Followers

Isnin, Jun 20, 2011

Demontrasi 3 'abdul' - BERSIH, Pemuda, Perkasa

Salam.. Salam sejahtera..


BERSIH - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil kali kedua ini akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini.


Perhimpunan BERSIH yang dipengerusikan oleh Datuk S. Ambiga khabarnya akan turut disertai oleh dua kumpulan lagi. Namun begitu dua kumpulan tersebut bukanlah  hendak berjuang bersama satu aliran dengan BERSIH.

Dua kumpulan yang bakal turut serta ialah Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Saya sebenarnya berasa agak pelik apabila Pemuda UMNO dan Perkasa ingin turut sama mengadakan demonstrasi. Pada awalnya saya beranggapan mungkin Pemuda UMNO dan Perkasa ingin berhimpun bersama-sama BERSIH untuk menuntut pilihan raya yang adil dan menaik taraf demokrasi di negara ini. Rupa-rupanya tanggapan saya itu salah.

Terus terang saya nyatakan di sini bahawa saya tidak setuju dengan tindakan Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Y.B. Khairy Jamalludin yang ingin mengikut langkah sama mengadakan demonstrasi untuk membantah tindakan BERSIH.

Mengapa BERSIH perlu diadakan untuk kali kedua? Saya tidak mengetahui mengenai perkara ini. Mungkin penganjur BERSIH ini mempunyai kepentingan politik mereka sendiri. Saya ulangi, MUNGKIN.

Adakah pilihan raya di negara ini tidak cukup bersih dan adil? Jika pilihan raya di negara ini yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil, mana mungkin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mampu mentadbir negeri Kelantan selama lebih 20 tahun.

Sejarah negara dan sejarah parti pembangkang di negara ini juga telah tercipta pada bulan Mac 2008 apabila PAS, DAP, PKR, dan Bebas berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat. Selain itu PAS berjaya mengekalkan kuasa pentadbiran di negeri Kelantan dan berjaya menguasai negeri Kedah. DAP pula telah berjaya merampas negeri Pulau Pinang daripada Barisan Nasional dan DAP turut menguasai negeri Perak ketika itu walaupun Menteri Besar Perak adalah daripada PAS. PKR pula menguasai Selangor. Negeri Sembilan pula nyaris-nyaris di rampas oleh gabungan Pakatan Rakyat.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, persoalannya di sini ialah adakah pilihan raya tahun 2008 itu juga tidak bersih?

DAP juga telah berjaya menambah bilangan kerusi di dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Adakah ini juga disebabkan oleh SPR yang tidak bersih dan tidak adil?


Barangkali, apabila Pakatan Rakyat berjaya menumbangkan Barisan Nasional barulah mereka akan menganggap pilihan raya negara ini sebagai paling bersih. Maknanya kemenangan besar Pakatan Rakyat di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga adalah tidak bersih.

Atas nama demokrasi saya memilih untuk tidak memilih sama ada bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang ingin berhimpun untuk menuntut sesuatu.

Namun begitu, mengapa tidak diadakan di suatu tempat yang lebih sesuai seperti di dalam stadium. Rasanya Stadium Shah Alam yang tersergam indah lebih sesuai dijadikan lokasi perhimpunan BERSIH berbanding di kawasan yang sudah sedia sesak. Setidak-tidaknya penganjur BERSIH boleh membuka ruang niaga untuk para peniaga menjual pelbagai jualan dan menjadikan lokasi perhimpunan seperti mana lokasi 'karnival jom heboh'.

Seperkara yang saya agak terkilan apabila Pemuda UMNO Malaysia kini beralih ke arah tindakan yang agresif. Syukur jika tindakan agresif itu menjurus ke arah berjuang demi Agama, Bangsa, dan Tanah Air. Akan tetapi mengapa perlu turut sama berdemonstrasi?

Saya melihat Pemuda UMNO kini terlalu mengikut rentak pihak pembangkang. Mengapa Pemuda UMNO tidak melakukan sesuatu untuk mengembalikan sokongan orang muda kepada UMNO? Lihat sahajalah di dalam mesyuarat Pemuda UMNO di peringkat cawangan, terdapat cawangan Pemuda UMNO yang tidak dapat diadakan kerana tidak cukup kuorum. Apakah tindakan Pemuda UMNO untuk mengatasi masalah ini? Saya menulis berdasarkan kepada apa yang saya lihat dan dengar sendiri di kawasan tempat saya membesar di Parlimen Ayer Hitam, Johor.

Saya tetap berpendirian bahawa Pemuda UMNO tidak perlu berdemonstrasi pada 9 Julai ini. Biarlah pihak berkuasa yang melakukan tugas mereka. Kita juga mempunyai menteri yang sudah memberi AMARAN keras kepada pihak penganjur.

Walaupun Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak mempunyai jawatan kabinet, namun itu bukanlah alasan untuk 'mengaktifkan' Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia supaya kerap berdemontrasi di atas jalan raya.


Ketua Pemuda UMNO sendiri sudah memberikan jawapan untuk tetap dengan pendirian asal walaupun telah diberi AMARAN oleh menteri bertanggungjawab. Jika saya Pemuda UMNO, saya tidak akan gentar dengan AMARAN tersebut kerana ia hanya sekadar AMARAN.

Sewajarnya Pemuda UMNO diperkasakan semula supaya lebih mantap dan hebat. Berapa ramai Pemuda UMNO yang mahir berpidato dan berhujah seperti mana Senator Ezam Mohd Nor? Berapa ramai Pemuda UMNO yang boleh dibanggakan dan menjadi pengganti 'Singa UMNO' seperti Allahyarham Syed Jaafar Albar? Hari ini kebanyakkan Pemuda UMNO di peringkat atasan lazimnya lebih berminat dengan projek-projek yang mendatangkan hasil kepada periuk nasi mereka sahaja.

Satu lagi kumpulan yang bakal berdemonstrasi pada 9 Julai ini ialah Perkasa. Saya cukup mengagumi Perkasa kerana Perkasa adalah merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang terkenal dan berjaya memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam di negara ini. Perkasa diibaratkan sebagai alternatif kepada orang Melayu dan Islam kerana kegagalan parti-parti politik Melayu dan Islam dalam memperjuangkan dan mempertahankan hak Melayu dan Islam di negara ini daripada diperlekeh dan dipersenda oleh orang lain.

Saya mengakui keberanian dan pengaruh yang dimiliki oleh Perkasa. Namun begitu saya beranggapan Perkasa tidak sewajarnya turut serta dalam mengadakan demonstrasi sebagai protes kepada tindakan BERSIH itu.

Apabila tiga kumpulan berentap mengadakan demonstrasi di jalanan, hal ini akan menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa. Biarlah pihak polis hanya menggunakan kuasa pada 9 Julai ini kepada BERSIH dan bukan kepada Pemuda UMNO dan Perkasa. Oleh sebab itu, molek jika sekiranya Pemuda UMNO dan Perkasa tidak terlibat di dalam aktiviti yang akan menyusahkan kebanyakkan warga kota.

Cuba bayangkang, jika ketiga-tiga kumpulan ini mengadakan demonstrasi secara serentak, maka pihak polis terpaksa menyuraikan kesemua mereka tanpa mengira fahaman politik. Jika pihak polis hanya menahan atau menyuraikan para pengikut BERSIH tetapi Pemuda UMNO dan Perkasa tidak di ambil tindakan, maka pihak-pihak lain (terutamanya saya) akan melabel pihak polis sebagai tidak adil kerana bersikap pilih kasih. Sebab itulah saya berasa agak terkesima apabila membaca mengenai AMARAN yang diberikan oleh menteri bertanggungjawab terhadap Pemuda UMNO baru-baru ini.

Secara realitinya, setiap tindakan yang dilakukan akan membawa kesan baik dan buruk. Setiap manusia yang sempurna, memiliki akal fikiran yang dikurniakan oleh-Nya untuk memikirkan kesan dan akibat yang bakal berlaku jika tersalah membuat percaturan.


Oleh sebab itu, marilah kita semua berfikir secara rasional dan bukannya secara emosional.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan