Followers

Jumaat, November 13, 2009

Kuasa

Salam Sejahtera.. Salam Ukhwah..

Apabila menyebut tentang politik lazimnya di dalam minda kita secara automatik akan merujuk ia kepada kuasa. Kuasa politik.

Walaupun definisi politik ini cukup luas, tetapi ramai dalam kalangan kita lebih suka dan mungkin lebih mengetahui bahawa politik itu hanya merujuk kepada kuasa.

Sudah agak kerap saya menyatakan kepada rakan-rakan dan agak kerap juga saya mengulas di dalam blog-blog dan forum-forum di alam maya bahawa setiap daripada kita adalah insan politik, penggerak kepada politik, pelakon-pelakon politik, dan yang berkaitan dengannya.

Sebut sahaja politik maka di dalam benak fikiran kita akan merujuk kepada UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, PBB, dan pelbagai parti politik lagi yang wujud di Malaysia ini.

Kerap kali saya menyatakan bahawa, apabila seseorang itu tidak mempunyai kuasa maka ia akan cuba untuk mendapatkan kuasa. Apabila ia sudah memiliki kuasa, maka tidak mustahil ia akan menyalahgunakan kuasa tersebut.

Saya gunakan perkataan "tidak mustahil" kerana perkara yang kita tidak sangka akan berlaku tetap akan berlaku atas kehendak-Nya.

Suatu ketika kita memaki hamun orang lain kerana menyalahgunakan kuasa, dan kita pula cuba untuk menjatuhkan mereka supaya kita dapat memberikan keadilan kepada semua. Akan tetapi, selepas kita memperolehi kuasa kita pula yang menyalahgunakannya untuk kepentingan kroni-kroni kita.

Adakah seseorang itu akan diberikan hadiah jika ia tidak mempunyai kepentingan timbal balas? Seorang lelaki memberikan seorang perempuan hadiah yang bernilai dengan harapan pihak perempuan dapat memberikan kasih sayang kepadanya. - Hanya sekadar contoh.

Sebuah syarikat memberikan sumbangan kepada pemimpin dan adakah sumbangan atau tajaan itu tidak mempunyai timbal balas? Adakah syarikat itu akan memberikan hadiah jika sekiranya seseorang itu tidak mempunyai jawatan? Mengapa tidak diberikan sumbangan menunaikan fardhu haji kepada fakir miskin?

Korupsi ada di mana-mana. Wang diberikan semasa pemilihan pucuk pimpinan parti dengan harapan penerima akan mengundinya, itu adalah rasuah. Politik Wang.

Sepanjang pemilihan parti, pengundi diberikan hadiah tetapi tidak di minta untuk mengundi pihak pemberi hadiah, itu di anggap pemberian yang meragukan. Ada bibit-bibit rasuah kerana jika pengundi itu bukan bergelar pengundi, adakah ia akan mendapat hadiah?

Janganlah apabila pihak musuh mengamalkan rasuah maka kita menghentam habis-habisan dan mengeluarkan pelbagai dalil.

Apabila pihak kita terlibat sama dalam penerimaan hadiah daripada pihak lain maka kita pula cuba menegakkan benang yang basah dan mengatakan sumbangan itu sebagai budaya di tempat kita. Janganlah bertindak sedemikian seolah-olah syurga itu kita yang punya.

Jangan hanya mengungkap ingin mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sahaja. Pemerintahan baginda amat bersih.

Seorang pemuda pernah menyatakan sesuatu kepada Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi baginda mengatakan bahawa usia pemuda tersebut tidak melayakkannya berkata sedemikian, biarlah orang yang lebih berusia daripadanya yang berkata. Lantas pemuda itu pun membalas kata-kata baginda bahawa usia baginda juga tidak melayakkan baginda berada di tempat Khalifah, biarlah orang yang lebih berusia mendudukinya.

Khalifah Umar Abdul Aziz pun boleh menerima teguran, mengapa tidak kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan