Salam.. Salam sejahtera..
Orang Islam dan Melayu sewajarnya memahami dan tidak bertindak mengikut hawa nafsu.
Berfikirlah secara waras akan agenda yang sedang direncana oleh musuh Islam.
Jangan kerana hendakkan kuasa maka bergandingan dengan musuh Islam yang secara jelas menolak Islam.
Siapa sebenarnya Ambiga?
KUALA LUMPUR 25 Jun — Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini.
Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam telah menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.
Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.
Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuai oleh Ambiga.
Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof. Dr. Ramlah Adam berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.
"Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit daripada pihak polis maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak," katanya kepada Bernama.
Tegasnya, keperluan menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran yang betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik dan bukannya mengadakan demonstrasi haram.
Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Zainal Kling pula menyifatkan golongan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin termasuk Ambiga.
Katanya, mereka terlampau mengikut parti tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing.
"Lebih baik buat tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan NGO. Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik) terutama orang awam tentang kacau bilau dalam parti seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka," katanya.
Zainal menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi "kekotoran" dalam parti pembangkang.
"Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau bilau, huru hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara," katanya. — BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan