Followers

Jumaat, November 27, 2009

BTN + PLKN = LEMBU???

Salam.. Salam Aidiladha.. Salam Sejahtera.. Salam 1 Malaysia..

Sebenarnya saya tidak berminat hendak menulis mengenai Biro Tata Negara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Pada saya isu ini sengaja disensasikan bagi menutup perkara-perkara yang lebih serius.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengharamkan kakitangan kerajaan negeri dan semua penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik kerajaan negeri daripada terlibat dengan BTN. Seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Kita tak boleh halang kalau itu arahan kepada kakitangan kerajaan negeri", tetapi tidak kepada kakitangan persekutuan.

Tajuk BTN + PLKN = LEMBU adalah merujuk kepada post blog rakan Candu Minda. Secara peribadi saya kurang bersetuju dengan tajuk tersebut tetapi saya bersikap terbuka (setuju) dengan hujah yang dilontarkannya.

Secara peribadi saya tidak pernah terlibat dengan PLKN dan BTN. Mengikut apa yang disampaikan kepada saya oleh pelatih PLKN di tempat saya, mereka begitu gembira dengan PLKN. Dalam 100 orang yang mengikuti PLKN, tidak semuanya akan menjadi LEMBU dan tidak semuanya akan menjadi INTAN PERMATA.

Begitu juga halnya dengan BTN. Bapa saya kerap kali menasihatkan saya jika sekiranya berpeluang untuk menyertai program BTN maka saya perlu pergi. Tetapi saya ini agak keras kepala sedikit. Berdasarkan pengalaman bapa saya, beliau mengatakan program BTN ini cukup bagus dalam mendidik kita erti kerjasama, disiplin diri, tanggungjawab dan pelbagai lagi.

Saya memang tidak mahu terlibat dengan BTN kerana pada saya perubahan diri seseorang itu perlu bermula dalam diri dahulu. Pokok pangkalnya adalah hati.

Walaupun begitu, PLKN dan BTN ini adalah 'pendesak' untuk kita mengubah diri kita.

Mengenai BTN sebagai agen Barisan Nasional itu saya tidak mengetahuinya. Mungkin hanya dilakukan oleh mereka yang berkepentingan.

Saya bersetuju dengan pendapat rakan-rakan khasnya Candu Minda yang mengatakan bahawa perubahan perlu dilakukan oleh individu itu sendiri. Sekurang-kurangnya program BTN dan PLKN ini adalah sebagai pemangkin untuk melihat perubahan diri individu kepada tahap yang positif.

Adakah program lain yang lebih berkesan daripada PLKN dan BTN??? Jika ada sila cadangkan.. pastikan pelaksanaan program yang dicadangkan itu melibatkan kos yang lebih murah berbanding PLKN dan BTN..

Saya menyokong BTN jika tiada unsur politik didalamnya..

Hentikan isu Chin Peng..


Salam.. Salam Aidiladha.. Salam Sejahtera..

Disebabkan Yong Peng masih mundur kerana Maxis belum melebarkan jalur lebar 3Gnya ke wilayah ini, maka saya terpaksa menyepi buat seketika.

Saya ingin merujuk terus berita mengenai Chin Peng. Pada saya isu ini sudah sepatutnya di tutup. Mengapa masih ada pihak cuba membukanya semula?

Satu sahaja soalan yang ingin saya ajukan di sini. Adakah pelakon-pelakon politik yang bersimpati dan ingin membawa Chin Peng pulang ke Malaysia itu benar-benar ikhlas atau mereka hanya sekadar ingin meraih undi semasa pilihanraya????

Sekiranya mereka ikhlas, saya rasa yang perlu di bela ialah bekas pejuang-pejuang komunis yang mendapat pengampunan dan kini sedang hidup dalam kedaifan.

Chin Peng sudah hidup senang di Thailand. Dia sudah mendapat apa yang tidak diperolehi oleh bekas pejuang komunis yang mendapat pengampunan di Malaysia.

Saya tidak ingin menulis panjang lebar mengenai lelaki tua yang bernama Chin Peng ini. Mengapa lelaki tua ini perlu dihalang pulang ke Malaysia? Jawapannya sudah dinyatakan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Para pejuang tanah air yang telah bersara juga sudah menjelaskannya di akhbar-akhbar. Bukan sahaja orang Melayu yang menentang kepulangan Chin Peng, malahan orang Cina juga turut menentangnya.

Di sini saya memilih untuk memilih menentang kepulangan Chin Peng ke Malaysia. Beliau hanya lahir di Perak tetapi beliau bukan warganegara Malaysia.

Biarlah lelaki tua yang bernama Chin Peng ini mati di Thailand.

Harap selepas ini tiada lagi isu mengenai Chin Peng.

Sabtu, November 21, 2009

Kenangan 2 Raya Qurban..

Salam dan Salam Sejahtera..

Pagi tadi saya membaca akhbar online sambil minum teh o panas dan makan beberapa keping biskut. Maklumlah hidup sebagai orang bujang tiada siapa yang menyediakan sarapan pagi.

Saya terbaca berita mengenai gelombang kedua banjir di Terengganu apabila beberapa air sungai utama di Terengganu sudah mula naik.

Saya teringat pada penghujung tahun 2006 negeri Johor mengalami banjir besar dan ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir. Hanya dalam tempoh seminggu banjir surut dan kering, banjir gelombang kedua kembali semula. Ada rumah yang hanya kelihatan bumbung sahaja. Masa itulah jelas kelihatan betapa sedihnya apabila sudah selesai mengemas dan membersihkan rumah tetapi banjir kembali semula dalam tempoh masa yang singkat.

Semasa banjir pertama yang melanda Johor, saya tidak berpindah kerana rumah yang saya duduki berada di kawasan yang agak tinggi. Hanya di kawasana sekeliling sahaja yang banjir. Tetapi saya tidak mampu keluar ke mana-mana kerana terkepung dek air banjir.

Hampir keseluruhan orang kampung berpindah ke pusat pemindahan. Hanya beberapa penduduk sahaja yang tidak berpndah termasuklah saya. Nenek saya tidak mahu berpindah kerana rumah tidak terkena banjir, begitu juga jiran saya. Orang tua memang susah nak tinggalkan rumah mereka.

Ketika banjir itulah saya duduk berdua bersama dengan nenek di rumah. Hujan turun tanpa henti. Air banjir tidak surut-surut. Keluarga saya sudah berpindah kerana mempunyai urusan dan tanggungjawab. Saya tetap tidak mahu berpindah kerana selesa berada di rumah. Alhamdulillah, bekalan air dan elektrik tidak terputus.

Saya teringat, hampir setiap petang saya akan membuat air teh o panas dan makan biskut tawar. Perkara ini berlaku hampir setiap hari. Minum air teh o panas dengan biskut tawar bersama-sama dengan nenek saya.

Sebelum banjir besar melanda Johor, nenek saya meminta emak saya membeli beberapa kampit beras, telur, gula, garam dan beberapa barang makanan lain. Sebagai persediaan menghadapi banjir. Rupanya nenek saya memang tidak mahu berpindah.

Hari Raya Aidiladha juga di sambut dalam suasana banjir. Saya menyambut Hari Raya hanya di rumah. Kelihatan nenek saya agak sedih mengenang banjir yang tidak surut-surut dan hujan turun tanpa henti. Tiada saudara-mara datang bertandang ke rumah semasa Hari Raya Haji masa itu. Maklumlah banjir.

Alhamdulillah, kerana Hari Raya Aidiladha pada tahun 2007 tidak berlaku banjir seperti mana pada Hari Raya Aidiladha tahun 2006.

Seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha tahun 2007, sepupu saya (anak kakak emak saya) meninggal dunia di Cheras. Mak long saya yang berada di Kluang datang ke kampung untuk membawa nenek saya ke Cheras. Nenek saya pada waktu itu kelihatan amat sedih kerana kehilangan cucu perempuan.

Selepas balik daripada Cheras, nenek saya terus ke Kluang kerana cucu mak long saya akan bertunang pada minggu hadapannya dan tidak balik terus ke kampung.

Pada 22 Disember 2007, saya seperti biasa pergi ke gelanggang Futsal di Kampung Parit Tengah melihat rakan-rakan bermain. Maklumlah malam minggu. Lazimnya selepas mereka habis bermain, kami akan pergi melepak di warung. Tetapi malam itu saya rasa semangat untuk keluar minum-minum bersama rakan-rakan hilang, jadi saya terus balik ke rumah dan tidur.

Ketika sedang tidur tiba-tiba adik saya mengejutkan saya dan dia menanggis. Kenapa adik saya menanggis??? Kata-kata adik saya membuatkan saya terdiam seketika dan tidak tahu hendak membuat apa-apa ;

"Angah!!! Bangun...Atok mak meninggal.."

Nenek saya meninggal. Meninggal pada waktu tengah malam. 23 Disember 2007. Seminggu selepas cucunya meninggal pada hari sabtu, waktu tengah hari.

Nenek saya yang berumur lebih 86 tahun itu tidak mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung atau sebagainya. Hanya darah tinggi sahaja. Sesak nafas merupakan punca pemergiannya.

Nenek tidak sempat melihat cicitnya bertunang pada hari Ahad. Tetapi sempat untuk melihat persiapan dilakukan.

Saya kerap kali meninggikan suara terhadap nenek saya. Ini adalah kelakuan yang biadab. Saya tahu itu memang biadab. Tetapi saya terpaksa kerana arwah nenek mempunyai masalah pendengaran sedikit.

Dalam keadaan biadab itu pun saya masih sentiasa berada dengannya semasa banjir besar melanda Johor. Saya menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan sebagainya. Bayangkanlah cucu lelaki buat kesemuanya itu.

Sehingga hari ini saya sentiasa teringat arwah nenek. Terus terang saya mengaku di sini, setiap kali saya makan biskut tawar dan minum air teh o panas mata terasa pedih dan ..........

Pesanan arwah nenek pada saya ialah belajar rajin-rajin sampai universiti ikut macam cucu-cucu dia yang lain. Ikut macam anak lelaki dia yang sekarang pegawai jabatan kerajaan.

Saya cuba tunaikan impian dan harapan arwah nenek.

Barulah saya tahu mengapa arwah nenek minta rumah di cat baru, minta supaya mak cik saya membuatkan nasi beriani untuk menjamu anak cucunya pada Aidilfitri walaupun hajat itu tidak dipenuhi.

Barulah kami teringat kata-kata arwah nenek yang seakan-akan merayu kepada mak cik saya supaya tolong buatkan makanan untuk di jamu kepada kumpulan Yasin pada hari Jumaat. Kata-kata ini yang segar dalam ingatan saya, "Tolonglah buatkan aku, aku nak jamu orang Yasinan, nanti aku bayarlah, tolonglah lepas ni aku tak buat Yasinan lagi..."

Sebenarnya, banyak lagi yang saya hendak catatkan di sini tetapi maaflah kerana saya tidak mampu ...........

Maaf jika kisah ini membosankan anda semua..

Kini hanya tinggal kenangan..

Jumaat, November 20, 2009

Dunia.. dunia.. duniaaa...

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Aspirasi.. Salam 1 Malaysia..

Saya tertarik dengan laporan berita di akhbar Kosmo hari ini berkenaan dengan "India ada 52 bilinair tetapi 600 juta tiada tandas".

India mempunyai seramai 52 bilionair atau dalam bahasa orang-orang kampung mereka adalah orang yang sangat kaya dan kaya serta kaya sangat.

Manusia terkaya di India ialah Mukesh Ambani. Kekayaan beliau dianggarkan bernilai AS$32 bilion atau RM107 bilion.

Manusia kedua terkaya pula ialah jutawan keluli iaitu Lakshmi Mittal, AS$30 bilion atau RM101 bilion.

Anil Ambani yang juga merupakan adik kepada Mukesh Ambani berada di tempat ketiga dengan kekayaan sebanyak AS$17.5 bilion atau RM59 bilion.

Walaupun mereka agak ramai yang berstatus bilionair dan milionnair, tetapi 55 peratus rakyat India tidak memiliki tandas yang sempurna.

Mereka yang kaya akan terus mengumpul kekayaan. Dengan kekayaan itu mereka akan mendirikan mahligai yang indah-indah tetapi disekeliling mahligai mereka itu dipenuhi dengan rumah-rumah yang uzur atau kita gelarnya sebagai setinggan.

Yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus papa kedana..

Alhamdulillah, di Malaysia masih ada insan yang bergelar bilionair tahu asal-usul mereka bermula.

Pisang goreng HARAM!!!

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam 1 Malaysia..

Saya kini masih berada di dalam wilayah autonomi universiti. Tatkala ramai rakan seangkatan di universiti-universiti 1 Malaysia sudah kembali ke kampung halaman di Batu Pahat, saya masih tetap setia menanti hingga ke penghujung semester ini. Ada urusan. - sengaja

Ketika sedang merenung ke langit yang terbentang luas, cuaca mendung hampir setiap petang yang akan diakhiri dengan titisan air hujan, kenderaan-kenderaan pula memenuhi jalan dan di padang pula ada yang sedang berlatih untuk acara sukan.

Ketika itu jugalah saya teringat apa yang pernah diperkatakan oleh guru saya mengenai gerai-gerai tepi jalan yang tiada lesen. Kenapalah boleh teringat benda-benda macam ini.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lazimnya akan mengambil tindakan tegas terhadap gerai-gerai haram yang didirikan di tepi jalan. Di tempat saya khasnya di Yong Peng ada juga gerai-gerai tepi jalan. Atas inisiatif yang dilakukan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) telah menyediakan gerai atau medan niaga untuk peniaga-peniaga tepi jalan ini berniaga. Seperti berniaga makanan. Masih ada juga yang enggan berpindah.

Di kebanyakkan tempat (bukan sahaja Yong Peng) banyak juga peniaga gerai tepi jalan. Gerai-gerai ini lazimnya menjual pisang goreng panas, keropok lekor, air dan sebagainya.

Kebanyakkan gerai ini tidak mempunyai lesen atau keizinan daripada PBT untuk menjalankan perniagaan, walaupun perniagaan itu hanya kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan sebagai gerai haram. Apabila dinamakan gerai haram maka gerai-gerai ini akan dirobohkan atau peniaga akan diusir daripada tempat tersebut. Seandainya kita membeli pisang goreng daripada gerai haram, ini bermakna pisang goreng itu juga adalah haram. Tak habis-habis nak menjatuhkan hukum...

Mereka yang berniaga di tepi-tepi jalan ini bukanlah orang yang kehidupannya senang dan mereka juga bukannya membuka cawangan restoran besar di tepi jalan. Pada saya eloklah para peniaga ini membuka gerai secara kecil-kecilan dan tidak dikenakan sebarang cukai. Itu pun jika mereka menggunakan gerai yang kecil sahaja.

Mana yang lebih elok, mereka membuka gerai di tepi jalan atau mereka membuka rekod peribadi di balai polis sebagai penjenayah???

Rasanya elok berniaga daripada mereka mencuri...

*Kita pun senang nak berhenti tepi jalan kalau nak beli pisang goreng..

**Gambar sekadar hiasan..

Selamat bercuti..


Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Ukhwah.. Salam 1 Malaysia..

Hari ini adalah hari Jumaat 20 November 2009 bersamaan 2 Zulhijjah 1430 Hijrah.

Keadaan desasiswa semakin tenteram apabila semakin ramai penghuninya pulang untuk bercuti selama sebulan. Cuti semester.

Jika sebelum ini di hari-hari biasa keadaan amat meriah kerana kedengaran pelbagai rentak muzik yang kadangkala memeningkan kepala, kini kesemuanya itu hilang dalam sekelip mata.

Pelajar-pelajar dari Korea mungkin akan berparti malam ini. Pada malam Piala Malaysia saya tersalah sangka kerana beranggapan bahawa yang membuat bising itu adalah pelajar Kelantan tetapi rupa-rupanya pelajar dari Korea Selatan. Mungkin mereka berhibur rasanya.

Selamat bercuti kepada rakan-rakan dan hargailah cuti selama sebulan ini bersama keluarga.

Kepada mereka yang mempunyai komitmen, selamat melaksanakan tanggungjawab tersebut.

wassalam..

Khamis, November 19, 2009

"Jangan nafikan hak mereka...."

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam 1 Malaysia..

Zaman saya sekolah dahulu hampir kesemua rakan-rakan saya bercerita dan memiliki laman sosial Friendster. Kemudian mereka bercerita pula mengenai MySpace. Kini, rakan-rakan hampir kesemuanya terlibat sama dengan Facebook.

Sejak dulu lagi saya tidak gemar dengan benda-benda karut ni. Laman sosial yang entah apa-apa dan dari mana asal-usulnya. Apabila rakan-rakan bercerita mengenai Friendster, saya hanya mendengar sahaja dan tidak berminat untuk turut sama memilikinya.


Apabila di universiti, desakan untuk terlibat sama dalam laman sosial ini semakin ketara. Walaupun saya mendapat informasi yang mengatakan bahawa laman sosial Facebook ini diasaskan oleh Yahudi dan dikatakan bahawa Facebook adalah tempat mereka (Yahudi) untuk memerhati pergerakan serta mendapatkan maklumat kita, tetapi sukar sebenarnya untuk menjauhi Facebook ini.

Langkah terbaik ialah tidak perlu mengisi kesemua maklumat diri dengan terlalu jujur di Facebook.

Saya teringat penulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di dalam bukunya yang bertajuk "Mengemudi Bahtera Perubahan Minda". Beliau mengatakan mengapa perlu mempertikai soal halal atau haram sesuatu itu sedangkan kita sebagai umat Islam tidak pernah cuba untuk menghasilkannya? Mengapa hanya tahu menjatuhkan hukum sahaja? Saya berpegang kepada kata-kata Dr. Asri ini.

Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak sendiri menyertai laman sosial Facebook ini. Begitu juga dengan mantan Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Facebook juga mampu menjadi medium untuk pemimpin menjadi dekat dengan rakyat. Kadangkala rakyat boleh terus menghantar aduan kepada pemimpin melalui Facebook.

Saya melihat Facebook mampu menjadi medium terbaik untuk kita berkongsi maklumat, pendapat dan idea dengan pemimpin-pemimpin. Secara peribadi saya juga kerap berkongsi idea dengan Ahli Parlimen di daerah kelahiran saya. Melalui Facebook juga kita sebagai mahasiswa dan mahasiswi boleh mengadu masalah berkaitan universiti terus kepada Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Gunakanlah kemudahan yang sedia ada dengan sebaik mungkin.

Mengapa saya mengatakan kita perlu berkongsi idea dengan pemimpin-pemimpin?

Secara peribadi banyak perkara yang dibincangkan di Facebook hanya melibatkan perkara yang remeh dan temeh. Kenyataan ini bukan datang daripada saya tetapi datang daripada pak cik saya sendiri. Beliau melahirkan perasaan cukup pelik dengan pengguna Facebook kerana lebih suka bersembang perkara remeh-temeh berbanding perkara yang ilmiah.

Seperti biasa, "Kita jangan nafikan hak mereka...".

Saya juga turut bersembang mengenai Facebook dengan beberapa orang. Apabila membuka tajuk mengenai info yang berkaitan isu-isu semasa, tiada siapa yang ingin "komen". Tetapi apabila di buka tajuk mengenai perkara remeh seperti "sedihnyaaa..." atau "kecewaaaa...", masa tu cukup banyak komen yang diberikan.

"Jangan nafikan hak mereka..."

Saya teringat kata-kata guru saya, semakin hari semakin kurang orang yang bercakap perkara yang berkaitan akademik dan ilmiah. Mereka hanya suka perkara yang remeh-temeh dan hiburan saja.

Majlis-majlis ilmu, forum-forum berbentuk ilmiah, seminar-seminar berkaitan wacana pemikiran dan sebagainya adalah amat membosankan untuk dibincangkan. Kini, semua orang lebih gemar memperkatakan perkara berkenaan hiburan.


Akademi Fantasia lebih digemari berbanding Akademi Al-Quran. Konsert Jom Heboh lebih ramai pengunjung berbanding Forum Perdana Ehwal Islam. Ceramah politik yang sarat dengan kata-kata nista lebih ramai pendengar berbanding seminar ilmu.

Kini, lebih ramai yang berkunjung ke pusat karaoke, panggung wayang, pusat bowling berbanding kedai-kedai buku.


"Jangan nafikan hak mereka..."


*Hanya sekadar pandangan..

Rabu, November 18, 2009

MCA = Maanyaaaak Crisis Aaaaaaaa.....

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Perpaduan.. Salam 1 Malaysia..

Media hari ini melaporkan mengenai krisis dalaman MCA.

Saya sebenarnya tidak berminat hendak menulis mengenai MCA kerana saya bukanlah ahli MCA. Akan tetapi memandangkan saya adalah rakyat Malaysia dan berada dalam lingkungan 1 Malaysia maka saya berpegang kepada kebebasan untuk menulis dan mengemukakan pandangan.


MalaysiaKini

Jawatankuasa pusat (CC) MCA - selepas mengadakan undian - menolak mesyuarat agung luar biasa (EGM) 28 November, manakala sembilan penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai digugur daripada majlis presiden.

Jawatankuasa itu memutuskan EGM yang dicadangkan itu, dan resolusinya untuk mengadakan pemilihan baru parti adalah cacat dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Keputusan untuk menolak EGM itu dibuat selepas undian dijalankan di mana 23 anggota CC menolak EGM itu, 10 menyokong dan dua berkecuali.

Cadangan untuk mengadakan EGM itu dibuat oleh kumpulan yang menyokong Datuk Seri Liow Tiong lai. Mereka menentang pelan damai Ong dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Mesyuarat CC itu juga memutuskan untuk merombak semula majlis presiden, dengan menggugurkan penyokong setia Liow - Datuk Wee Ka Siong dan ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mereka adalah antara sembilan penyokong Liow yang digugurkan daripada menganggotai majlis presiden.

Kini hanya tinggal Liow sahaja tanpa seorang pun penyokongnya, yang menganggotai majlis tersebut.

Manakala empat daripada pengganti mereka adalah terdiri daripada penyokong Ong dan Chua.

Dalam reaksinya, Liow berkata beliau kecewa dengan keputusan parti menggugurkan penyokongnya daripada menganggotai majlis presiden.

*************************************************

Secara peribadi saya melihat krisis MCA ini tidak akan selesai dalam tempoh masa yang terdekat.

Sebenarnya kemelut ini tidak akan berpanjangan jika EGM yang diadakan sebelum ini dihormati dan dipatuhi.

Para perwakilan EGM MCA sendiri telah membuat undi tidak percaya kepada Presiden parti dan menerima kembali bekas Timbalan Presiden ke dalam MCA tetapi tidak mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepadanya.

Sewajarnya Presiden MCA meletak jawatan sebagai Presiden tatkala mendapat undi tidak percaya daripada perwakilan parti.

Datuk Seri Ong Tee Keat wajar menghormati perwakilan yang menolak beliau sebagaimana tindakan Datuk Seri Chua Soi Lek yang berterima kasih kepada perwakilan MCA kerana menerima beliau kembali ke dalam MCA walaupun jawatan Timbalan Presiden tidak dikembalikan. DS Chua cukup tenang dalam perkara ini.

Pada saya kemelut MCA ini adalah berpunca daripada Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat. Beliau mencari masalah apabila bertindak menyingkirkan DS Chua daripada jawatan Timbalan Presiden kerana skandal DVD Seks.

Sebelum MCA digantung pendaftaran dan diharamkan sebagaimana yang berlaku terhadap UMNO pada tahun 1988, eloklah kesemua kepimpinan MCA mengundurkan diri.

Contohilah tindakan yang pernah dilakukan oleh Tun Dr. Ling Liong Sik dan Tan Sri Lim Ah Lek suatu ketika dahulu.

Berundur untuk kebaikkan MCA.

Jika DS Chua Soi Lek kekal sebagai Timbalan Presiden MCA, ini bermakna beliau akan bertanding dalam pilihanraya umum. Beliau adalah liabiliti kepada Barisan Nasional. Beliau sepatutnya sudah pencen.

Saya tidak yakin DS Ong Tee Keat akan menang pilihanraya umum akan datang. Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) masih belum selesai.

Langkah terbaik, berundur je la..

*Saya berkecuali dalam isu MCA walaupun Ketua Pemuda MCA Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong adalah Ahli Parlimen Ayer Hitam Johor. Berkecuali dan bebas mengkritik.

Sekadar selingan..

Salam Sejahtera

Ini bukan provokasi mahupun ingin mencetuskan kontroversi. Tetapi hanya sekadar untuk berfikir sahaja.

Sungguh pelik. Adakah ia satu realiti atau hanya sekadar ilusi..

Atau hanya kebetulan??

Jika kebetulan, eloklah ditukar..

Jika sememangnya di rancang... kita perlu berhati-hati..

Renungkanlah..




Saya hanya ingin melihat pandangan anda mengenai perkara ini.

Ada orang berkata, sekeping gambar dapat menceritakan 1001 cerita.

Bagaimana pula dengan anda???

"POLITIK HANTU"

Salam.. Salam Sejahtera.. Salam 1 Malaysia..

Artikel ini bukanlah berkaitan dengan isu semasa mahupun soal hati dan perasaan, apatah lagi berkaitan putus cinta ataupun cinta pandang pertama.

Artikel ini hanyalah perkara biasa. Hanya ulasan untuk buku yang telah beberapa kali di baca dan cuba hendak dimasukkan ke dalam blog ini sebagai ulasan untuk di kongsi bersama. Akan tetapi terlupa dek kesibukan diri.

Semasa pemilihan UMNO yang diadakan pada bulan Mac yang lalu, bapa saya yang berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) atas urusan khas melibatkan UMNO telah menelefon saya dan bertanya adakah saya inginkan buku politik. Saya hanya meminta buku hasil tulisan S.H. Alattas dan tidak mahu yang lain. Akan tetapi bapa saya tidak menemui buku S.H. Alattas atau Pak Habib itu. Lantas saya meminta bapa saya membelikan saya buku "Politik Hantu" hasil tulisan Dato' Raja Ahmad Niza bin Raja Ismail. Setiap kali bapa saya ke PWTC atas urusan seperti ini, saya hanya meminta buku sahaja.

Buku "Politik Hantu" adalah hasil tulisan Dato' Raja Ahmad Niza bin Raja Ismail. Buku ini merupakan karya penulisan berbentuk novel yang menceritakan mengenai politik dalaman Parti Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, yang juga merupakan tulang belakang kepada Barisan Nasional.

Buku atau novel setebal 303 muka surat ini menunjukkan jalan cerita yang agak menarik dan jalan ceritanya di susun dengan penuh kreatif. Di samping itu, turut diselitkan juga beberapa kata hikmat yang menyentuh hati pembaca serta kata-kata falsafah yang agak rasional.

"Politik Hantu" memaparkan cerita mengenai perebutan kuasa dalam UMNO Bahagian Tanjung Tiga. Diceritakan mengenai perebutan jawatan yang di rancang bagi menggantikan ketua yang sudah 'lupa diri'. Walaupun begitu, apa yang menarik di sini ialah perebutan jawatan tersebut memperlihatkan calon yang ingin merebut jawatan tersebut terpaksa membelanjakan wang yang banyak iaitu di antara RM50,000 hingga RM200,000. Wang-wang tersebut digunakan untuk di beri kepada wakil-wakil di peringkat cawangan UMNO dan untuk melancarkan jentera kempen calon yang bertanding.

Watak-watak di dalam novel ini ialah :

  1. Datuk Hashim (Ketua Bahagian / ADUN)
  2. Badrul (Timbalan Ketua Bahagian)
  3. Wali (Naib Ketua Bahagian)
  4. Habsah (Ketua Wanita)
  5. Rasul (Ketua Pemuda)
  6. Roseaida (Ketua Puteri)
  7. Halim (Pegawai Khas Datuk Hashim)
  8. Datuk Ghafur (AJK Bahagian / Ahli Parlimen)
  9. Ahmad Bashir (Bekas Ketua UMNO Bahagian & ADUN / di gelar Mahaguru Politik)
  10. Pak Sharif (bekas Ketua UMNO Bahagian & ADUN / di gelar Pakar Rujuk)

dan beberapa watak pembantu yang lain.

Konflik berlaku apabila Badrul yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian selama 3 penggal di minta oleh Wali, Habsah, Rasul, Roseaida serta Mahaguru Politik iaitu Ahmad Bashir untuk melawan Datuk Hashim selaku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Tiga. Di sini jelas memperlihatkan bahawa wujud konflik jiwa terhadap Badrul sama ada ingin mempertahankan prinsip dirinya ataupun melawan demi untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi.

Atas sebab itulah maka Badrul meminta nasihat daripada Mahaguru Politik Ahmad Bashir yang sememangnya ingin menghancurkan kerjaya politik Datuk Hashim sebab berdendam kerana ditewaskan oleh Datuk Hashim suatu ketika dahulu. Motif Ahmad Bashir adalah balas dendam.

Badrul juga turut mendapatkan nasihat daripada Pak Sharif yang juga merupakan bekas ADUN. Pak Sharif seorang veteran UMNO yang sayang kepada parti tersebut. Dia berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, dan bukannya demi wang. Kebanyakkan nasihat yang diperolehi daripada Pak Sharif adalah merupakan nasihat yang benar-benar bernas dan mencerminkan tahap kebijaksanaan Pak Sharif.

Bagaimanakah klimaks novel ini? Adakah Badrul akan melawan Datuk Hashim dan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Tiga? Adakah Badrul akan melanggar prinsipnya untuk mendapatkan jawatan dengan menggunakan wang Ringgit? Nasihat siapakah yang Badrul akan turuti? Adakah nasihat Mahaguru Politik Ahmad Bashir atau nasihat Pak Sharif yang sudah tua itu?

Jika anda inginkan jawapan, silalah cari dan baca buku/novel ini. "POLITIK HANTU".

Selasa, November 17, 2009

Hilangkah bisa ular yang menyusur akar??



Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Revolusi Minda..

Adakah ular yang menyusur akar akan hilang bisanya???

Hari ini 17 November 2009, selepas solat Asar yang agak terlewat saya menunaikannya, saya berada dalam keadaan yang amat tenang. Tiba-tiba teringat pesanan guru yang suatu ketika saya anggapnya sebagai insan biasa yang tiada beza seperti insan lain.

"Syukri, ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya.."

Inilah nasihat yang diberikan kepada saya. Atas sebab apa nasihat ini ditujukan kepada saya? Kerana suatu ketika saya adalah seorang yang mudah melenting, mudah naik angin, akan mengkritik semula orang yang mengkritik saya dan pelbagai lagi yang seangkatan dengannya.

Selepas emosi saya distabilkan, fikiran dimatangkan, pelbagai motivasi diserapkan ke dalam jiwa dan pelbagai pengisian lain yang dilakukan, saya cuba untuk berubah.

Seandainya dahulu tiada pengisian jiwa, tiada motivasi daripada kaunselor yang berwibawa, tiada rakan yang menyokong saya, sudah tentu Syukri hari ini adalah Syukri yang terlalu menonjol dengan perkara-perkara yang negatif di universiti seperti menjadi 'pembangkang'.

Secara peribadi saya tidak berminat menulis mengenai perkara ini. Tetapi atas rasa tanggungjawab, saya perlu lakukannya sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan.

Saya tujukan artikel ini kepada rakan-rakan yang memiliki KOMITMEN di universiti. Khas untuk Yang Di Pertua (YDP), dan penyandang-penyandang jawatan lain.

Apabila kita menjadi pemimpin kita tidak akan terlepas daripada menjadi bahan kutukan daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan kita. Ini adalah lumrah. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang yang ada disekeliling kita.

Kepada semua yang mempunyai gelaran YDP, anda perlu menerima hakikat bahawa anda adalah Yang Di Perguna. Hal ini adalah satu realiti dan bukannya fantasi. Anda adalah kuli kepada mereka yang anda pimpin. Anda perlu berkhidmat untuk mereka yang anda pimpin.

Saya juga kerap dikritik. Berdasarkan pengalaman, pada saya kita perlu mendengar kritikan itu dari perspektif yang positif dan elakkan memandang kritikan itu dari perspektif yang negatif.

Saya tertarik status di YM rakan saya yang bergelar YDP sebuah organisasi di USM dan beliau berasal dari Batu Pahat. Ayatnya lebih kurang begini, "Saya dimanipulasi??". (maaf jika ayat ini salah). Berdasarkan pengamatan saya, beliau sendiri tidak mengetahui mengapa ada individu yang melabel beliau sebegitu rupa. Seperti yang telah saya nyata tadi, adalah sesuatu yang amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

Suatu ketika saya di label sebagai manusia yang tidak boleh di kritik. Kita kena terima dengan hati dan fikiran yang terbuka kesemua teguran dan kritikan daripada pihak lain hatta daripada orang gila. Saya kata kita kena terima kritikan daripada orang gila kerana mereka mungkin gila tetapi mereka tidak bodoh seperti mana mereka yang mengkritik secara memBABI buta.

Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia selama lebih 22 tahun. Sepanjang beliau menjadi PM, pelbagai kritikan di lempar terhadap beliau. Gelaran yang tidak elok pun ada juga seperti Maha Firaun, Ultra Melayu, Hidung Besar dan banyak lagi. Tetapi beliau menerimanya dengan terbuka.

PM kita sekarang, Datuk Sri Mohd. Najib Tun Razak dikaitkan dengan perempuan Mongolia tetapi beliau tetap tenang dan tidak melenting.

Jika hendak menjadi jutawan anda boleh mencontohi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau cukup agresif apabila terdapat cerita mengenai beliau yang kurang disenangi maka beliau akan mengambil tindakan saman berjuta-juta terhadap pihak tersebut. Di sini tidak wujud kebebasan untuk bersuara jika bersuara secara berlebih-lebihan akan di saman.

Walau apa pun, kita kena menerima teguran dan kritikan dengan minda yang terbuka. Jika dahulu saya di kritik dan di fitnah, maka kini tibalah masanya untuk saya membalas kritikan-kritikan tersebut secara sopan. Fitnah?? Itu urusan pihak berkenaan dengan Allah S.W.T.

Kepada anda semua yang mempunyai KOMITMEN, sama ada anda YDP, NYDP, EXCO, atau pelbagai lagi jawatan ciptaan manusia, ingatlah bahawa kita semua adalah insan biasa.

Berfikirlah di luar kotak.

SALAM REVOLUSI MINDA..

Terima Kasih - Kongsi Informasi..

Salam Sejahtera, Salam Aspirasi, Salam Perpaduan, Salam 1 Malaysia..

SHE101 - Hubungan Etnik, jam 9 pagi adalah peperiksaan terakhir untuk semester ini. Rasa fikiran agak lapang buat seketika.

Bercuti untuk sebulan dengan program yang agak 'kucar kacir' kesan kepercayaan terhadap pengarah projek yang diamanahkan di Batu Pahat, Johor. Asyik nak harap insan yang bernama Syukri pun tak boleh. Kena cungkil bakat yang lain juga.

Tanpa disedari, semester yang agak panjang di atas kertas rupanya cukup singkat di alam realiti. Berada di tahun 2 semester 1 rupanya cukup pantas masa berlalu.

Semester yang bermula pada 6 Julai 2009 sudah hampir ke penghujungnya iaitu pada 21 November 2009 (ada yang balik awal).

Pada saya inilah semester yang paling aman dan tenang sebagai seorang siswa. Kerana apa, saya merasakan bahawa sem ini seperti 'main-main' dan tidak sibuk atau kucar kacir seperti mana sem-sem yang lepas.

Disebabkan ketenangan itu jugalah, maka pada 12 Julai 2009 saya cuba untuk membuat blog. Sebenarnya blog ini adalah cubaan saya yang ketiga. Dua lagi blog saya sudah di padam kerana terlalu 'skema' dan agak 'kritikal' dalam mengkritik perkara-perkara tertentu.

Dengan wujudnya blog ini sekurang-kurangnya saya dapat menggunakan masa yang terluang untuk menulis, mengemukakan idea, menegur atau mengkritik pihak-pihak tertentu yang masih berada ditakuk lama, membuat kritikan sosial, politik dan pelbagai lagi.

Suatu ketika saya cukup memandang sepi blog sebagai medium menyebarkan maklumat. Tetapi selepas terpengaruh dengan Remie dan Nox @ Shahril, maka wujudlah blog syukri2103 ini. Terima kasih kepada rakan-rakan Candu Minda.

Sepanjang saya memiliki 'lesen' blog ini pelbagai maklumat dan kritikan yang diterima. Saya hargai kesemuanya itu.

Ramai juga rakan-rakan berstatus mahasiswa dan mahasiswi USM yang memiliki blog. Secara peribadi saya lebih gemar kepada penulisan yang berbentuk ilmiah kerana sekurang-kurangnya dapat menambah informasi. Pada saya mereka yang berani menulis berkenaan perkara yang serius adalah seorang yang berani berdepan dengan cabaran untuk mempertahankan hujah yang telah mereka tulis.

Rakan Candu Minda, Bro Shahril memiliki pengetahuan yang saya sendiri tidak ada, dan beliau telah berkongsi perkara itu di dalam blognya. Sama juga halnya dengan Izzuddin. Walaupun gaya penulisan Izzuddin kadangkala agak kritikal tetapi kesemuanya adalah realiti.

Walaupun begitu ada juga yang menjadikan blog sebagai 'Diari Umum'. Maaf saya tidak suka bermuka-muka. Pada saya adakah perlu kita menulis di dalam blog jika sekiranya kita putus cinta? Adakah perlu menulis di blog jika kita sakit hati pada seseorang? Malaysia adalah negara yang demokrasi, jadi sesiapa jua bebas menulis apa sahaja asalkan ia bukannya fitnah. Kisah putus cinta yang dimuatkan di dalam blog kadangkala boleh menjadi pedoman kepada mereka yang sedang berusaha untuk putus cinta.

Seperti kata Dr. Zaini - pensyarah Sains Politik, "Jangan nafikan hak mereka..".

Sewajarnya kita jadikan blog sebagai medium untuk berkongsi-kongsi maklumat. Saya tidak mengetahui apa yang anda ketahui dan anda tidak mengetahui apa yang saya ketahui, oleh sebab itu marilah kita masukkan info yang kita ketahui di dalam blog. (termasuklah putus cinta).

Saya terpaksa mengeluarkan empat artikel di dalam blog saya ini kerana kesilapan fakta, menjadi isu hangat, mendapat kritikan daripada pihak yang tidak boleh menerima kritikan, dan pelbagai lagi. Pada mulanya hanya ingin mengubahsuai sahaja, tetapi atas sebab kesilapan yang tidak disengajakan, artikel itu terus hilang.

Ilmu yang saya perolehi sepanjang semester ini amat bernilai. Di sinilah kita perlu mencungkil bakat dan daya kreativiti kita dalam melakukan sesuatu yang orang lain anggap remeh. Isu yang di tulis bukanlah rekaan, tetapi berdasarkan realiti.

Pada awalnya saya di tegur kerana dianggap sebagai anjing menyalak bukit. Idea dan kritikan dilontar tetapi tiada siapa yang menyambut. Alhamdulillah kesemua yang saya lontar itu telah disambut oleh mereka yang berkenaan. Saya hargai kesemua respon yang di hantar di ruangan komen, email dan YM. Saya juga hargai mereka yang mengutuk di belakang kerana mereka memang suka makan daging saudara seagama dan mungkin suka main belakang.

Walau apa pun, saya tetap saya. Syukri tetap Syukri. Hak tetap hak dan bathil tetap bathil. Jika saya tidak berani hendak mengatakan perkara itu sebagai perkara yang bathil, maka saya akan mendiamkan diri. Jika saya ada keberanian tetapi hormat untuk tidak mengatakan bantahan di hadapan pihak-pihak berkenaan, maka blog ini akan menjadi medium terbaik untuk saya menyatakan bantahan.

Saya tidak akan mengkhususkan blog ini sebagai tempat untuk 'sembang politik' sahaja. Seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini, syukri2103 adalah blog rojak. Segala apa yang terlintas di benak fikiran dan penglihatan maka perkara itu akan disumbatkan dalam bentuk tulisan ke dalam blog ini.

Kepada rakan-rakan yang tiada komitmen sepanjang cuti semester ini, saya ucapkan selamat bercuti. Hargailah keluarga anda sepanjang cuti ini.

Terima kasih, wassalam.

Isnin, November 16, 2009

Bubar je semua..

Salam Ukhwah, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia..

Hari ini 16 November 2009 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh kosong dan perlu diadakan pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil terpaksa diadakan jika sekiranya penyandang kerusi terbabit iaitu Datuk Abu Hassan Sarif gagal di dalam rayuannya.

Speaker DUN Kedah iaitu Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah mengumumkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong apabila penyandang kerusi terbabit gagal menghadiri persidangan DUN dua hari berturut-turut. Namun begitu, pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah bertindak mengenepikan arahan speaker DUN Kedah.

Di dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu calon Barisan Nasional memenangi kerusi DUN terbabit dengan majoriti yang kecil iaitu sebanyak 495 undi.

Jika penyandang kerusi DUN Kota Siputeh gagal dalam rayuannya, maka kita akan melihat satu lagi siri pilihanraya kecil. Pertandingan itu sudah tentulah melibatkan BN (UMNO) dan PAS.

Jika ditakdirkan kita sekali lagi akan melihat pelbagai kekecohan, pembongkaran kisah peribadi, kisah dalam kain, kisah silam, fitnah, pergaduhan, penghinaan, kedayusan penyokong fanatik, lakonan ahli-ahli politik dan pelbagai lagi senario.

Elok Parlimen di bubar dan buat pilihanraya umum lebih awal. Semua DUN pun perlu dibubarkan (kecuali Sarawak) supaya rakyat dapat memberikan mandat kepada sesiapa yang dikehendakinya. Tak habis-habis dengan siri pilihanraya kecil. Naik muak!

Tunggu dan lihatlah..

"Pemain tak kenal pengadil.."


Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam 1 Malaysia Merevolusikan Minda..

Beberapa blog rakan-rakan sedang hangat memaparkan perkara berkaitan Pilihanraya Kampus (PRK) tetapi saya kurang berminat menulis berkenaan perkara tersebut buat masa ini.

Kali ini saya ingin menulis berkenaan apa yang saya dan rakan-rakan Candu Minda bincangkan semasa di meja makan.

Kumpulan "Candu Minda" ditunjangi empat orang lelaki yang berasal daripada negeri yang berlainan. Keempat-empat mereka merupakan anak jati Batu Pahat, Johor - Gombak, Selangor - Machang, Kelantan - dan yang paling jauh ialah Balik Pulau, Pulau Pinang.

Walaupun kami berlainan loghat bahasa, berbeza major dan minor di universiti, berbeza usia (bulan tak sama), berbeza fahaman, berbeza pendirian terhadap sesuatu isu, tetapi kami mempunyai persamaan iaitu bersetuju untuk tidak bersetuju terhadap perkara yang perlu untuk tidak dipersetujui.

"Pemain tak kenal pengadil..", sengaja saya pilih tajuk ini untuk memperkatakan sesuatu isu yang bukan berkaitan bola sepak.

Semasa sedang menunggu makanan tiba, kami membuka tajuk perbualan mengenai betapa sukarnya belajar semasa di peringkat SPM dan STPM berbanding di universiti.

Secara peribadi saya mengatakan bahawa pelajar SPM dan STPM bertungkus-lumus belajar bagi memahami apa yang dipelajari. Kesemuanya itu dipelajari dalam tempoh masa setahun setengah atau dua tahun. Kemudian menjawab soalan peperiksaan yang disediakan dalam tempoh masa 3 jam. Semasa zaman persekolahan kesemua nota disuap oleh cikgu. Setiap kali musim cuti, akan ada kelas tambahan.

Di zaman sekolah cikgu akan menyayangi pelajar yang pandai, cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Itu adalah lumrah yang perlu diterima. Belajar dengan rajin supaya dapat gred A. Itulah yang di minta oleh mereka. Kerana bukan sahaja untuk reputasi sekolah tetapi juga pelajar itu sendiri.

Kita belajar selama 2 tahun di peringkat SPM dan setahun setengah di peringkat STPM. Kemudian menjawab soalan dalam temph masa 3 jam. Buku yang tebal menjadi rakan paling akrab. Mengulangkaji bersama sudah menjadi aktiviti tetap sebelum peperiksaan.

Apabila tiba masa menjawab soalan peperiksaan, kesemua yang dipelajari selama 2 tahun atau setahun setengah dicurahkan dalam tempoh masa 3 jam atau kurang daripada itu.

Kemudian, kesemua jawapan itu akan ditanda dan disemak oleh orang yang kita tidak kenali. Sama ada kita lulus atau gagal adalah terletak pada pemeriksa kertas jawapan yang kita tidak kenali nama serta jantinanya.

Apabila keputusan keluar, kita akan berpuas hati jika mendapat apa yang dihajati dan sebaliknya.

Bernasib baik dapat pula menyambung pelajaran ke universiti. Dalam tempoh beberapa bulan belajar, perlu menduduki peperiksaan seperti mana zaman persekolahan dahulu.

Tetapi zaman persekolahan dan zaman universiti adalah berbeza. Persamaannya cuma satu, iaitu tempat belajar atau menuntut ilmu.

Jika zaman persekolahan kertas jawapan kita ditanda dan diadili oleh mereka yang kita tidak kenali. Tetapi kini berbeza. Kerana apa? Kerana kita tahu individu yang akan mengadili kertas jawapan kita itu.

Saya terbaca di dalam sebuah blog yang saya sudah lupa pemiliknya. Penulis menulis berkenaan rasa tidak puas hatinya terhadap pengampu yang mengampu pensyarah demi mendapatkan keputusan yang cemerlang. Saya harap tidak berlaku di USM. Di blog tersebut menyatakan bahawa mana-mana pelajar yang dikenali dan mesra dengan pensyarah akan mendapat A di dalam peperiksaan. Bermulalah sesi pensyarah meminta nombor matrik pelajar yang ingin di bantu. Mungkin perkara ini berlaku di tempat lain, dan bukannya di USM.

Saya juga terdengar perbualan dua individu yang saya tidak kenali semasa berada di dalam lift. Mereka mengatakan bahawa cukup kecewa terhadap pensyarah mereka kerana pensyarah awal-awal lagi sudah memberikan gred "GAGAL" kepada mereka walaupun mereka belum menduduki peperiksaan. Kerana apa? Kerana semasa pembentangan tugasan, salah seorang daripada mereka ini mengulas secara kritikal sesuatu isu yang tidak digemari oleh pensyarah. Maksudnya pelajar tadi berfikir di luar kotak tanpa terikat dengan arahan. Itu saya tidak mahu komen apa-apa. Saya hanya mendengar perbualan mereka tanpa menyampuk.

Saya juga kerap mendengar keluhan rakan-rakan khasnya daripada universiti lain. Mereka mengatakan bahawa idea mereka tidak boleh diterima kerana tidak tercatat di dalam buku. Mengapa perlu mengikut buku? Buku hanya panduan sahaja. Sewajarnya panduan itu digunakan untuk kita mengolah idea yang baru. Idea yang lebih kreatif dan menunjukkan kematangan seseorang mahasiswa dan mahasiswi.

Saya cukup tertarik apabila rakan saya menceritakan bahawa dia terpaksa menulis tugasan berkaitan kes kematian individu di dalam tahanan pihak polis dan perlu menyalahkan pihak polis (PDRM). Jika menyokong PDRM maka mereka akan gagal. Apabila sesuatu tajuk tugasan di beri maka pelajar akan mengulas daripada pelbagai perspektif, sama ada positif atau negatif. Tetapi jika sudah diberikan garis panduan supaya tugasan itu perlu dikhaskan untuk menentang pihak PDRM atau pihak-pihak berkaitan maka pada saya bakat atau idea yang ada pada pelajar itu akan tersekat. Dimanakah kebebasan mengeluarkan pendapat atau idea?

Memandangkan nasib kita sebagai pelajar adalah di tangan pihak-pihak berkenaan, maka pada saya kita perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Ikutlah garis panduan buat sementara waktu.

Kadangkala saya fikir 'darjat' dan 'martabat' pelajar SPM dan STPM lebih tinggi daripada mahasiswa dan mahasiswi. Peperiksaan diadili dengan penuh etika kerana pelajar tidak mengenali 'pengadil', 'pengadil' juga tidak mengenali 'pemain'.

*Teringat kata-kata kecewa daripada ahli Candu Minda, "jawapan aku sama dengan dia, tapi kenapa gred berbeza? Aku tau la dia bla bla bla bla".

Jumaat, November 13, 2009

Kuasa

Salam Sejahtera.. Salam Ukhwah..

Apabila menyebut tentang politik lazimnya di dalam minda kita secara automatik akan merujuk ia kepada kuasa. Kuasa politik.

Walaupun definisi politik ini cukup luas, tetapi ramai dalam kalangan kita lebih suka dan mungkin lebih mengetahui bahawa politik itu hanya merujuk kepada kuasa.

Sudah agak kerap saya menyatakan kepada rakan-rakan dan agak kerap juga saya mengulas di dalam blog-blog dan forum-forum di alam maya bahawa setiap daripada kita adalah insan politik, penggerak kepada politik, pelakon-pelakon politik, dan yang berkaitan dengannya.

Sebut sahaja politik maka di dalam benak fikiran kita akan merujuk kepada UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, PBB, dan pelbagai parti politik lagi yang wujud di Malaysia ini.

Kerap kali saya menyatakan bahawa, apabila seseorang itu tidak mempunyai kuasa maka ia akan cuba untuk mendapatkan kuasa. Apabila ia sudah memiliki kuasa, maka tidak mustahil ia akan menyalahgunakan kuasa tersebut.

Saya gunakan perkataan "tidak mustahil" kerana perkara yang kita tidak sangka akan berlaku tetap akan berlaku atas kehendak-Nya.

Suatu ketika kita memaki hamun orang lain kerana menyalahgunakan kuasa, dan kita pula cuba untuk menjatuhkan mereka supaya kita dapat memberikan keadilan kepada semua. Akan tetapi, selepas kita memperolehi kuasa kita pula yang menyalahgunakannya untuk kepentingan kroni-kroni kita.

Adakah seseorang itu akan diberikan hadiah jika ia tidak mempunyai kepentingan timbal balas? Seorang lelaki memberikan seorang perempuan hadiah yang bernilai dengan harapan pihak perempuan dapat memberikan kasih sayang kepadanya. - Hanya sekadar contoh.

Sebuah syarikat memberikan sumbangan kepada pemimpin dan adakah sumbangan atau tajaan itu tidak mempunyai timbal balas? Adakah syarikat itu akan memberikan hadiah jika sekiranya seseorang itu tidak mempunyai jawatan? Mengapa tidak diberikan sumbangan menunaikan fardhu haji kepada fakir miskin?

Korupsi ada di mana-mana. Wang diberikan semasa pemilihan pucuk pimpinan parti dengan harapan penerima akan mengundinya, itu adalah rasuah. Politik Wang.

Sepanjang pemilihan parti, pengundi diberikan hadiah tetapi tidak di minta untuk mengundi pihak pemberi hadiah, itu di anggap pemberian yang meragukan. Ada bibit-bibit rasuah kerana jika pengundi itu bukan bergelar pengundi, adakah ia akan mendapat hadiah?

Janganlah apabila pihak musuh mengamalkan rasuah maka kita menghentam habis-habisan dan mengeluarkan pelbagai dalil.

Apabila pihak kita terlibat sama dalam penerimaan hadiah daripada pihak lain maka kita pula cuba menegakkan benang yang basah dan mengatakan sumbangan itu sebagai budaya di tempat kita. Janganlah bertindak sedemikian seolah-olah syurga itu kita yang punya.

Jangan hanya mengungkap ingin mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sahaja. Pemerintahan baginda amat bersih.

Seorang pemuda pernah menyatakan sesuatu kepada Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi baginda mengatakan bahawa usia pemuda tersebut tidak melayakkannya berkata sedemikian, biarlah orang yang lebih berusia daripadanya yang berkata. Lantas pemuda itu pun membalas kata-kata baginda bahawa usia baginda juga tidak melayakkan baginda berada di tempat Khalifah, biarlah orang yang lebih berusia mendudukinya.

Khalifah Umar Abdul Aziz pun boleh menerima teguran, mengapa tidak kita?

Khamis, November 12, 2009

Keranda Terbang - "Masih boleh guna lagi..."

Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Satu Malaysia Mereformasikan Minda..

Di dalam Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kerajaan belum memuktamadkan pembelian helikopter bagi tujuan pengangkutan, mencari dan menyelamat serta tempur (SCAR) untuk mengantikan helikopter Nuri.

Pembelian helikopter baru keluaran Eurocopter bagi mengantikan helikopter Nuri telah ditangguhkan sejak setahun yang lalu.

Pada bulan September 2008 yang lalu, Kementerian Pertahanan yang diterajui Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah bersetuju untuk membeli sebanyak 12 buah helikopter Eurocopter EC 725 yang bernilai RM1.6 bilion bagi mengantikan helikopter Nuri yang sudah terlalu lama.

Namun begitu, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menangguhkan pembelian tersebut selepas pemilihan helikopter Eurocopter EC 725 menimbulkan kontroversi daripada pihak pembangkang.

Timbalan Menteri Pertahanan tersebut menyatakan bahawa sebanyak 28 buah helikopter Nuri masih mampu beroperasi sehingga tahun 2015 dengan penyelenggaraan yang baik.

Saya cukup tertarik kerana Timbalan Menteri menyatakan bahawa helikopter Nuri mampu beroperasi sehingga tahun 2015 dengan penyelenggaraan yang baik. Apakah sepanjang tahun menuju ke tahun 2015 itu tidak akan berlaku tragedi helikopter Nuri terhempas disebabkan faktor-faktor helikopter itu sendiri?

Semua yang terjadi adalah kehendak Allah S.W.T, dan bukannya kerja kita sebagai manusia. Tetapi kita sebagai manusia perlu berusaha untuk mengelak daripada berlakunya tragedi.

Pada tahun 1968, kerajaan Malaysia telah membeli sebanyak 40 buah helikopter Sikorsky S61 Sea King daripada Sikorsky Aircraft Corporation, Amerika Syarikat untuk tujuan operasi mencari, menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Kini kita berada pada tahun 2009. Hal ini bermakna helikopter Nuri sudah berusia lebih 40 tahun. Dalam tempoh beroperasi, kita banyak menatap cerita mengenai tragedi helikopter Nuri terhempas. Terhempas yang mengakibatkan kerugian aset dan kehilangan nyawa serta kepakaran oleh TUDM. Helikopter Nuri mendarat cemas mungkin lagi banyak berbanding yang terhempas.

Apabila ada laporan berita mengenai helikopter Nuri terputus hubungan dengan pangkalan, maka kita akan mendengar cerita mengenai rekod helikopter Nuri terhempas, rentetan peristiwa tragedi yang dipaparkan di dada akhbar, arahan pihak berkuasa untuk mencari punca tragedi, dan akan berkumandanglah idea-idea bernas supaya helikopter usang yang berusia lebih 40 tahun itu digantikan dengan yang baru.

Tragedi terakhir helikopter Nuri terhempas ialah pada 13 Julai 2007 di Genting Sempah, Pahang. Disebabkan tragedi tersebut, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan Kabinet bersetuju untuk menggantikan helikopter Nuri. September 2008 pemilihan helikopter telah dilakukan. Tetapi dasar Perdana Menteri ketika itu yang 'flip flop' itu telah menangguhkan pembelian tersebut.

Sebenarnya pembelian helikopter baru bagi mengantikan Nuri ini perlu dilakukan segera. Jika ditangguhkan tahun demi tahun harga pasaran helikopter akan turut berubah dan ini akan mengakibatkan kenaikkan kos.

Saya masih ingat semasa menonton Buletin Utama, terdapat seorang ahli parlimen wanita daripada wakil pembangkang menyatakan bahawa "kenapa mahu tukar? Helikopter itu boleh guna lagi..".

Maaf, inilah ahli parlimen yang paling BODOH. Helikopter Nuri berusia lebih 40 tahun memang wajar digantikan dengan yang baru. Dia sebagai ahli parlimen sudah berapa kali tukar kereta baru? Anda dan ahli keluarga anda sudah berapa kali tukar motor dan kereta baru? Ada ahli parlimen yang tukar kereta setiap tahun..

Kereta berusia lebih 20 tahun pun banyak masalah apatah lagi helikopter yang berusia lebih 40 tahun.

Jika kita sedang memandu kereta dan tiba-tiba kereta itu rosak, enjin dia 'mati', kita terpaksa berhenti di tepi jalan dan boleh keluar rehat-rehat sambil garu-garu kepala..

Tetapi cuba bayangkan jika kita sedang memandu helikopter Nuri yang dah tua dan usang itu dan tiba-tiba enjin helikopter 'mati' apakah kita boleh berhenti rehat ketepi untuk seketika? Sambil garu-garu kepala? Apakah helikopter tersebut akan tergantung di atas udara? Kalau tergantung tak apa, senang kerja kita.. Ini tidak, silap-silap boleh masuk surat khabar muka depan sebab menjadi mangsa 'keranda terbang'.

Diharapkan pihak kerajaan dapat menggantikan dengan segera helikopter Nuri tersebut. Helikopter Nuri hanya layak ditempatkan di muzium sahaja. Amerika Syarikat pun sudah tidak menggunakannya lagi.

Ganti sebelum berlakunya tragedi sekali lagi..

*teringat pada abang TUDM yang buat pameran di Dewan Budaya USM semester lepas.. "Abang, kenapa helikopter Nuri jatuh terhempas ke bawah?". Abang tu punyalah jawab dengan serius, "sebab masalah teknikal..dah usang..kesilapan manusia..". Tapi pada saya jawapan yang paling tepat sebab "Helikopter Nuri sudah lama di atas..". Kesian abang tu, dah la dia penat, kena layan saya yang loyar buruk pulak..

Rabu, November 11, 2009

'Modal Insan' yang merugikan...

Salam Sejahtera, Salam Perpaduan, Salam Reformasi Minda...

Bagi mengisi masa yang terluang, terlintas idea melalui pembacaan di akhbar. Bukan kritikan keras mahupun sindiran pedas, tetapi hanya sekadar selingan mengisi kekosongan tatkala suasana panas.

Saya bukanlah seorang yang meminati bola sepak. Saya tidak mengenali nama-nama pemain bola sepak tempatan kerana tidak berminat mengenainya. Mereka juga tidak mengenali saya.

Secara peribadi saya menyokong Johor FC dan KL PLUS. Sudah banyak kali terlepas menonton perlawanan yang melibatkan KL PLUS semasa bekerja di PLUS - Plaza Tol Yong Peng Utara.

Di dada akhbar memaparkan berita yang cukup menarik. Apakah yang menarik itu? Menteri Belia dan Sukan mengumumkan bahawa sebanyak 224 kerusi, pintu pagar dan tandas dilaporkan rosak dan kerosakan ini membabitkan kerugian yang bernilai RM214,000. Bukankah kerugian sebanyak itu melibatkan wang rakyat? Tidak mengapa kerana FAM mengaut keuntungan dalam penjualan tiket.

Walaupun saya tidak meminati bola sepak tetapi saya cukup tertarik dengan sikap para penyokong yang bertindak keterlaluan. Penyokong Kelantan bertindak secara agresif apabila pasukan Kelantan tewas kepada pasukan Negeri Sembilan.

Keputusan 3 - 1 jelas menaikkan kemarahan penyokong Kelantan. Gelombang Merah jelas mendominasi Stadium Nasional Bukit Jalil berbanding penyokong Negeri Sembilan.

Tindakan penyokong pasukan Kelantan yang membakar kain rentang dan kerusi adalah tindakan yang amat keterlaluan. Botol air mineral, batu dan mercun juga mereka lontar ke padang sesuka hati. Tindakan ini amat bahaya kepada semua.

Di dalam perkara ini saya tidak menyalahkan sepenuhnya penyokong pasukan Kelantan. Pihak pengurusan stadium juga perlu dipersalahkan kerana membenarkan mercun di bawa masuk ke dalam stadium.

Sebelum perlawanan diadakan pihak berkaitan hanya memberi amaran sahaja supaya mercun tidak dibawa masuk ke dalam stadium. Hanya sekadar amaran sahaja tetapi tiada tindakan. Nasib baik hanya mercun, jika ada dalam kalangan mereka yang membawa bom lagi susah.

Tindakan segelintir penyokong Kelantan yang berfikiran cetek dan jahil ini telah mencemarkan imej Serambi Mekah.

Kerugian sebanyak RM214,000 itu boleh digunakan untuk tujuan-tujuan yang lain. Mungkin boleh dijadikan sebagai bantuan terhadap mangsa banjir di Kelantan.

Tindakan segelintir penyokong Kelantan ini mengingatkan saya suatu peristiwa di India yang pernah dipaparkan di akhbar suatu ketika dahulu. Kisah tersebut berkaitan dengan penonton filem membakar panggung wayang kerana tidak berpuas hati dengan ending filem tersebut.

Inilah mentaliti dunia ke-3. Apabila kalah maka akan merusuh dan membuat kekecohan, tetapi apabila menang tidak pula bertindak sedemikian.

Ubahlah sikap tersebut. Jangan memalukan imej Serambi Mekah. Setelah lebih 18 tahun kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, adakah ini 'Modal Insan' yang dilahirkan? Saya yakin hanya sebahagian sahaja yang rosak.

Saya tertarik dengan beberapa blog yang mengaitkan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Kelantan. Mereka menggelar perlawanan tersebut sebagai perlawanan antara Negeri Sekular dengan Negeri Islam.

Mereka mengatakan Modal Insan Negeri Sekular lebih bermoral berbanding Negeri Islam.

*Kepada rakan-rakan anak Kelantan, saya hanya mengkritik sikap sebahagian atau segelintir sikap penyokong Kelantan yang bertindak secara memBABI buta..

**InsyaAllah anda yang membaca ini adalah seorang yang rasional dan bukannya emosional..