Followers

Selasa, November 17, 2009

Hilangkah bisa ular yang menyusur akar??



Salam.. Salam Sejahtera.. Salam Revolusi Minda..

Adakah ular yang menyusur akar akan hilang bisanya???

Hari ini 17 November 2009, selepas solat Asar yang agak terlewat saya menunaikannya, saya berada dalam keadaan yang amat tenang. Tiba-tiba teringat pesanan guru yang suatu ketika saya anggapnya sebagai insan biasa yang tiada beza seperti insan lain.

"Syukri, ular yang menyusur akar tak akan hilang bisanya.."

Inilah nasihat yang diberikan kepada saya. Atas sebab apa nasihat ini ditujukan kepada saya? Kerana suatu ketika saya adalah seorang yang mudah melenting, mudah naik angin, akan mengkritik semula orang yang mengkritik saya dan pelbagai lagi yang seangkatan dengannya.

Selepas emosi saya distabilkan, fikiran dimatangkan, pelbagai motivasi diserapkan ke dalam jiwa dan pelbagai pengisian lain yang dilakukan, saya cuba untuk berubah.

Seandainya dahulu tiada pengisian jiwa, tiada motivasi daripada kaunselor yang berwibawa, tiada rakan yang menyokong saya, sudah tentu Syukri hari ini adalah Syukri yang terlalu menonjol dengan perkara-perkara yang negatif di universiti seperti menjadi 'pembangkang'.

Secara peribadi saya tidak berminat menulis mengenai perkara ini. Tetapi atas rasa tanggungjawab, saya perlu lakukannya sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan.

Saya tujukan artikel ini kepada rakan-rakan yang memiliki KOMITMEN di universiti. Khas untuk Yang Di Pertua (YDP), dan penyandang-penyandang jawatan lain.

Apabila kita menjadi pemimpin kita tidak akan terlepas daripada menjadi bahan kutukan daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan kita. Ini adalah lumrah. Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang yang ada disekeliling kita.

Kepada semua yang mempunyai gelaran YDP, anda perlu menerima hakikat bahawa anda adalah Yang Di Perguna. Hal ini adalah satu realiti dan bukannya fantasi. Anda adalah kuli kepada mereka yang anda pimpin. Anda perlu berkhidmat untuk mereka yang anda pimpin.

Saya juga kerap dikritik. Berdasarkan pengalaman, pada saya kita perlu mendengar kritikan itu dari perspektif yang positif dan elakkan memandang kritikan itu dari perspektif yang negatif.

Saya tertarik status di YM rakan saya yang bergelar YDP sebuah organisasi di USM dan beliau berasal dari Batu Pahat. Ayatnya lebih kurang begini, "Saya dimanipulasi??". (maaf jika ayat ini salah). Berdasarkan pengamatan saya, beliau sendiri tidak mengetahui mengapa ada individu yang melabel beliau sebegitu rupa. Seperti yang telah saya nyata tadi, adalah sesuatu yang amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

Suatu ketika saya di label sebagai manusia yang tidak boleh di kritik. Kita kena terima dengan hati dan fikiran yang terbuka kesemua teguran dan kritikan daripada pihak lain hatta daripada orang gila. Saya kata kita kena terima kritikan daripada orang gila kerana mereka mungkin gila tetapi mereka tidak bodoh seperti mana mereka yang mengkritik secara memBABI buta.

Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia selama lebih 22 tahun. Sepanjang beliau menjadi PM, pelbagai kritikan di lempar terhadap beliau. Gelaran yang tidak elok pun ada juga seperti Maha Firaun, Ultra Melayu, Hidung Besar dan banyak lagi. Tetapi beliau menerimanya dengan terbuka.

PM kita sekarang, Datuk Sri Mohd. Najib Tun Razak dikaitkan dengan perempuan Mongolia tetapi beliau tetap tenang dan tidak melenting.

Jika hendak menjadi jutawan anda boleh mencontohi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau cukup agresif apabila terdapat cerita mengenai beliau yang kurang disenangi maka beliau akan mengambil tindakan saman berjuta-juta terhadap pihak tersebut. Di sini tidak wujud kebebasan untuk bersuara jika bersuara secara berlebih-lebihan akan di saman.

Walau apa pun, kita kena menerima teguran dan kritikan dengan minda yang terbuka. Jika dahulu saya di kritik dan di fitnah, maka kini tibalah masanya untuk saya membalas kritikan-kritikan tersebut secara sopan. Fitnah?? Itu urusan pihak berkenaan dengan Allah S.W.T.

Kepada anda semua yang mempunyai KOMITMEN, sama ada anda YDP, NYDP, EXCO, atau pelbagai lagi jawatan ciptaan manusia, ingatlah bahawa kita semua adalah insan biasa.

Berfikirlah di luar kotak.

SALAM REVOLUSI MINDA..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan