Followers

Rabu, November 11, 2009

Warisan Orang Hidup - Penglipurlara

Salam Aspirasi, Salam Perpaduan, Salam Satu Malaysia..

Saya betul-betul tenang kerana tiada lagi peperiksaan untuk minggu ini. Pagi tadi (11.11.09) baru sahaja selesai menjawab untuk SPW206 Falsafah Politik. Hanya satu kertas sahaja lagi iaitu SHE101 Hubungan Etnik pada 17.11.09, minggu hadapan.

Semalam semasa membuat ulangkaji bersama rakan-rakan di cafe Aman Damai, ada rakan saya yang bertanya mengenai "Tokoh Warisan Orang Hidup". Mereka bertanya kerana ternampak salah satu gambar di dalam dokumen laptop saya.

Sebagai seorang pelajar, saya perlu menjawab dengan teliti supaya jawapan saya tidak menjadi pertikaian oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati.

Mengikut Akta Warisan Kebudayaan tahun 2005, terdapat empat kategori dalam Daftar Warisan Kebangsaan iaitu Tapak Warisan, Objek Warisan, Warisan Orang Hidup dan Warisan Bawah Air.

Pada 25 Julai 2008, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan lima tokoh seni budaya sebagai Warisan Orang Hidup.

Kesemua tokoh Warisan Orang Hidup ini diberikan sijil pengiktirafan, bayaran honorarium selain keistimewaan lain seperti layanan kelas pertama di hospital kerajaan.

Salah seorang tokoh yang menerima pengiktirafan tersebut ialah penglipurlara, Ali Badron Sabor atau Pak Ali Badron atau juga dikenali sebagai Ali Badron Tarbus.

Pak Ali Badron yang kini berusia 67 tahun berpengalaman dalam bidang sastera lisan sejak tahun 1960-an. Beliau merupakan penglipurlara yang terkenal dan menjadi rujukan para penuntut dan ahli akademik dalam sastera lisan. Beliau memberitahu saya, pelajar USM turut pergi ke rumah beliau untuk membincangkan perkara berkaitan sastera.
(tidak termasuk saya)

Beliau merupakan pesara guru dan aktif sebagai penceramah di dalam bengkel khusus mengenai sastera lisan di pusat pengajian tinggi, maktab perguruan serta majlis anjuran Majlis Kebudayaan Negeri.

Beliau juga merupakan Pengerusi Kumpulan Teater Sri Penggaram. Beliau terkenal di selatan tanah air terutamanya Johor dengan sastera lisan klasik 'Surat Kapal'.

Keunikan yang ada pada beliau ialah bercerita sambil memukul gendang, beliau mewarisi kebolehan gurunya Pak Arab. Kini, beliau masih aktif sebagai penglipurlara dan sedang mewariskan bakatnya kepada anak muridnya.

Semasa saya ke majlis perkahwinan saudara saya di Ayer Hitam, Johor saya terserempak dengan Pak Ali Badron. Kami duduk semeja dan berbual. Sebagai orang muda saya lebih selesa berbual dengan orang tua seperti dia kerana saya tahu dia ni loyar buruk.

"Umur aku dah 60 lebih..bapak kau baru 50 lebih..kau baru 21 tahun..kalau ikut pangkat aku kena panggil bapak kau tu pak cik..tapi aku ni dah tua tak kan nak panggil bapak kau tu pak cik, panggil nama dah la...kau kena panggil aku abang, barulah aku rasa diri aku ni muda..".

Beliau seorang yang humor. Kami adik-beradik dan saudara-mara memang gusi tak sempat kering kalau dia mula bercakap. Adakalanya apa yang dia kata tu hanya rekaan sahaja tetapi mampu menghiburkan mereka yang mendengar.

Saya masih ingat semasa bapa saya dimasukkan ke wad hospital, Pak Ali Badron datang dan menukar suasana wad yang ketika itu sunyi sepi menjadi gelak tawa mereka yang mendengar celotehnya.

Secara peribadi, saya pening kepala apabila berdepan dengan beliau. Pening sebab banyak ketawa. Pening sebab kadangkala beliau berpantun dan saya terpaksa berfikir mencari idea untuk membalas pantun beliau. "Kalau nak berpantun ikut macam Nordin Ahmad..kajang pak malau bla bla bla bla...", ini yang beliau katakan.

*Orang Batu Pahat kalau tak kenal Cikgu Ali Badron Tarbus tak tahu la nak kata apa.....

4 ulasan:

  1. Ini sebenarnya karyawan yang menghasilkan Karya seni Yang avangard...Memang beliau memang patut mendapat pengiktirafan.. Warisan budaya dan sebagainya.

    BalasPadam
  2. Bagaimana pula dengan Pok Nik yg terkenal dengan Lokan Bertepuk?

    "aku nak pergi berlokan.."

    BalasPadam
  3. Tu pun sepatutnya dapat pengiktirafan,syuk...Sebab semua adalah seni yang hampir hilang dan dalang2 dia semua hampir tiada...Harus dibukukan atau dipelajari agar tidak hilang.

    BalasPadam
  4. mmg kami tgh usahakn utk mengiktiraf peseni2 autentik ni... ;p

    BalasPadam