Followers

Ahad, Jun 26, 2011

SKMM - Pantau dan bertindak

Salam.. Salam sejahtera..

"Kurangkan berpantun dan berperibahasa, sebaliknya perbanyakkan tindakan yang lebih berfaedah.

Jangan hanya menjadi 'Menteri di mata dan Perdana Menteri di hati'"

Inilah kata-kata atau nasihat daripada Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah terhadap salah seorang menteri kabinet yang senior.

Pada awal bulan ini (Jun), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) telah mempersoalkan sikap berdiam diri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman portal berita The Malaysia Insider.

Kita sedia maklum bahawa laman portal berita yang sedia ada kini khususnya The Malaysia Insider dan Malaysiakini sebenarnya dikatakan sebagai laman portal yang neutral dan bebas, tetapi hakikatnya berita-berita yang dilaporkan berunsur provokasi yang mampu mencetuskan masalah perkauman, menghina Raja-Raja Melayu dan fitnah terhadap pemimpin-pemimpin negara.

Persoalan yang wujud kini ialah mengapa tiada tindakan di ambil oleh SKMM terhadap laman portal berita-berita tersebut?

Secara peribadi saya bersetuju dan sependapat dengan JMM yang mengatakan bahawa SKMM sebenarnya bukan sahaja tiada taring tetapi dayus dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Malahan tidak keterlaluan untuk mengibaratkan SKMM sebenarnya sudah 'mati pucuk'.

Adakah virus 'amaran' sudah menular ke dalam SKMM?

Sebagai rakyat biasa, kita sewajarnya membaca berita daripada pelbagai sumber. Sama ada media itu pro kerajaan atau pun pro pembangkang, kita sebagai rakyat perlu membaca untuk mengetahui perkara yang terjadi.

Saya hanya hendak menyentuh mengenai laman portal Malaysiakini yang menyediakan ruangan komen pembaca pada setiap laporan beritanya. Belum pernah saya membaca komen-komen diruangan komen itu digunakan sebaik mungkin untuk melontarkan idea alternatif.

Apakah tindakan SKMM terhadap Malaysiakini?

Apakah juga tindakan terhadap AdukaTaruna dan Namewee?

SKMM sewajarnya memantau setiap hasil penulisan sama ada di laman portal berita-berita yang mampu menghasut rakyat khususnya untuk bertindak di luar kawalan. Negara ini mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk membasmi masalah tersebut.

Hari ini surat khabar bukanlah satu-satunya medium untuk menghasut orang lain untuk sama-sama memberontak. Hari ini blog-blog yang berpengaruh dan ramai pembaca juga mampu dikategorikan sebagai 'blog penghasut'.

Oleh sebab itu SKMM sewajarnya memantau dan bertindak terus tanpa menunggu laporan. Rasanya golongan cerdik pandai yang bertugas di Putrajaya dan SKMM mampu berfikir untuk mengatasi masalah ini.

Mungkin pandangan ini sebenarnya kecil, tetapi jika tidak di ambil perhatian dengan teliti maka ia akan mendatangkan masalah yang besar.

Jika budaya 'menghasut' di alam maya ini mampu dibendung daripada awal, saya yakin perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini tidak akan berlaku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan