereka mengatakan bahawa tidak akan menghalalkan ilmu yang di beri, jawablah itu bermakna gaji yang mereka perolehi juga tidak halal...". Inilah jawapan yang saya berikan. Saya tidak pasti sama ada jawapan saya ini adalah jawapan yang rasional atau pun emosional. Saya yakin masih ada lagi jawapan yang lebih rasional daripada ini.

Saya kerap mendapatkan pandangan dan nasihat daripada seorang Profesor di Batu Pahat. Beliau mengatakan bahawa kita kena menghormati cikgu kerana kita tidak tahu dalam kalangan cikgu itu siapakah yang berstatus guru.

Saya akui bahawa dahulu saya juga kerap 'berkonfrontasi' dengan segelintir pengajar di sekolah. Saya menggunakan status "pengajar" kerana tidak sesuai untuk saya mencemarkan status mulia seorang "cikgu" apatah lagi "guru" di sini. Setiap konfrontasi mahupun konflik yang berlaku pasti ada sebab. Dimanakah akar kepada konflik tersebut?

Akarnya adalah kedua-dua pihak yang bertelagah iaitu seorang yang berstatus pelajar dan sebelah pihak lagi yang berstatus pengajar berasa terhina dengan tindakan yang dilakukan di antara satu sama lain.

Saya teringat kata-kata daripada seorang guru di sekolah saya dahulu. Hari ini semakin ramai orang yang hendak menjadi cikgu, sehinggakan mereka tidak tahu apatah yang sewajarnya mereka perlu ketahui untuk menjadi warga pendidik itu. Sebab itulah hari ini terdapat segelintir golongan itu yang berlumba-lumba menukar kereta baru. Saya menulis berdasarkan apa yang diperkatakan oleh beberapa warga pendidik.

Wajarkah seorang yang berstatus pendidik ini menggelar anak didiknya sebagai "SAMPAH"? Pada saya jika pelajar itu di gelar sebagai sampah, maka sekolah tempat mereka menuntut ilmu itu adalah "tong sampah", dan warga pendidik yang mendidik 'sampah-sampah' ini pula sama juga seperti pekerja yang mengangkut sampah. Maaflah jika ada yang terasa.

Masih segar dalam ingatan saya semasa saya berada di dalam tingkatan enam, ada seorang hamba Allah yang saya tidak berminat menggelar beliau sebagai guru telah menggelar kami semua pelajar tingkatan enam sebagai 'HAMPAS' yang tidak dapat belajar di universiti. HAMPAS tu lebih kurang macam serpihan-serpihan, saki-baki, dan apa-apa yang patutlah. Saya melenting apabila mendengar kata-kata tersebut dan telah mengadu kepada pihak tertinggi di sekolah tersebut. Wajarkah penghinaan tersebut dilakukan?

Saya sebenarnya telah melupakan konflik yang pernah saya alami di sekolah itu. Tetapi nampaknya kisah itu muncul kembali di dalam fikiran saya selepas dua orang pelajar mengadu masalah yang sama seperti yang saya dan rakan-rakan alami dahulu.

Mengikut teori yang pernah diperkatakan oleh rakan saya, jika sesetengah produk itu dikeluarkan dengan terlalu banyak maka sudah tentu produk itu tidak mempunyai kualiti yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan